Monday, February 27, 2017

AGAMA DAN KEAMANAN

NAMA :   NOR NADZIFAH BT MUHAMAD
NO SIRI : 052
  
          Agama Islam merupakan agama yang sering disalahertikan bukan sahaja dalam dunia masa kini bahkan sejak zaman berzaman lagi. Konsep Islam itu bukan sahaja disalah ertikan oleh orang bukan islam bahkan oleh orang islam itu sendiri. Islam tidak mengajar umatnya untuk berkasar sesama manusia baik yang beragama Islam mahupun yang tidak beragama Islam. Hal ini dapat dibuktikan didalam surah Al-Baqarah ayat 83.

Firman Allah SWT:
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ لا تَعْبُدُونَ إِلا اللَّهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلا قَلِيلا مِنْكُمْ وَأَنْتُمْ مُعْرِضُونَ (83)

“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil, "Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada kedua orang tua, kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta bertutur katalah yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat
." Tetapi kemudian kamu berpaling (mengingkari janji), kecuali sebahagian kecil di antara kamu, dan kamu (masih menjadi) pembangkang.”

           Konsep keamanan  adalah suatu perkara yang subjektif dan ia sebenarnya membawa makna yang amat meluas mengikut kefahaman seseorang individu tersebut. Di dalam Agama Islam, perkataan keamanan membawa erti keadaan dimana bukannya sekadar tiada berlakunya peperangan sahaja. Keamanan itu akan wujud apabila keadaan di mana tidak ada berlakunya penindasan. Dewasa ini, kebanyakan  masyarakat seluruh dunia menyambut tahun baharu 2017 dengan percikan bunga api berserta semangat dan matlamat baharu. Namun begitu, kita juga dapat melihat di beberapa negara di mana sambutan tahun baharu dicemari dengan letupan bom dan juga tembakan senjata api yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan kepada orang awam. Contohnya, pembunuhan oleh penyerang bersenjata dan kematian orang awam di Turki pada hari tahun baharu dan juga di Berlin beberapa hari sebelum sambutan Hari Natal memberi petanda bahawa keganasan yang berlaku di peringkat global semakin memuncak.

          Dalam hal ini, agama sering dikaitkan sebagai punca kepada tindakan keganasan individu-individu tertentu yang menggunakan agama sebagai justifikasi kepada tindakan mereka. Di mana sahaja berlaku serangan pengganas, agama akan dipersalahkan sebagai motivasi dan penyebab kepada tindakan tersebut. Akibat dari ini, timbullah pula tindak balas secara gelojoh daripada masyarakat awam yang sememangnya tidak mahu mendalami atau memahami nilai sebenar yang dibawa oleh agama. Sebagai contoh, Islamofobia yang berlaku dalam kalangan masyarakat Barat hari ini menyebabkan ada sesetengah daripada mereka mencaci, mendiskriminasi dan juga melakukan serangan fizikal terhadap masyarakat Islam di tempat mereka.Alasan mereka, Islam adalah agama yang menggalakkan keganasan dan segala keganasan yang berlaku di dunia hari ini adalah disebabkan ajaran dalam agama. Sememangnya, tindakan dan kefahaman sebegini menjadi satu bentuk impian yang menjadi kenyataan bagi puak sekularisme yang ingin menyisihkan martabat agama daripada kehidupan arus perdana manusia.

           Hal ini demikian, agama seharusnya diketengahkan sebagai pembawa keamanan. Nilai-nilai yang dibawa oleh agama sebenarnya menjurus kepada perkara-perkara baik yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup manusia. Sikap radikal yang membawa kepada tindakan keganasan oleh mana-mana individu yang menyatakan perjuangan mereka adalah berlandaskan perintah agama sebenarnya menunjukkan salah faham mereka tentang agama. Disebabkan hal ini, kita lihat majoriti daripada mereka yang kononnya berjuang atas nama agama sebenarnya mengharapkan pengampunan segera bagi dosa-dosa lampau yang mereka pernah lakukan dan tidak kurang juga dalam kalangan mereka menggunakan alasan bahawa Tuhan berkehendakkan mereka untuk bertindak demikian.

Semua penganut agama yang merangkumi lebih daripada 80 peratus daripada populasi dunia hari ini, seharusnya mempunyai kefahaman yang jitu tentang nilai dalam agama masing-masing agar mesej sebenar agama sebagai pembawa kedamaian itu dapat dijelaskan.

         Walaupun berlainan kefahaman tentang konsep ketuhanan, kebanyakan agama menitikberatkan nilai cintakan keamanan dan kesederhanaan. Umat Islam  khususnya perlu ada kesedaran bahawa Islam sebagai satu cara hidup yang berkehendaki untuk kita bertindak menurut prinsip dan nilai moral yang digariskan dalam agama. Rasulullah SAW diutuskan untuk menghapuskan kezaliman yang dilakukan oleh manusia dan membawa bersama keamanan dalam kehidupan di muka bumi ini. Justeru, perlu ada kesedaran bahawa sebarang tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia sejagat bukanlah sebahagian daripada ajaran dalam Islam.Oleh yang demikian, mesej Islam dan keamanan itu harus terus disebarluaskan agar masyarakat tidak salah anggap terhadap agama islam.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *