Friday, February 24, 2017

PENDIDIKAN ANAK MENURUT ISLAM

DITULIS OLEH: WAN NOOR ASILAH BINTI WAN RAZALI
NO. MATRIK: 14021232
NO.SIRI: 081

Islam  melihat seorang anak yang dilahirkan adalah dalam fitrah yang suci, putih bersih seumpama kapas yang tidak dicemari atau dikotori oleh apa jua bentuk kotoran. Maka kedua ibu bapa yang akan membentuk atau melakarkan mengikut kemahuan dan kehendak mereka. Sabda Rasulullah SAW: “setiap anak itu dilahirkan dalam fitrah dan kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”. Menjauhi anak dan orang-orang yang dibawah tanggungan dari berakhlak, berfikiran atau bertindak seperti Yahudi, Nasrani dan juga Majusi ini sebenarnya keutamaan yang perlu diberikan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Yahudi, mereka begitu angkuh, sombong serta menolak dan tidak menerima kebenaran, sehingga mereka dimurkai dan dilanaknati. Nasrani, akhlak serta pemikiran mereka tenggelam dalam kehidupan duniawi sehingga melupakan hakikat sebenar kehidupan, mereka lupakan Allah dan hari akhirat malah lupa kepada diri mereka sendiri sehingga mereka tersesat mencari jalan kebenaran. Sementara akhlak Majusi pula ialah tidak mahu menggunakan anugerah akal fikiran kurniaan Allah untuk mencari kebenaran sehingga menjadikan api sebagai sembahan, tiada kitab dijadikan rujukan, tiada nabi dijadikan ikutan.

            Islam dari awal lagi mengingatkan umatnya agar berusaha menghindari mereka dan zuriat keturunan mereka dari azab neraka Allah SWT. Firman Allah SWT:” Wahai orang-orang yang beriman ,hindarilah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka…”(al-Tahrim:6)

            Ayat tersebut sebenarnya rujukan utama seorang individu Muslim dalam usaha mendidik zuriat keturunan mereka. Seorang individu Muslim yang beriman, takutkan azab Allah serta kemurkaan-Nya tidak mungkin berfikiran bahawa kewajipannya hanya sekadar memberi makan, minum dan pakaian sahaja tidak lebih lebih dari itu, atau memberinya pendidikan atau menyekolahkannya yang sedikit pun tidak mengetahui hukum-hakam syariat, secebis pun tidak mengenali Rasulullah SAW dan sekelumit pun tidak tahu tentang agamnya.

            Seorang muslim yang beriman dengan Allah dan hari akhirat tidak mungkin dapat menerima malah menangis kesedihan andai anak-anaknya begitu berani melanggar hukum Allah seperti tidak menutup aurat, tidak solat dan tidak tahu membaca ayat-ayat Allah walaupun anaknya seorang yang terpelajar atau ‘terdidik’. Seorang ibu atau bapa yang beriman akan meratap pilu sekiranya anak-anaknya mengetahui segala-galanya mengenai dunia, namun sedikit pun tidak tahu membaca al-Quran. Seorang ibu dan bapa yang beriman tidak akan berputus asa (kerana orang beriman tidak sekali-kali berputus asa dari rahmat Allah) mendidik, menasihati serta memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya agar tidak terpesong dari kehidupan dan pemikiran Islam, agar kebahagiaan dan ketenteraman akhirat sama-sama diperoleh. Malah, mereka sedar selama mana mereka dianugerahkan kehidupan maka selama itulah pintu taubat masih terbuka dan Allahamat mengasihi orang-orang yang bertaubat kembali kepada-Nya.

SURAH LUQMAN SEBAGAI PANDUAN
Luqman al-Hakim(bijaksana) merupaka contoh seorang bapa yang berjaya mendidik anak sehinggakan Allah SWT memahatkan namanya dalam al-Quran. Satu surah yang lengkap yang dinamakan surah Luqman. Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa antara bentuk-bentuk didikan Luqman ialah:
·         Menjauhkan anak dari apa jua bentuk dan pemikiran yang mensyirikkan Allah SWT.
·         Menasihati dan berpesan kepada anak agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
·         Memerintahkan anak agar mendidirikan solat dan jangan sekali-kali timbul keberanian dalam jiwa anak untuk meninggalkan solat. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:” Arahkanlah anak-anak kamu solat waktu umur mereka tujuh tahun dan pukulah mereka (bersungguh-sungguhlah kamu dalam mendidik anak kamu mengenai solat) waktu mereka berumur 10 tahun”.
·         Mengasuh anak agar menyintai kebaikan dan membenci keburukan, maksiat serta kemungkaran.
·         Memberitahu anak bahawa setiap perbuatan mereka sentiasa di dalam muraqabah atau pemerhatian Allah dan Allah akan membalas setiap perbuatan mereka.
·         Menasihati anak agar jangan sekali-kali bersikap sombong dan angkuh dan juga kasihan belas terhadap manusia dan makhluk Allah yang lain. Kerana Rasulullah SAW bersabda:” Sesiapa yang tidak ada sifat kasihan belas maka dia tidak akan dikasihi”.
·         Bersahabat atau berkawan dengan orang-orang soleh dan baik serta tidak bermegah-megah dengan diri, keluarga atau keturunan.


No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *