Nama : SITI FADILAH MANSOR
No. Matrik : 14021252
No: Siri : (086)
Pendidikan mengikut acuan Islam adalah perkara terpenting dalam
kehidupan kita sebagai seorang muslim.Daripada kesempurnaan pendidikan secara
Islam inilah akan lahir insan-insan yang berakhlak terpuji dan menjadi hamba
hanya kepada Allah semata-mata. Bermulanya pendidikan didalam Islam ialah
ketika seseorang itu hendak mencari pasangan hidupnya. Kita dituntut supaya
mencari muslimah yang menjaga agamanya sebagi pilihan pertama agar senang bagi
kita mencorakkan rumahtangga kita mengikut kehendak Allah. Sesudah berkahwin
kita dituntut pula agar mendidik isteri kita dengan perkara-perkara fardhu dan
juga sunat samada kita mendidiknya sendiri atau menghantar isteri kita ke
kelas-kelas agama.Kita diwajibkan untuk mendidik zuriat keturunan kita dengan
didikan Islam.
Dengan asas kefahaman agama kita dan isteri
kita yang kuat maka ianya akan membantu proses untuk mendidik anak-anak kita ke
arah yang Islam kehendaki. Inilah didikan yang paling utama yang dikehendaki
oleh Islam.Ramai diantara kita terkeliru dengan maksud pendidikan itu
sendiri.Ada yang menganggap apabila menghantar anak-anak ke sekolah maka
tugasan mereka telah selesai.Apa yang selebihnya dibebankan seluruhnya kepada
guru.Segala kesalahan atau kekurangan yang ada pada anak-anak mereka maka
gurulah yang akan disalahkan sepenuhnya.
Yang mereka ingin tahu, anak-anak mereka
mesti berjaya dalam pelajaran dengan cemerlang, mesti mendapat tempat di
universiti dan seterusnya memperolehi pekerjaan yang hebat, berpangkat besar
dengan gaji yang lumayan. Mereka tidak peduli walaupun sekiranya akhlak
anak-anak mereka hancur asalkan matlamat material mereka tercapai.Ini kerana
matlamat pendidikan dalam pemikiran yang sesetengah ibubapa mahukan melalui
sekolah itu, jelas berpandukan kepada material sahaja. Mereka hanya
berkehendakkan kejayaan dunia semata-mata tanpa disertai kejayaan
akhirat.Mereka terlupa bahawa anak-anak adalah amanah daripada Allah yang mana
ketika mereka dihadapkan kepada Allah pada hari kiamat nanti, mereka akan
ditanya tentang amanah mereka ini.Mereka sebenarnya telah mengkhianati amanah
Allah dengan mencorakkan kehidupan zuriat-zuriat mereka dengan corak Yahudi,
Nasrani dan Majusi kerana menolak ataupun mengabaikan pendidikan berteraskan
Islam.Sabda Rasulullah :Setiap bayi yang lahir itu dalam keadaan fitrah (
beragama Islam). Oleh itu terpulanglah kepada kedua ibu bapanya samada ingin
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi :Hadis riwayat Bukhari
Didikan ibubapa akan dapat dilihat hasilnya
setelah 15 tahun. Inilah umur bagi remaja yang dikatakan sedang mencari-cari
identiti mereka. Bergembiralah bagi ibubapa yang berjaya menerapkan identiti
Islam kepada anak-anak mereka. Akan tetapi sekiranya identiti mereka yang kita
terapkan ialah selain dari identiti Islam maka hasilnya akan pasti mereka
mengikut identiti samada Yahudi ataupun Nasrani ataupun Majusi. Dan agak malang
bagi ibubapa kerana apabila kerosakan telah berlaku, maka ianya teramat sukar
untuk dibaikpulih.Kesan kerosakan akhlak ini juga tidak terbatas kepada ibubapa
remaja tersebut sahaja akan tetapi ianya akan membarah dan merebak masuk ke
dalam masyarakat juga. Ini berdasarkan kepada statistik jenayah yang dilakukan
oleh remaja semakin hari semakin meningkat naik. Inilah hasil dari kepincangan
pendidikan kepada anak-anak yang telah dilakukan puluhan tahun dahulu.Dahulu
gejala bohsia dan bohjan mewarnai kehidupan remaja.
Kemudian gejala membuang anak pula mengambil
tempat. Pesakit AIDS dahulu amat sedikit bilangannya tetapi sekarang, ada
persatuan untuk menjaga kebajikan anak-anak pesakit AIDS menandakan bilangan
pesakit itu semakin bertambah. Datang pula gejala pil kuda, estacy dan pelbagai
jenis pil khayal dalam kehidupan remaja ini. Terbaru, gejala merempit oleh
remaja-remaja tidak kira lelaki ataupun perempuan.Walaupun gejala mat rempit
atau samseng jalanan ini telah lama bertapak akan tetapi sekarang ini mereka
lebih berani lagi dengan melakukan ragut dan samun. Bahkan ada mangsa yang
terbunuh disebabkan perbuatan mereka. Jika ada yang menyekat maka mereka akan
menyerang balas dengan kumpulan mereka.Dan lebih menyedihkan lagi hampir
kesemua gejala-gejala ini dipelopori oleh remaja Islam.Seperti yang telah
disebutkan tadi, inilah hasil daripada kegagalan umat Islam mendidik anak-anak
mereka mengikut acuan dan kehendak Islam. Ada ibubapa yang tidak berilmu
ditambah dengan teramat sibuk dengan agenda dunianya sehingga anak-anak menjadi
terabai. Ada juga yang berilmu tetapi sibuk dengan aktiviti luar.
Ada yang berilmu akan tetapi ilmunya itu
tidak diamalkan. Mereka datang ke majlis-majlis ilmu tetapi segala ilmu itu
disimpan hanya untuk dirinya sahaja. Tidak dikembangkan hatta kepada
keluarganya.Inilah antara penyebab-penyebab utama yang menyumbang kepada
kelemahan sistem pendidikan Islam disamping pengaruh rakan-rakan remaja itu dan
juga hiburan yang melampau. Hancurnya akhlak Islam akan menyebabkan Islam juga
turut dipandang hina .Mempunyai akhlak yang jelek walaupun kaya, pintar dan
tampan akan tetap dipandang hina bukan sahaja oleh Allah malahan manusia
keseluruhannya berbanding dengan mereka yang mempunyai akhlak Islam yang
terpuji walaupun mereka itu miskin dan hodoh
Akhlak terpuji seperti akhlak rasulullah s.a.w
yang mendapat didikan secara langsung dari Allah telah membawa sinar rahmat dan
kemuliaan kepada bangsa arab jahiliyyah yang suatu masa sebelum itu dipandang
hina kerana akhlak kebinatangan yang mereka miliki. Akhlak dari al-Quran itu
dijadikan amalan oleh rasulullah dalam kehidupan sehariannya. Baginda pula
tidak hanya mengamalkannya untuk dirinya sahaja malahan dikembangkan pula
kepada sahabat-sahabat baginda dengan didikan dari al-Quran itu.Manakala
sahabat-sahabat baginda pula mengembangkannya pula kepada ahli keluarga dan
kepada masyarakat mereka. Mereka saling bersaing sesama mereka untuk
mengamalkan didikan rasulullah itu.
Diturunkan pula didikan ini kepada tabiin
dan tabiin-tabiin.Begitulah seharusnya kita menyambung corak pendidikan Islam
ini kepada zuriat kita dan juga masyarakat berterusan sehingga kiamat.Malangnya
rantaian pendidikan Islam ini terputus kerana kita umat Islam zaman sekarang
tidak bersungguh-sungguh untuk mengamalkannya dalam kehidupan kita. Ditambah
pula dengan ilmu yang sangat kurang maka kita terus menjadi malas dan lesu
untuk menyambung rantaian ilmu ini. Lebih menyedihkan lagi didikan akhlak Islam
ini telah diambil dan diamalkan oleh musuh Islam sekaligus memperlihatkan
akhlak mereka lebih terpuji berbanding kita.
Dinukilkan
di dalam sebuah buku tulisan orang Kristian yang menyarankan agar ibubapa perlu
merotan anak-anak mereka dan menggantung rotan di dinding rumah mereka sebagai
peringatan kepada anak-anak mereka. Hal ini sebenarnya telah dinyatakan oleh
rasulullah lebih 1400 tahun dahulu. Tetapi berapa ramai diantara kita yang
mengamalkannya? Sayang, mutiara ilmu yang kita miliki, kita tidak bersungguh
untuk memeliharanya dan mengamalkannya tetapi diambil dan diamalkan oleh kaum
lain pula.Sekarang hasil daripada terputusnya rantaian pendidikan Islam itu
telah kita lihat dihadapan mata kita sendiri. Walaupun begitu kita masih perlu
untuk memperbaikinya biar sesukar manapun perjuangan kita untuk melakukannya.
Kita mesti bersatu menggerakkan kesedaran atas nama Islam untuk sama-sama mendidik remaja-remaja ini agar
kembali kepada Islam.
Gerakan ini seharusnya bermula dari diri
kita. Sebagai ketua keluarga hendaknya diperbaiki dahulu akhlak kita agar dapat
menjadi contoh dan tauladan kepada keluarga.Tambahkan ilmu dalam diri kita agar
segala perkara yang kita lakukan adalah berdasarkan ilmu.Biarpun sedikit sahaja
masa yang dapat diperuntukkan untuk ilmu tetapi lakukanlah dengan istiqomah.
Bersahabatlah kita dengan anak-anak remaja kita.Jangan hanya tahu menyalahkan
mereka tanpa menyiasat punca sebenar kerosakan mereka yang mungkin berpunca
dari kesilapan kita.Kurangkanlah kesibukan mengejar dunia sehingga mengabaikan
tanggungjawab kita dalam mendidik anak-anak.Hantarlah anak-anak kepada
guru-guru agama sekiranya kita tidak mampu untuk mendidik mereka.Letakkanlah
mereka dalam suasana Islam agar mereka dipelihara Allah. Bagi mereka yang
mempunyai ilmu yang cukup, ilmu itu seharusnya disebarkan dengan lebih
bersungguh-sungguh kepada keluarga dan akhirnya kepada masyarakat.Hanya dengan
didikan Islam sahajalah yang dapat menyelamatkan diri, keluarga dan masyarakat
kita dari kecelakaan dunia dan api neraka Allah di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment