DITULIS OLEH : ZIE AFNAN BINTI DAUD LATFI
NO SIRI : 032
Secara semula jadi anak-anak akan terpengaruh dengan perbuatan ibu
bapa. Jika ibu berbohong, anak-anak mentafsirkan bohong sebagai perbuatan yang
baik dan wajar dilakukan.
Tindakan Hasil Pemerhatian
Kadang-kadang ibu bapa mengeluh perihal anak-anak yang degil dan
susah untuk mendengar kata. Ada yang malas belajar, banyak menonton televisyen,
terlalu banyak membazirkan masa dengan bermain dan susah untuk bangun bersolat.
Hakikatnya, perilaku anak-anak tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya
melalui proses yang panjang. Malah sebahagiannya hasil pemerhatian terhadap
perilaku ibu bapa mereka sendiri.
Jika ibu bapa tidak pernah membaca buku di rumah, janganlah hairan
jika anak dilihat liat untuk belajar. Begitu juga jika bapa ‘hantu bola’ di
depan televisyen dan ibu peminat setia drama bersiri, jangan terkejut jika
anak-anak ta’sub dengan siaran kartun. Jika ibu bapa kerap melewat-lewatkan
solat, maka anak-anak biasanya gagal menjadi anak yang tekun bersolat.
Pada peringkat ini, kata-kata nasihat, leteran dan suruhan sudah
tumpul kesannya. Katalah apa sekalipun, anak-anak sudah tidak endahkan lagi.
Dalam fikiran mereka terpahat kukuh memori tentang perilaku ibu bapa mereka
yang berbuat kesalahan sama seperti mereka. Bahkan anak-anak rasa mereka lebih
baik sebab tidak ‘cakap tak serupa bikin’.
Buat Sebelum Cakap
Mungkin kita perlu diingatkan kembali amaran keras daripada Allah
kepada orang yang hanya pandai berbicara baik tetapi gagal mempraktikkan
sendiri apa yanf dibicarakan. Allah berfirman, “Wahai orang yang beriman!
Mengapa kamu berkata apa yang kamu tidak laksanakan? Sangat besar dosanya di
sisi Allah jika kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak lakukan.”
(Al-Saff 61 : 2)
Amaran ini bukan untuk melemahkan semangat ibu bapa yang menasihati
dan menegur anak-anak, namun sebagai pedoman agar ibu bapa melipatgandakan
usaha bagi menunjukkan contoh teladan yang baik dan berusaha untuk melaksanakan
apa yang disuruh atau dinasihati terlebih dahulu.
Interaksi Sesama Pasangan
Hubungan komunikasi, interaksi, kemesraan dan tingkah laku antara
suami isteri juga mempengaruhi perilaku anak-anak. Jika pasangan kerap
berkelahi, maka anak-anak akan suka bergaduh sesama sendiri. Jika isteri tidak
hormat suaminya, maka anak-anak akan hilang adab kepada ayah dan ibunya. Jika
suami tidak mempamerkan kasih sayang kepada isterinya, anak-anak pun akan pudar
rasa cinta kepada ibu bapa dan adik-beradik mereka.
Sebaliknya, jika suami isteri sentiasa menunjukkan kemesraan, kasih
dan penghormatan, in sya Allah anak-anak pun terdorong untuk berkasih sayang
dan mesra antara satu sama lain. Begitu juga interaksi ibu bapa dengan saudara
mara, tetamu dan jiran. Itu semua akan menjadi contoh kepada anak-anak dalam berhubung
dengan orang lain.
Berubah Sebelum Terlambat
Kadang-kadang kegagalan kita menjadi ibu bapa yang baik adalah
kerana sedikitnya kita bercermin melihat diri sendiri. Dalam diri kita ada
perasaan ego yang menghasut bahawa kononnya kita sudah cukup baik dan sempurna.
Tanpa kita sedar, sifat buruk itu diikuti oleh anak-anak. Tanpa
kita perasan, sifat-sifat yang tersembunyi dalam diri seperti sifat baran,
tamak, penakut, kurang jujur dan suka membazir menjadi ikutan mereka.
Islam amat menitikberatkan soal muhasabah. Rasulullah sendiri
menggesa kita bertaubat dan beristighfar setiap hari. Namun pentingnya
istighfar disertai dengan fikir akan dosa dan kelemahan sendiri.
Anak-anak ibarat kain putih yang begitu mudah terpengaruh dan meniru. Ibu bapa selaku pemimpin dan
pendidik tentunya menjadi contoh yang penting. Selamat mendidik anak-anak
dengan contoh yang hebat dan rabbani!
No comments:
Post a Comment