Thursday, February 23, 2017

Oh Muslim, Bahagiakanlah Ibumu.


Ditulis oleh:Hasbul Yamin Bin Mohd Zin
No matrik:14021084
No siri:113


Setiap insan yang hidup di muka bumi pasti lahir melalui ibunya.  Ibunyalah yang mengandungkannya.  Dengan penuh susah payah kandungan itu dibawa pada setiap masa ke setiap tempat. Selama lebih kurang 9 bulan lamanya. Selepas itu terpaksa pula bertarung dengan kesakitan yang amat dahsyat melahirkannya. Ibu sanggup menaruh nyawa untuk kelangsungan hidup anak yang bakal dilahirkan. Sebagaimana Maksud firman Allah Taala :
Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, ia berkata: “Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak berarti, lagi dilupakan”.  Surah Maryam:  23.  

Selepas itu ibu menyusukannya pula dengan penuh kasih sayang, membesarkannya, mendodoikan tidurnya, menyikatkan rambutnya, memandikannya, membancuh minuman kesukaan anaknya, membasuh kasut dan baju anaknya, memakaikannya dengan pakaian, mendidiknya, memujuknya, bermain dengannya, menyapu air matanya, mendukungnya ke mana sahaja tempat dituju dan sebagainya.  Pendek kata, keseluruhan hidup insan akan sentiasa melibatkan ibunya.  Tidak pernah putus belas kasih, sayang dan sumbangan ibu kepada anaknya sejak sebelum lahir sehingga mencecah usia insan itu pada hari ini.

Darjat ibu sangat tinggi. ALLAH subhanahu wata’ala selalu berfirman di dalam al-Quran tentang kepentingan menghormati ibu dan bapa.Maksud firman Allah Taala :
“Sembahlah ALLAH, janganlah kamu mempersekutukanNYA dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu dan bapa kamu.”  –  Surah an-Nisa: 36.
Tuntutan menghormati ibu dan bapa sangat penting sehingga ia sering disebutkan di dalam al-Quran secara bergandingan dengan ketaatan kepada TUHAN.  Taatlah kamu  kepada ALLAH, berbuat baiklah  kepada ibu bapa. Ia merupakan  perkara yang paling penting selepas taat kepada ALLAH.

Kita dilarang menderhakai ibubapa. .Penderhakaan kepada ibubapa akan mengundang kemurkaan ALLAH subhanahu wata’ala.  Malah menderhakai ibubapa merupakan dosa besar yang memerlukan kita untuk bertaubat nasuha.  Justeru, kita wajib patuh kepada mereka walaupun jika mereka bukan beragama ISLAM. Walaupun begitu, kita dilarang untuk mengikuti telunjuk ibu dan bapa kita sekiranya apa yang disuruh oleh ibubapa bercanggah dengan hukum syara’. 

Mari kita merujuk kepada beberapa pesan Nabi sallALLAHU ‘alaihi wasallam tentang kepentingan menghormati ibu dan bapa supaya dapat kita menginsafi diri dan seterusnya berazam untuk menjadikan diri kita seorang hamba ALLAH yang bertaqwa dan menjadi anak yang soleh.
Abu Hurairah r.a berkata:
“Seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam dan berkata:  Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang lebih berhak mendapat layanan dan kasih sayangku?  Nabi s.a.w berkata:  Ibumu.  Kemudian siapa pula?  Nabi s.a.w berkata:  Ibumu.  Dia bertanya lagi:  Kemudian siapa pula?  Nabi menjawab:  Ibumu.  Bertanya lagi beliau:  Kemudian siapa?  Nabi s.a.w berkata:  Bapamu.”  –  Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Daripada nas di atas, jelas bahawa menghormati ibu dan bapa sangat penting.  Bahkan menjaga kedua ibu bapa adalah lebih diutamakan dari keluar menyertai jihad.  Dalam sejarah Nabi sallALLAHU ‘alaihi wasallam, pernah Baginda s.a.w mengiktiraf seorang pemuda sebagai ‘penduduk langit’ hanya disebabkan oleh ketekunan pemuda tersebut menjaga ibunya yang sedang uzur.  Walhal pemuda tersebut sangat ingin bertemu Nabi s.a.w.  Pemuda tersebut memeluk ISLAM hanya melalui penduduk Yaman yang pernah berjumpa Rasulullah s.a.w.  Beliau tidak pernah berjumpa Nabi s.a.w.  Tapi hasrat beliau tersebut terpaksa diketepikan lantaran menjaga ibunya.  Hatta, Nabi s.a.w pernah menyarankan para sahabat Baginda s.a.w mendoakan mereka dan memohon keampunan untuk mereka sekiranya dapat berjumpa dengan pemuda tersebut.  Pemuda tersebut adalah Uwais al-Qarni.
Di dalam hadith atas juga dapat kita simpulkan bahawa keutamaan ibu lebih tinggi berbanding bapa untuk kita berikan perhatian.  Ini kerana pengorbanan ibu dan bapa sama-sama besar, tetapi ibu lebih besar dari segi pengorbanannya keran ibulah yang mengandung dan menyusukan kita dalam tempoh yang panjang.
Mudah-mudahan tulisan ringkas ini dapat mengembalikan kita kepada landasan ajaran ISLAM dari segi menghormati ibu dan bapa.  Setiap kita biasa melakukan kesilapan.  Mudah-mudahan kesilapan kita diampuni oleh ALLAH.  Mohonlah keampunan ibu dan bapa kita selagimana  kesempatan masih ada.

Jagalah adab dan perlakuan kita, jangan sampai menyinggungkan hati mereka.dan Sayangilah mereka,.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *