NAMA: SITI AMINAH BINTI ISMAIL
NO. SIRI: 068
Hidup seolah-olah tidak akan sempurna tanpa cermin! Apa tidaknya,
hari-hari kita menatap wajah sendiri di cermin. Apatah lagi ketika keluar rumah
untuk ke tempat kerja. Kita ingin memastikan penampilan diri sesuai dengan
tugas, jawatan dan pangkat yang disandang! Satu sifat cermin yang amat memberi
manfaat ialah berupaya memaparkan imej yang sama dengan objek. Namun apakah
objek dan imej yang terpantul sentiasa sama dengan objek sebenar? Pernahkah
melihat diri anda sangat menawan di suatu ketika, namun sangat mengecewakan
saat berdiri di hadapan cermin lain ? Kelihtan cermin itu seolah-oleh menipu.
Bagaimana boleh berlaku demikian? Mungkin akibat bahan pencemar di atas
permukaan cermin akibat tidak dibersihkan atau sememangnya cermin itu rendah
kualitinya.
Bersih cermin cantiklah objeknya kerana mampu memaparkan objek
sebenar, bersih dan cantik andai permukaannya tidak tercemar. Begitu juga hati
yang bersih akan memandu anggota badan lain untuk melakukan kebaikan.
Organ-organ deria khususnya pendengaran dan penglihatan akan terarah kepada
kebaikan. Hati yang bersih hanya mampu dimiliki dengan sentiasa mengingati
Allah. Sedar akan kehadiran Allah dalam setiap helaan nafas. Allah Maha
Melihat, Maha Mendengar, Maha Adil , dan maha segala-galanya. Dengar kesedaran
ini terpahat teguh, hati itu akan menjadi hati yang amat berkualiti dan mahal.
Lantas memantulkan perlakuan yang baik, bak cermin yang mahal menghadiahkan
kita imej yang baik untuk menjadi tatapan.
Jika cermin tercemar, adakah wajah mengharapkan satu imej yang
cantik dan menarik terhasil daripada sekeping cermin yang tercemar? Sudah tentu
tidak! Begitu juga mustahil mengharapkan kebaikan dapat dilakukan apabila hati
kita tercemar. Lalu apakah pencemar hati? Mari kita renungi apa yang diucapkan
Imam al- Syafi’I, “ Aku bertanya kepada guruku Waqi’ tentang buruknya
hafalanku. Dinasihatinya aku agar meninggalkan segala maksiat. Diberiahunya aku
bahawa ilmu itu cahaya, sedang cahaya Allah tidak diberi kepada orang yang
berdosa”. Dosa , itulah pencemar hati!! Apabila satu dosa dilakukan, satu titik
hitam akan menutupi hati. Dosa diteruskan, kesannya penambahan titik-titik
hitam tersebut. Hingga sampai satu ketika keseluruhan hati akan dipenuhi
titik-titik hitam yang menghalang pancaran nur Ilahi ke dalamnya.
Hasilnya hati jadi keras, degil dan tidak mahu menerima apatah lagi
menegakkan kebenaran. Hati ini akan jadi sekeras batu, malah lebih keras
daripada itu. Jika cermin yang kotor mampu dibersihkan, begitu juga dengan hati.
Bersihkanlah hati dengan istighfar.
No comments:
Post a Comment