Friday, February 24, 2017

Cabaran remaja gen Y


Disediakan oleh : Mohamad Ziyad Bin Mohamad Yuden
No. Siri                 : 098

Usia remaja adalah usia yang penuh cabaran, liku dan kecelaruan. Dalam usia ini remaja sering mengalami tekanan, kecelaruan mengenali identiti diri dan mudah terpengaruh dengan persekitaran.

Remaja dalam bahasa Arab disebut sebagai murahaqah. Murahaqah berasal daripada perkataan rahaqa yang membawa maksud dari sudut bahasanya ialah bodoh, ringan, melakukan keburukan dan kezaliman dan melakukan hal-hal yang diharamkan. Ia satu nama dari tindakan membuat helah, iaitu membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ia lakukan, dusta serta tergesa-gesa. Manakala perkataan rahiqa pula membawa maksud hampir kepada usia dewasa dan hampir sempurna kematangannya. Perkataan al-rahq pula bermaksud menguasai dan bertambah. Keadaan yang mencerminkan keadaan emosi seorang remaja.

Orang Inggeris menyebut remaja sebagai adolecern. Ia bermaksud hampir secara berperingkat kepada kematangan. Tanda-tanda kematangan seorang remaja boleh dilihat daripada kematangan seksual dan kematangan kelenjar reproduksi. Remaja atau murahaqah bagi seorang perempuan bermula antara usia 11-13 tahun dan lelaki bermula antara 12-14 tahun. Usia remaja seorang perempuan berlanjutan sehingga berumur 17 tahun. Mana kala lelaki pula ialah berlangsung sehingga berumur 18-19 tahun.

Pertembungan antara baik dan buruk

Sebenarnya dalam diri seorang remaja itu terkumpul sifat baik dan sifat buruk. Sikap bodoh, melakukan kejahatan dan kezaliman, melakukan perkara yang haram dan merbahaya, memaksa dan mendesak serta gopoh adalah antara sikap negatif seorang remaja. Sekiranya tidak dididik dan dibentuk dengan adab yang mulia dan akhlak Islam remaja ini akan terus hanyut tanpa kawalan.

Dalam waktu yang sama, dalam usia ini juga remaja sudah menuju kematangan dan bersedia untuk membentuk diri menjadi baik dan bertanggungjawab. Sebab itu ada setengah ulama menyamakan fasa remaja sebagai fasa murahaqah. Di mana seseorang menjadi baligh dan berupaya menerima tanggungjawab seperti menjauhi yang haram dan melakukan yang halal. Justeru, Islam menegaskan pendidikan akidah, adab, fekah dan muamalat perlu ditekankan semenjak zaman kanak-kanak lagi. Perintah ini sebagai persediaan kepada anak yang meningkat remaja, supaya dia mampu menerima tanggungjawab dan berkembang untuk menjadi matang dan bijaksana.

Remaja Gen Y yang ingin bebas

Remaja generasi Y ini dikatakan lahir pada 1977 – 1997. Antara ciri-ciri remaja generasi Y pada hari ini ialah keinginan mereka untuk bebas membuat keputusan dan pilihan, mereka mahu bebas bersuara dan sangat terbuka terhadap sesuatu perkara. Mereka sangat menghargai keterbukaan, ketelusan dan kejujuran serta cenderung kepada membina hubungan antara satu sama lain tanpa mengira jantina, warna kulit, bangsa dan agama. Dalam waktu yang sama, mereka sangat interaktif dan inginkan sesuatu dengan cepat dan pantas.

Keterbukaan yang merbahayakan

Remaja ini dilahirkan ketika dunia dilimpahi dengan segala macam teknologi maklumat dan informasi. Lahir dalam dunia yang sedang laju dan kehidupan dihujung jari. Dunia yang terbuka luas tanpa sempadan yang tidak boleh menyekat mereka untuk berhubungan antara satu sama lain. Remaja ini lahir dalam era globalisasi yang sedang mencorak kehidupan manusia.

Globalisasi adalah proses membentuk sebuah dunia tanpa sempadan dan kedudukan geografi. Proses ini mengakibatkan dunia sudah tidak mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi berbagai-bagai saluran informasi dan tele komunikasi seperti internet, media eletronik dan teknologi siber. Keterbukaan ini menjadikan perhubungan antara manusia sesama manusia menjadi semakin dekat dan tempoh yang sangat cepat dan singkat.

Secara langsung, remaja Gen Y terdedah dengan berbagai-bagai ajen globalisasi yang mempengaruhi cara mereka berfikir, bertindak, bertingkah laku dan membuat keputusan dan pilihan.

TIGA cabaran yang dihadapi oleh remaja generasi Y

i- Cabaran ICT

Remaja hari ini terdedah dengan teknologi maklumat yang cukup terbuka dan bebas. Para remaja boleh mengakses laman pornografi dengan begitu mudah tanpa sebarang halangan dan kesukaran. Begitu juga laman-laman sesawang yang boleh merosakkan akidah dan mencairkan jatidiri Islam seseorang remaja. Oleh sebab itu, para ibu bapa perlu mempunyai peraturan dan ketegasan dalam isu yang berkaitan penggunaan internet seperti penggunaan youtube, facebook, instalgram, whatsapps dan lain-lain. Kebebasan tanpa had dan batasan akan merosakkan minda dan otak remaja selain merosakkan jatidiri muslim seorang remaja. Banyak berita yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana tentang kisah remaja-remaja lelaki yang merogol adik perempuan dan kawan-kawan perempuan mereka setelah terangsang akibat melihat video lucah atau aksi lucah di internet.

ii- Ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya

Kesibukan ibu bapa hari ini mengakibatkan pendidikan agama anak-anak terabai. Masa anak-anak banyak dihabiskan bersama pembantu rumah atau berada di hadapan televisyen tanpa batasan. Secara langsung keadaan mempengaruhi kehidupan anak-anak sehingga mereka memilih untuk menentukan cara hidup mereka sendiri. Kesibukan ini sekiranya tidak diimbangi dengan penekanan soal keagamaan dan kerohanian dalam diri anak-anak mengakibatkan anak-anak tidak tahu membezakan antara yang halal dan yang haram. Faktor kesibukan ibu bapa juga menjadi antara alasan kuat golongan remaja ini untuk keluar mencari keseronokan sendiri bersama kawan-kawan. Kesilapan dalam memilih kawan, boleh memberikan akibat yang buruk kepada kehidupan dan masa depan remaja.

iii- Sistem pendidikan yang diplomasi

Cara mendidik remaja generasi Y hari ini amat berbeza dengan pendidikan generasi X dan sebelumnya. Remaja hari ini berhadapan dengan diplomasi pendidikan yang cukup tinggi sehingga menyebabkan para pendidik dan guru akan berhadapan dengan tindakan disiplin sekiranya mereka melakukan kekasaran kepada para pelajar. Berbeza dengan sistem pendidikan dahulu yang mengiktiraf penggunaan rotan dan hukuman kepada murid. Pada hari ini, kesalahan dan kenakalan murid hanya perlu diatasi dengan nasihat dan khidmat kaunseling. Sebahagian daripada kaedah ini tidak berjaya membentuk murid yang taat kepada perintah agama dan takut kepada Allah SWT dalam setiap amalan dan tingkah laku.

Ketiga-tiga cabaran ini mendedahkan remaja Gen Y kepada sebuah kehidupan yang cukup bebas daripada ikatan peraturan agama. Perkara ini mudah berlaku sekiranya tidak diberikan penekanan yang sewajarnya oleh ibu bapa dan penjaga. Longgarnya kehidupan dan penghayatan agama akan mendorong berbagai-bagai jenayah dan masalah sosial yang bakal membelenggu kehidupan remaja.


Fenomena itu telah berlaku pada hari ini. Statistik penagihan dadah, jenayah juvana, kelahiran luar nikah, rogol, buang bayi semakin meningkat tahun demi tahun. Oleh sebab itu, para ibu bapa perlu mengimbangi antara tugas mencari rezki dan bekerjaya dengan keperluan anak-anak terhadap kasih sayang dan perhatian ibu bapa. Yang lebih penting penekanan terhadap pendidikan dan penghayatan agama dalam rumahtangga. Inilah yang boleh menyelamatkan kita daripada dibakar oleh api neraka.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *