Friday, February 10, 2017

DI SEBALIK UJIAN HIDUP

NAMA: NURNAZIHAH BINTI MOHD NOOR
NO MATRIK:  14021142
NO SIRI: 053

Ujian di dalam kehidupan kadang-kadang di luar dugaan hingga menyebabkan kita rasa terlalu lemah. Keadaan ini kadang-kadang menyebabkan terungkai keegoan di dalam diri kita hingga kita tersungkur di depan kebesaran dan keagungan Allah SWT, menyedari hakikat kelemahan diri dan mula merasa perlunya pada bimbingan Ilahi. Ketika itu kita mulai mendaki anak-anak tangga untuk mendekati Allah SWT.

Ini adalah salah satu pintu hidayah (ujian) untuk kita kembali merasa diri sebagai hamba dan melihat Allah sebagai Rabb. Sememangnya ujian dalam kehidupan ini adalah medan tarbiah untuk kita lebih mengenali diri dan merasai kebenaran dan keagungan Allah SWT. Ibnu Qayyim pernah menyebut “Dijadikan kita (manusia) lemah supaya dengan  kelemahan itu kita dapat meneropong kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Orang yang bijak lebih suka ditimpa dengan ujian kesusahan dari ujian kesenangan kerana kesenangan lebih cenderung menjadikan kita lupa diri manakala ujian kesusahan sering saja menyedarkan kita tentang kelemahan diri. Apabila hidup menjadi terlalu sukar kita mungkin terpaksa bersabar akan tetapi apabila dilimpahi dengan kekayaan dan diselimuti kemewahan tidak ada pula orang yang terpaksa bersyukur. Oleh kerana itu, sahabat-sahabat Rasulullah SAW lebih takutkan ujian kemewahan dari ujian kemiskinan.
Kesukaran dan kemiskinan hidup kadang-kadang menghidupkan kepekaan jiwa hingga kita lebih banyak memikirkan kepentingan peribadi menyebabkan kita membesar dengan jiwa masyarakat. Sedang kemewahan menjadikan kita manusia yang sibuk dengan keperluan dan kepentingan diri bahkan kadang-kadang menjadi rakus walau terhadap harta dan kekayaan orang lain.

Inilah hakikat kehidupan kita sementara. Namun kesementaraan ini memberi kesan besar bagi kehidupan kita yang abadi nanti. Setiap kealpaan dan kecuaian kita benar-benar akan menjadikan kita benar-benar akan menjadikan kita kesal dan menangis pada hari taubat tidak akan lagi di terima. Seharusnya kita banyak belajar dari hari-hari yang telah kita lalui dan seharusnya jaga umur yang masih berbaki kita tempuhi dengan penuh pengharapan agar ianya benar-benar akan menjadi bekal untuk kita balik kepada Allah SWT. Setiap tahun yang bertambah menggambarkan kita semakin menghampiri kematian.
Kata Hasan Al Basri,
“Kamu adalah hari-hari yang terkumpul..apabila berlalu satu hari maka berlalulah sebahagian dari (umur) kamu”.
Pastikan hijrah kita benar-benar mendekatkan kita kepada keredhaan Allah SWT. Semoga hari-hari baru benar membina keperibadian kita agar menepati kehendak Allah SWT. Peribadi yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan seterusnya diikuti oleh sahabat-sahabat dan salafussoleh.


No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *