Saturday, February 18, 2017

Fitnah Alam Maya


Ditulis oleh: Nor Sholiha Bt Mohd Amin
No Matrik: 14021128
No Siri: 006

Hari ini kita dapat menyaksikan bahawa masyarakat begitu gemar memfitnah, memberi maklumat palsu, berprasangka buruk, dan membuat pernyataan emosi sehingga wujud salah faham yang membawa kepada caci-maki, kutuk-mengutuk, tuduh-menuduh, malah membuat kesimpulan dan menghukum seseorang dengan bersandarkan maklumat yang diviralkan di media-media sosial seperti Whatsapp, Instagram, Twitter, Facebook, Wechat dan pelbagai aplikasi yang lain.

“ Alam maya ” merupakan alam yang tidak wujud, iaitu bukan realiti. Alam ini hanya wujud dalam bayangan, khayalan atau lebih tepat lagi fantasi. Ia kelihatan seperti ada tetapi sebenarnya tidak wujud.

Sejak zaman teknologi maklumat ini berkembang, perkataan maya dalam Bahasa Malaysia membawa makna yang baru. Ia digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan virtual dan cyber. Jadi virtual reality menjadi realiti maya. Walaupun ramai yang menggunakan istilah siber bagi terjemahan cyber. Pada awal dahulu, istilah yang digunakan bagi cyberspace ialah ruang maya. Maknanya perkataan maya telah dibawa kepada zaman komputer dan internet.


Gambar Hiasan
Fitnah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud tuduhan jahat yang sengaja dilakukan untuk memburuk-burukkan seseorang. Tambahan lagi, fitnah juga tergolong sebagai salah satu jenis jenayah yang kian berleluasa pada masa kini. Dalam Kanun Keseksaan, fitnah turut juga diperkatakan. Fitnah menurut konteks undang-undang pula terbahagi kepada dua iaitu fitnah libel dan fitnah slander. Fitnah libel adalah fitnah yang berbentuk kekal seperti fitnah dalam bentuk penulisan, lukisan, gambar-gambar, patung-patung, bahan-bahan bercetak dan sebarang contoh yang melibatkan deria penglihatan. Fitnah dalam penulisan alam maya boleh dikatakan sebagai tuduhan jahat yang boleh menjatuhkan reputasi seseorang yang dibuat menerusi penulisan dan seterusnya dipaparkan atau disebarkan dalam laman sesawang. Situasi ini boleh dilihat dengan jelas dalam blog-blog hiburan, laman ‘facebook’ dan lain-lain lagi.

Fitnah bukan sahaja perbuatan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah S.W.T bahkan juga membawa kesan buruk kepada individu mahupun masyarakat. Antara kesan fitnah ialah menimbulkan keburukan dan mengaibkan orang. Nama baik dan air muka seseorang individu boleh tercemar atau tercalar apabila fitnah dilemparkan kepadanya yang mana boleh mengaibkan dirinya. Hal ini boleh mewujudkan rasa kebencian dan permusuhan terhadap mangsa fitnah tersebut. Dengan ini, individu itu bukan sahaja akan berdepan dengan cercaan dan pandangan serong terhadapnya malah reputasi dan kredibilitinya juga akan dipertikaikan. Antara impaknya ialah tercetusnya masalah rumah tangga sehingga mengakibatkan perceraian akibat cerita buruk melalui fitnah yang disebar. Selain itu, fitnah juga boleh menjejaskan periuk nasi mangsa dan pekerjaan atau sumber rezeki seseorang. Fitnah secara tidak langsung juga boleh menyebabkan sesorang mangsa mengalami tekanan emosi dan masalah psikologi apabila timbul stigma, pandangan negatif dan prejudis terhadap dirinya. Selain itu, fitnah mampu mengancam keselamatan negara apabila nama negara terjejas. Anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan negara dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan. Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah.


Gambar Hiasan

Langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah fitnah adalah mewujudkan sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka dan bebas berbanding media cetak. Memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat tentang etika penulisan yang sebenar. Jika dilihat, masyarakat kini lebih cenderung untuk sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan akibat daripada penulisan tersebut. Hal ini terjadi kerana mereka tidak tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan itu sendiri. Dalam hal ini, media massa dan elektronik akan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyebarkan prosedur sebenar penulisan yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan sahaja berkaitan isu sensitif seperti berkenaan agama dan politik malahan penggunaan bahasa yang sesuai dalam penulisan. Seterusnya, isu fitnah dapat diatasi dengan melakukan penyemakkan data-data, fail atau laman-laman sesawang didaftarkan sebelum boleh dilayari. Hal ini bagi memudahkan sebarang maklumat tidak sah atau tidak benar dikesan seterusnya membolehkan seseorang lebih berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu tulisan mereka kerana dikhuatiri mengandungi unsur fitnah.


Kita haruslah mementingkan sumber yang sahih dan mengelakkan daripada berprasangka buruk tanpa maklumat yang tepat. Hari ini, fitnah dan berita palsu banyak tersebar akibat sikap prasangka yang sebati dalam budaya kita. Allah mengingatkan kepada kita mengenai ancaman azabnya terhadap orang yang banyak berprasangka buruk dan menggunakan saluran maklumat untuk tujuan jahat atau propaganda bagi menjatuhkan orang lain. Elakkan daripada mengunjungi sumber maklumat di alam siber yang berbentuk forum bebas, blog, Facebook atau laman hos bebas kecuali benar-benar kita mengenali autoriti penyedianya.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *