Ditulis oleh: Nor Sholiha Bt Mohd Amin
No Matrik: 14021128
No Siri: 006
Mengimbas kembali zaman belajar
dahulu, rasa seram sejuk bila melihat rotan di atas meja guru. Hujung rotan dah
pecah seribu, entah berapa ramai pelajar yang sudah menjadi mangsa rotan. Di
tapak tangan atau betis? Mungkin ianya hanya gertakan sahaja dengan memukul diatas
meja.
Gambar Hiasan
Hukuman
rotan ini sebenarnya tidak asing lagi dalam
kalangan masyarakat kita sejak zaman dahulu lagi. Ibu bapa dan guru menjadikan
rotan sebagai peringatan dan hukuman kepada anak atau pelajar untuk menjadikan
mereka insan yang berguna bila sudah besar nanti. Tambahan pula, perbuatan
merotan bukanlah dilakukan berkali-kali dalam satu masa. Kebiasaannya pelajar
hanya dirotan sekali dua bagi kesalahan yang dilakukannya dengan harapan
sebagai pengajaran untuk dirinya agar ia tidak berulang lagi.
Masalah disiplin dalam kalangan pelajar semakin
mencemaskan semua pihak. Hampir setiap hari, media massa atau elektronik
seperti televisyen dan akhbar melaporkan kes salah laku yang melibatkan pelajar
sekolah. Antaranya ialah gejala buli, vandalisme, ponteng sekolah, pergaduhan,
melawan atau memukul guru dan pelbagai kesalahan lain. Dalam usaha hendak
membendung gejala yang tidak sihat ini, pihak kementerian pelajaran telah
mengambil langkah untuk melaksanakan semula hukuman rotan di sekolah.
Pelaksanaan hukuman rotan dilihat berkesan untuk
menangani masalah pelanggaran disiplin dalam kalangan pelajar. Sehingga kini,
banyak pelajar yang berani melakukan kesalahan kerana mereka sedar bahawa guru
tidak mempunyai kuasa untuk menghukum mereka dengan cara merotan. Ada diantara
mereka yang berani mencabar guru dan melanggar peraturan sekolah. Dengan ini,
hukuman rotan dapat mendatangkan ketakutan kepada pelajar lebih-lebih lagi jika
dilaksanakan di khalayak ramai seperti semasa perhimpunan mingguan. Pelajar
akan berasa takut dan sedar bahawa pihak sekolah serius menangani masalah
disiplin yang berlaku di sekolah. Perasaan gerun dan sikap waspada ini akan
menyebabkan pelajar lebih mematuhi peraturan sekolah. Secara tidak langsung,
kes disiplin di sekolah dapat dikurangkan dengan pelaksanaan hukuman ini.
Hukuman
rotan juga dapat memberi pengajaran kepada pelajar. Seperti yang kita sedia maklum,
hukuman rotan ini penting untuk mendisiplinkan pelajar yang degil dan keras
kepala. Hal ini tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelajar yang jahat dan
nakal, malah mereka juga tidak mempedulikan teguran atau nasihat guru. Oleh
yang demikian, mereka wajar dirotan kerana tindakan merotan akan menyebabkan
mereka berasa malu dan takut serta serik untuk mengulangi perbuatan tersebut.
Jelaslah
bahawa hukuman rotan ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin adalah
satu tindakan yang wajar. Semua pihak harus membuka minda terhadap hukuman ini
dan menerimanya agar dapat membentuk diri pelajar ke arah yang lebih baik. Ini
kerana, pelajar sekarang semakin berani mencuba sesuatu yang boleh merosakkan
diri mereka seolah-olah pihak sekolah tidak mempunyai hukuman yang tegas dalam mendisiplinkan pelajar. Diharap,
melalui tindakan ini akan dapat membantu membentuk jiwa dan diri pelajar dengan
berkesan. Walau bagaimanapun semua guru atau pendidik tidak harus mengambil
kesempatan ini dengan memberi hukuman rotan sesuka hati tanpa alasan yang
sewajarnya. Misalnya, guru harus mematuhi etika memberi hukuman rotan kepada
murid. Guru perlu diberi pelbagai kursus berkaitan hal ini bagi membolehkan
guru mengawal emosi dan memberikan hukuman tersebut dengan cara yang betul
supaya hukuman yang dikenakan tidak menyebabkan kecacatan kepada pelajar.
No comments:
Post a Comment