Ditulis oleh: CHE NURYASIRAH BT CHE GHAFFAR
No.siri: 067
No.Matrik: 14021225
Wanita tidak boleh dipisahkan dengan fesyen.
Bermula dengan pakaian, kasut dan tudung.
Masing-masing mahu kelihatan bergaya, cantik, menarik dan menjadi
perhatian orang ramai. Tidak dinafikan
bahawa bukan semua wanita tergolong dalam golongan ini, tetapi realitinya
kemunculan rekaan-rekaan fesyen adalah untuk memberi pilihan kepada kaum
wanita. Jika dilihat fesyen tudung hari
ini tidak dapat dikira jumlahnya.
Pelbagai jenis tudung diperkenal dan memenuhi pasaran. Di antaranya,
tudung HybridShawl, Ayana,Fareeda,Arini,Bokitta, Bawal Exclusive,Pearl
Haya,Sugarscarf Isha Nur, dan lain-lain.
Muncul juga festival-festival busana Muslimah yang memperagakan pelbagai
jenis fesyen yang diadakan di dalam dan luar negara. Masing-masing mempamerkan bakat tanpa
mempedulikan sama ada perkara tersebut bertepatan dengan tuntutan agama ataupun
tidak.
Islam tidak melarang untuk berfesyen, selagi
mana tidak bertentangan dengan garis panduan yang telah ditetapkan. Pemakaian tudung bukan satu perkara yang
hanya melibatkan individu tertentu sahaja.
Ia juga secara tidak langsung memberi kesan kepada masyarakat dan agama
khususnya. Kefahaman yang baik mengenai
agama akan terzahir melalui akhlak dan perwatakkan seseorang. Begitu juga dalam pemakaian tudung, jika
difahami hukum dan kenapa ia disyariatkan maka seseorang itu tidak akan
berlebihan dan keluar daripada peraturan yang telah ditetapkan. Kaum wanita perlu tahu bahawa hukum pemakaian
tudung adalah wajib. Oleh yang demikian,
tiada alasan dan pengecualian diberikan kepada mana-mana pihak. Hukum wajib ini bermula apabila seseorang
perempuan telah mencapai usia baligh.
Kanak-kanak tidak termasuk dalam hukum ini buat sementara waktu, akan
tetapi Islam menyarankan ibubapa agar mula melatih anak-anak mereka menutup
aurat bermula dari usia kanak-kanak. Bak
kata pepatah “hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ini kerana, walaupun mereka tidak mengetahui
tujuan dan hukumnya, namun perlu diberi perhatian di atas pesanan Rasulullah
SAW iaitu awal-awal agama ialah mengingati Allah. Ertinya, biarlah kecintaan kepada Allah
tertanam di dalam hati mereka sehingga timbul rasa takut dan patuh pada suruhan
dan menjauhi larangan-Nya.
Pemakaian tudung bukan sahaja bergantung
kepada kefahaman pensyariatannya. Ini
kerana, setiap sesuatu perkara itu bermula dengan niat. Jika niatnya kerana Allah SWT maka pahala
yang akan diperolehnya, tetapi jika sebaliknya maka ia sia-sia dan tidak akan
memberi sebarang manfaat kepada seseorang itu.
Niat yang betul dalam pemakaian tudung adalah bertepatan dengan tasawur
Islam. Mengikut tasawur Islam, pemakain
tudung mestilah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu:
1. Mesti menutupi kepala, bahagian dada dan
termasuk leher
Perkara ini bagi
membetulkan perspeksi masyarakat yang salah faham bahawa tudung hanya perlu
menutupi bahagian rambut sahaja.
Kefahaman ini sama sekali tidak bertepatan dengan aturan Islam kerana
Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: “dan
Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan
mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir
daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung
kepala mereka...” ( al-Nur, 24: 31)
Yang di
maksudkan dengan menutup belahan leher dalam ayat ini ialah menutup kepalanya
dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher. Termasuk juga semua tempat yang boleh membawa
fitnah.
2. Tidak jarang hingga menampakkan leher dan
telinga
Pemakaian tudung
bukan sahaja diwajibkan menutupi bahkan ia juga perlu melindungi. Bermaksud tudung bukan sahaja untuk menutup
tetapi ia juga menghalang daripada kelihatannya aurat, bermaksud setiap tudung
mestilah tidak jarang sehingga menampakkan aurat sama seperti tidak bertudung.
3. Tidak mengikut cara pemakaian orang kafir
Umat Islam diharamkan
dari mengikuti cara orang kafir, tetapi kemunculan kebanyakan fesyen hari ini
menjurus ke arah tersebut. Contohnya,
sanggul bonggol unta, pusingan tudung yang menyerupai kaum jahiliyah dan
lain-lain. Perkara ini dilarang tegas
oleh Rasulullah SAW,
Maksudnya: “Ada
dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat
mereka. Pertama, golongan (penguasa)
yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul
orang. Kedua, perempuan yang berpakaian
tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan
bahu. Kepala mereka (sanggul di atas
kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk
syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah
tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya ” ( Riwayat Muslim, no. 2128)
4. Tidak tabarruj ( hiasan yang berlebihan
hingga menarik perhatian seseorang)
Tujuan bertudung
adalah untuk menjaga dan melindungi kaum wanita. Tudung bukannya hiasan tambahan untuk menarik
perhatian dan menambah fitnah manusia.
Tudung yang ditambah dengan pelbagai aksesori seperti manik-manik,
berlian, bunga dan lain-lain sehingga orang ramai tertumpu kepada kecantikannya
akan menenggelamkan tujaun asal disyariatkan bertudung iaitu mengelak daripada
fitnah. Hukum tabarruj adalah berdosa
kerana boleh membawa kepada zina dan masalah sosial yang lain.Perkara ini
dilarang oleh Islam dalam menjaga kemaslahatan manusia.
5. Pakaian hendaklah selari dengan imej
bertudung
Salah faham
tentang pemakaian tudung juga menyebabkan ramai orang yang hanya bertudung
tetapi aurat yang lain didedahkan. Perlu
diperbetulkan di sini bahawa bertudung merupakan salah satu kewajipan untuk
menutup sebahagian aurat iaitu rambut, bahagian dada dan leher. Manakala, aurat wanita yang lain seperti
betis, badan, dan lengan juga perlu dilindungi daripada terdedah. Bukan dikatakan seseorang itu sudah menutup
aurat jika dia hanya memakai tudung, tetapi pakaiannya ketat, seluarnya ketat
dan skirtnya pendek. Ini kerana, tujuan
asal menutup aurat itu sendiri adalah melindungi wanita, jika bertudung hanya
kerana untuk dikatakan cantik dan baik tetapi aurat lainnya dibuka maka tujuan
asalnya tidak akan sampai. Wanita yang
betul-betul faham mengenai tujuan menutup aurat bukan sahaja akan mendapat
perlindungan daripada Allah SWT, mereka juga akan dikenali di dunia sebagai
perempuan yang baik-baik seperti mana dalam firman Allah SWT iaitu;
Maksudnya: “Wahai
Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta
perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup
seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk
mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak
diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(al-Ahzab, 33: 59)
Tidak salah juga jika kaum wanita mahu
kelihatan cantik dan bergaya, asalkan kecenderungan tersebut tidak melampaui
batas dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh seseorang yang bergelar
Muslimah. Berfesyen juga dibenarkan jika
ia kena pada keadaan dan tempatnya.
Bertudung mengikut panduan-panduan yang telah digariskan akan memberikan
ketenangan dan keselamatan kepada si pemakai.
Ini kerana, pensyariatan bertudung mempunyai kelebihan yang tidak
terhingga kepada sesiapa yang mengetahuinya.
Jangan kerana terlalu mengejar kecantikan dan fesyen, sehingga agama
diketepikan. Dunia hari ini, tidak lagi
menerima alasan yang mengatakan kekurangan ilmu dan maklumat menyebabkan
seseorang itu melakukan kesalahan. Ilmu
perlu dicari bagi menambahkan kefahaman dan sekaligus dapat memperbaiki akhlak
dan tatasusila seseorang manusia.
Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang
melindungi dan menjaga kehidupan manusia.
Disebabkan sikap takabur dan tamak, manusia sering kali lalai daripada
perintah dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Oleh itu, selain daripada kaum wanita itu
sendiri, ayah, ibu, dan suami juga perlu memainkan peranan dalam mendidik anak
dan isteri mereka dalam mematuhi kewajipan menutup aurat. Aurat merupakan perkara yang perlu dilindungi
dengan pakaian dan tudung yang menepati kehendak syarak.
No comments:
Post a Comment