Saturday, February 25, 2017

QISAS SELAIN NYAWA

Ditulis Oleh : Aminah Binti Awang@Ghazali
No. Siri : 064
No. Matrik : 14021111

Di dalam artikel kali ini, penulis amat tertarik untuk membincangkan tentang qisas yang berkisarkan kepada selain daripada pembunuhan yang membabitkan kecederaan, luka, pendarahan, ketempangan, kecacatan, lumpuh dan sebagainya. Pada semester ini, penulis telah mempelajari bab hukum qisas di dalam subjek Pengajian Islam dan Al-Fiqh AL-Muqaran 3 ( bab jenayah). Hukum qisas cukup diambil berat dan cakna dalam Islam. Untuk membincangkan tajuk ini, penulis suka mengemukakan ayat al-Quran daripada surah al-Ma’idah ayat 45.

Firman Allah Taala yang bermaksud : “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetatpi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.”

Sebab Nuzul
            Ibn Juraij berkata : “Apabila Yahudi Bani Quraizah melihat Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman rejam pada apa yang mereka sembunyikan sedangkan hukuman tersebut wujud dalam kitab mereka, lantas mereka berkata, “ Hai Muhammad, putuskanlah hukuman antara kami dengan saudara kami Yahudi Bani Nadhir berkaitan persengketaan darah antara kami dengan mereka seperti yang dinyatakan.” Yahudi Bani Nadhir memandang tinggi darah dan diat terhadap Bani Quraizah dan mereka berkata lagi, “Kami tidak akan patuh terhadap hukum rejam yang engkau putuskan namun kami akan berpegang kepada hukum-hukum yang ada di dalam kitab kami.” Kemudian turunlah ayat ini.”
Hukum Qisas
            Berdasarkan ayat di atas ( surah al-Maidah ayat 45 ) jelas menunjukkan umat Islam berkewajipan melaksanakan hukuman qisas.
Qisas mata dengan mata
            Ayat ini jelas menunjukkan jenayah yang dilakukan oleh seseorang harus menerima balasan yang setimpal. Ulama fiqh dan tafsir menyebut hukuman qisas berkaitan dengan mata yang perbahasannya seperti berikut:
  1. Jika mata dicungkil atau hilang penglihatannya tetapi matanya masih ada, atau hilang sebahagian penglihatannya, cara pembalasannya seperti yang diputuskan oleh Sayidina Ali r.a. dengan disediakan sekeping cermin kemudian ia dipanaskan dan mata satu lagi ditekapkan dengan kapas dan beliau memegang cermin itu dengan kedua pencangkuk dan didekatkan kepada mata yang hendak diqisaskan itu sehingga mengalir kedua-dua mata hitamnya.
  2. Jika hilang sebahagian penglihatan mata seseorang telah hilang, maka cara qisasnya ditutp sebelah mata yang hilang sebahagian penglihatan dan sebelah lagi dibiarkan terbuka kemudian diletakkan sebiji telur di hadapan matanya dan dijatuhkan sedikit demi sedikit sehingga dia tidak lagi melihat telur itu. Dengan cara itu diketahui tahap kehilangan penglihatannya. Kemudian ditutup mata itu dan dibuka satu lagi dan diperlakukan seperti yang pertama tadi kemudian diukur jarak penglihatan yang hilang dan dinisbahkan jarak yang hilang itu kemudian dinisbahkan dengan cara yang terbaik untuk dibalas. Dengan nisbah itulah dikira bayaran diat.
Kedua-dua cara di atas mungkin boleh digunakan dengan kaedah moden yang lebih selamt mengikut nilai kecederaan untuk dibalas qisas.
Permasalahan berkaitan qisas mata
  1. Orang buta melakukan jenayah mata terhadap orang celik
Isu ini ada banyak pendapat :
Ø  Ia tidak dikenakan qisas tetapi dikenakan diat, seperti pendapat Sayidina Uthman r.a.
Ø  Sayidina Ali r.a. dan Imam al-Syafi’I mengatakan tetap dikenakan qisas
Ø  Imam Malik berpendapat terserah kepada mangsa sama ada mengcungkil matanya atau mengambil bayaran diat yang penuh
  1. Orang yang sihat matanya mencungkil mata orang yang buta
Jika ini berlaku, ulama mempunyai beberapa pendapat seperti berikut:
Ø  Menurut Mazhab Malik, dikenakan bayaran diat penuh
Ø  Imam al-Syafi’i dan Abu Hanifah pula berpendapat , “dikenakan separuh diat berdasarkan qisas yang zahir”.
  1. Syeikh Muhammad Ali al-Sais dalam Tafsir Ayat al-Ahkam berkata:
” Pelaksanaanya yang sama setara perlakuan jenayah oleh penjenayah dan tidak boleh melebihi dan melampau daripada yang sepatutnya. Justeru, jika mata kanan hendaklah diqisas dengan mata kanan juga jika adanya mata kanan dan tidak boleh diqisas dengan mata kiri sekalipun diredhai oleh yang dikenakan qisas.”
  1. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami berkata:
“Andainya jenayah melarat kepada nyawa, wajiblah qisas sekiranya dia menampar seseorang lalu kabur kedua-dua belah matanya menurut jumhur ulama’ ia tidak boleh diqisas kerana kesamaan tidak mungkin didapati. Mazhab al-Syafi’I berpendapat wajib diqisas dengsn kemelaratan itu kerana ia mempunyai tempat yang tertentu.”
Penutup
Penulis suka menukilkan kata-kata daripada al-Maraghi dalam tafsirnya:
“Sesiapa membenci hukum berdasarkan firman yang Allah s.w.t. turunkan dan menyembunyikannya, lalu dia mengambil hukum yang lain, seperti orang yahudi yang menggantikan hukum rejam yang dikenakan terhadap penzina yang sudah berkahwin, mukanya akan dicoreng-coreng dengan arang. Begitu juga mereka yang menyembunyikan hukuman rejam terhadap pembunuh, tetapi yang satu lagi dikenakan denda penuh atau yang lain hanya setengah sahaja. Allah s.w.t. menetapkan persamaan hukum bagi semua orang.”

“oleh sebab tindakan mereka seperti itu, mereka dihukumkan seperti orang yang kafir, iaitu orang yang menutup apa yang seharusnya mereka ungkapkan dan jelaskan kepada manusia, tetapi mereka sembunyikan lalu mereka kemukakan yang lain atau mereka laksanakan hukuman lain.”

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *