NAMA: SITI ROYHANAH BINTI MOHD ROSLAN
NO MATRIK; 14021163
NO SIRI: 078
Anak adalah anugerah Tuhan dan sebagai amanah kepada ibu
bapa untuk mengenalkan kepada Pencipta. Anak yang terdidik dengan acuan Pemberi
amanah tidak akan menderhaka. Ustaz Pahrol Mohd Juoi turut menekankan
keikhlasan ibu bapa dalam mendidik anak menerusi program Islam itu Indah. Kisah
yang pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar al Khattab, menunjukkan besarnya
peranan mendidik anak. Riwayat masyhur itu bermula apabila seorang lelaki
mengadukan hal anaknya yang derhaka. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan
memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak bapanya. Anak
itu menjawab, "Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas
bapanya?" Umar menjawab: "Ya." Dia bertanya lagi, "Apakah
ia wahai Amirul Mukminin?" Jawab Umar, "Memilih ibunya, memberikan
nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran)." Anak itu berkata:
"Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu
pun perkara itu. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam
dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan 'Ju'olan' iaitu sejenis kumbang
biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf
daripada al-Quran". Umar lantas berkata kepada lelaki itu, "Kamu
datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya.
Kamulah yang telah berlaku jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu."
Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran
kecuaiannya dalam mendidik anaknya. Didikan, tarbiah seumpama akar atau nyawa
generasi Sungguh besar peranan mendidik ini sehingga digambarkan oleh Ustaz
Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu bahawa didikan dan
tarbiah seumpama akar atau nyawa bagi generasi. Bahananya, generasi yang
berdiri tanpa didikan memang masih mampu berdiri, tetapi dalam keadaan lemah
dan sentiasa terjajah oleh musuh-musuhnya. Setiap individu ada peranan dalam mendidik.
Menjadi kewajipan ibu bapa mengenalkan anak kepada Rasulullah SAW dan cinta
terhadap Baginda. Ia hanya akan terlestari jika ibu bapa terlebih dahulu kenal
dan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mengenali dan mencintai
tidak hanya terletak kepada pengetahuan salasilah Baginda SAW, tetapi ia sangat
berkait rapat dengan rasa dan tindakan.
Seni memindahkan rasa cinta kepada diri
anak bukan sekadar menerusi lisan, malah perbuatan yang hadir dari hati dan
dilakukan sepenuh hati. Anak adalah cermin dan pantulan daripada pelakuan ibu
bapanya. Setiap yang terzahir daripada sifat dan tabiat anak seharusnya menjadi
musabab buat ibu bapa dan bukannya modal melampiaskan marah. Sebagaimana
ingatan Umar kepada si ayah, sesungguhnya anak derhaka itu hanyalah produk
hasil ibu bapa yang derhaka terlebih dahulu. Tidak dapat dinafikan, terkadang
kita tergelincir dalam mendidik anak. Maka, perbanyakkan taubat dan memohon
keampunan kepada Allah SWT. Bersungguh dalam memohon keampunan menerusi
keinginan dan kemahuan untuk terus belajar dalam mendidik tanpa mengira faktor
usia dan status dalam masyarakat dan keluarga. Anak adalah anugerah, tetapi ia
tidak terhenti sekadar itu. Ia juga adalah amanah. Kita perlu sentiasa ingat
bahawa anak itu dipinjamkan Allah untuk diusahakan kerana pada akhir nanti
anugerah itu akan kembali kepada Penciptanya. Disebabkan anak itu amanah, wajib
bagi ibu bapa mendidik mereka mengikut acuan Pemberi amanah. Acuan yang
ditetapkan berupa tujuan hidup anak itu iaitu menjadi hamba Allah dan menjadi
khalifah yang memberi manfaat kepada yang lain. Menjadi anak yang baik dan
memberi kebaikan. Oleh itu, penting bagi anak ini diterapkan dari awal lagi
berkenaan ilmu wahyu untuk mengenal Penciptanya dan perlu juga menguasai ilmu
fardu kifayah bagi memudahkan matlamat kedua iaitu untuk memberi manfaat pada
yang lain. Anak cinta Allah akan kenal ibu bapa Ibu bapa perlu yakin, anak yang
kenal dan cinta Allah secara tidak langsung akan kenal dan cinta ibu bapanya.
Anak yang lupa Allah, bukan sekadar lupa ibu bapanya bahkan akan lupa dirinya.
Hilang cinta pada diri ini menuju kepada kebinasaan. Apabila anak itu sedar
mengenai cinta Allah, sekali gus terdidik bahawa reda Allah terletak pada reda
ibu bapanya. Disamping, cinta Allah akan merapatkannya dengan al-Quran yang
terkandung di dalamnya berkenaan berbuat baik dan mendoakan ibu bapa.
Sesungguhnya, apabila ada cinta Allah, individu itu memiliki segala-galanya,
tetapi jika dia miliki segala-galanya tanpa cinta pada Allah nescaya dia hilang
segala-galanya. Kiraannya mudah, jika kita mengajar anak mengenali Allah tanpa
mengharapkan sebarang balasan, nescaya Allah akan memberi ganjaran lebih
banyak. Selagi jasa selaku ibu bapa perlu dikenang oleh anak, selagi itu juga
anak akan melupakan jasa baik ibu bapanya berpunca daripada terlepas didikan
wajib yang utama iaitu mengenal Pencipta mereka yang juga Pencipta kepada kedua
ibu bapanya. Didik anak seikhlasnya tanpa menjangkakan sebarang balasan. Proses
didikan sewajarnya bermula dari hati. Didik anak itu amanah bukannya jasa.
Sebelum mendidik orang lain ada baiknya terlebih dulu didiklah hati sendiri.
No comments:
Post a Comment