Tuesday, February 28, 2017

KEMELESETAN EKONOMI DAN TIPS AMALAN BERJIMAT CERMAT

Nama:Salmi Suhana Binti Mohamed Noor
No.Matrik:14021152
No.Siri:02

Negara kita sekarang mempunyai masalah kemelesetan ekonomi yang teruk.Kita seharusnya kreatif dalam berbelanja tatkala ekonomi mengalami kegawatan.Salah satu cara pengurusan bijak dan kreatif dalam kewangan keluarga ialah dengan berjimat cermat. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Berikut adalah beberapa tips untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:

Tips 1: Sediakan bajet kewangan keluarga
“Ukurlah baju di badan sendiri”.Jangan amalkan sikap “biar papa asal bergaya”. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.

Tips 2: Merancang kewangan untuk masa depan
Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.

Tips 3: Masak sendiri
Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.

Tips 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah
Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat  paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.

Tips 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri
Amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.

Tips 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas
Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.

Tips 7: Tanam sendiri sayur-sayuran
Serai, kunyit,lada,kacang botol, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.
Tips 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah
Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.
Tips 9: Beli secara pukal
Ini jauh lebih murah berbanding jika kita membeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk stok seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.
Tips 10: Lakukan perbandingan harga dahulu
Amalan ini adalah penting kerana kadang kala terdapat perbezaan harga di antara kedai, lain tempat lain harga walaupun barang yang dijual adalah sama dari segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu juga untuk berjimat.
Tips 11: Kurangkan pembelian barangan berjenama
Dalam situasi ekonomi yang merosot kini, kita tidak perlu terlalu berkira tentang jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan tersebut mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, kita sebagai pengguna harus bijak memilihnya.
Diharapkan agar panduan di atas dapat memberikan sedikit sebanyak informasi berguna kepada kita sebagai pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu kini seterusnya menjadikan kita sebagai pengguna yang bijak.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *