Friday, February 24, 2017

Pencemaran Bahasa Melayu


Ditulis oleh: Nor Sholiha Bt Mohd Amin
No Matrik: 14021128
No Siri: 006

Pencemaran bahasa merangkumi aspek tatabahasa, struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan "bahasa rojak" dan sebagainya. Dalam era teknologi yang kian rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi ‘lingua franca’ kini kian hilang. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu.

Pengetahuan bahasa yang lemah juga menyumbang ke arah pencemaran bahasa. Kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa rojak, SMS dan sebagainya adalah mereka yang mempunyai pengetahuan yang cetek dan tidak peka terhadap bahasa yang digunakan dalam berkomunikasi. Selalunya mereka akan menggunakan bahasa harian mereka terutamanya bahasa pasar. Di samping itu, budaya asing yang meresap masuk ke negara kita juga merupakan salah satu punca pencemaran bahasa ini berlaku. Hal ini dapat dikaitkan dengan budaya hip-hop yang semakin popular dalam kalangan remaja di Malaysia. Kemunculan kumpulan muzik ini membawa kepada pencemaran bahasa kerana penciptaan lirik lagunya menggunakan bahasa pasar.
Bahasa yang digunakan oleh radio, televisyen, atau akhbar sering menjadi ikutan pengguna misalnya dalam drama ataupun rancangan yang disiarkan di kaca televisyen kebanyakannya menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran antara Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Sebilangan orang besar orang yang diwawancara di kaca televisyen turut menggunakan bahasa rojak. Perkara-perkara seperti ini membawa kepada berlakunya pencemaran Bahasa Melayu kerana orang ramai akan mudah terpengaruh dengan bahasa yang digunakan di media.
Gambar Hiasan
Kesan gejala bahasa rojak dan lagu rojak kepada penggunaan bahasa kebangsaan ini ialah mereka tidak lagi memandang tinggi akan kemampuan bahasa rasmi negara. Malah, kemungkinan besar bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua atau bahasa ketiga bagi rakyat Malaysia jika tiada usaha untuk menangani masalah ini. Senario ini juga boleh menjadi ‘barah’dan merosakkan bahasa Melayu. Kekerapan menggunakan bahasa yang tercemar secara meluas akan melahirkan rakyat yang buta bahasa sendiri. Tidak mustahil kegagalan pelajar-pelajar di sekolah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu disebabkan mereka terlalu kerap menggunakan bahasa rojak dan bahasa pasar.


Usaha bagi mengatasi masalah pencemaran bahasa Melayu perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib. Hal ini penting bagi memastikan generasi akan datang dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Kerajaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan pihak-pihak yang terbabit perlu mengambil tindakan yang tegas dan berterusan agar masalah pencemaran bahasa ini tidak berlaku khususnya dalam situasi formal. Pihak yang mempunyai kuasa yang besar seperti Perdana Menteri harus sentiasa menekankan penggunaan bahasa kebangsaan kita setiap masa sama ada dalam ucapan rasminya ataupun semasa ditemu bual oleh wartawan. Dengan ini, apabila beliau sentiasa menggunakan bahasa kebangsaan secara baik dan kerap, ini akan menjadi ikutan kepada orang bawahannya.

3 comments:

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *