NAMA : SITI NOR NAJWA BINTI FAUZI
NO.SIRI : 070
Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk
mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam,
nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan
juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan
tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk
bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita
untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh. Sementara itu kita diingatkan
kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30
tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu
menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini untuk memupuk bahasa yang tua lagi
indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi
bahasa dunia.
Berikut ialah di antara mengapa
bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan
universiti;
1.Tujuan pencapaian penguasaan
bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah
mengajar yang lebih baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya
kita merujuk kepada pengalaman negara Belanda maka kita akan temui contoh
bagaimana bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada
peringkat sekolah menengah.
Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka selepas
sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dalam
bahasa-bahasa ini dengan baik - lebih baik daripada pelajar Malaysia bercakap
bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun). Kita juga mungkin perlu
merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark, Sweden dan Norway yang
bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat menggunakan bahasa
antarabangsa lainnya dengan baik. Jadi contoh kita seharusnya bukan Singapura,
tetapi Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun Switzerland.
2. Seperti sering diulang penghujah
Pemenang Anugerah Novel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang
dari negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak daripadanya daripada
negara bukan berbahasa Inggeris - seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol,
Switzerland dan India / Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa
Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh
tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan
mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.
3. Beberapa masalah negara kita
bukan berpuncakkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada
budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak
negeri yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa
di sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan
ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta
ilmu.
4. Sekiranya kita tidak kembalikan
bahasa Melayu kepada semua bidang ilmu maka kita, , akan dituduh sejarah
sebagai pemusnah bahasa Melayu, sebuah bahasa yang lama dulu menjadi lingua
franca daerah Asia tenggara dan untuk beberapa dekad lepas kemerdekaan bangkit
dan kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya kerana arahan supaya menjadikan
bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting, kerana bidang-bidang
terpilih diajar dalam bahasa ini.
5. Dengan keputusan ini dan
penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan
sendirinya kita telah menciptakan dua jenis warganegara Malaysia - yang
pertama; menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan
seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai
bidang-bidang sastera dan sains sosial - iaitu bidang-bidang yang dianggap
tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
Dalam bandingan dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat
Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya
dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya, ialah bahawa sastera
dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.
Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus
diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah
rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara
Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia
anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau membaca
karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah atau
Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia, nilai-nilainya
dan juga jati dirinya.
6. Sekarang ini bahasa Melayu sedang
melemah di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media
masa dan kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang
untuk hidup dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar , dengan sendirinya
bahasa Inggeris akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih
dari pengguna dan peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa
itu. Sementara itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang
dari bangsa Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.
Dan kita berharap bahawa bahasa kebangsaan
kita akan kembali diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya,
seperti selayaknya sebuah bahasa besar dan tua. Sesuatu bangsa yang tidak
menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang
menghormati bahasanya sendiri. Di samping itu, Marilah sama-sama kita
memartabatkan lagi Bahasa melayu sebagai Bahasa perantaran dan Bahasa melayu
Bahasa jiwa bangsa
No comments:
Post a Comment