Saturday, February 18, 2017

Konsep keadilan dalam islam


PENULIS : MUHAMMAD TAUFIK BIN ABDUL RAHMAN
NO SIRI : 087 (14021100)

ISLAM adalah agama persamaan dan keadilan. Allah SWT bersifat adil dan cintakan keadilan dan kasihkan orang yang bersifat adil. Antara asas yang sangat ditekankan dalam syariat Islam adalah prinsip keadilan kepada semua manusia. Banyak ayat al-Quran yang menyeru kepada keadilan dan mencegah daripada bersifat zalim. Perkataan adil berasal dari perkataan Arab, cadala ataupun al-cadl yang berarti apa yang menetap di jiwa, ia sesuatu yang lurus, lawan kepada sifat menyeleweng.

     Al-Imam Mawardi menyifatkan keadilan sebagai memiliki sifat benar, terjamin keimanan, terjauh dari sesuatu yang haram, tenang ketika reda dan marah serta berterusan menjaga maruah di dalam urusan agama dan dunia. Keadilan merupakan salah satu daripada tiga asas pegangan hidup Islam, seiring dengan tauhid dan khilafah. Oleh kerana Islam merangkumi kesemua aspek kehidupan, keadilan juga seharusnya mencakupi semua bidang termasuk ekonomi, sosial, politik, budaya dan lain-lain. Menegakkan keadilan akan menciptakan kebaikan kepada sesiapapun, manakala pelanggaran terhadapnya akan mengakibatkan mala petaka.

     Keadilan juga termasuk dalam akhlak Islam yang mesti diamalkan di dalam semua aspek kehidupan dan kepada semua manusia meliputi sahabat dan musuh. Sekiranya ia dipinggirkan, maka ia dianggap satu dosa dan kesalahan di sisi Allah SWT. Tidak ada subjek yang lebih berkait rapat dengan konsep keadilan kecuali hak asasi manusia. Ini bermakna keadilan tidak akan menjadi kenyataan jika hak asasi manusia tidak diiktiraf oleh masyarakat. Ia juga adalah asas kepada kehidupan bermasyarakat dalam Islam.

     Konsep keadilan ini perlu ditonjolkan di dalam setiap perhubungan, antara pemimpin dan rakyat, orang kaya dan miskin, suami dan isteri, mahupun ibu bapa dan anak-anak. Apabila keadilan ditegakkan dalam semua aspek, maka terjaminlah keamanan dan ketenteraman di dalam keluarga, masyarakat dan negara. Sifat dan tabiat yang adil mencerminkan kesempurnaan akal dan akhlak yang menjanjikan kebahagiaan hakiki. Kedudukan adil bagi seorang manusia menurut pandangan Islam ditentukan bukan oleh ketinggian darjat keturunan atau kekayaan mahupun kekuasaan, tetapi oleh ketakwaannya yang merupakan hasil dari ketinggian ilmu dan akhlaknya.
Keadilan yang diperkenalkan oleh Islam adalah keadilan yang pasti, ia tidak dapat digoncang oleh rasa cinta dan benci, tidak pula dipengaruhi oleh hubungan kekeluargaan individu dan kecenderungan peribadi. Pengertian keadilan Islam dalam aspek kemasyarakatan tidak akan difahami dengan tepat kecuali apabila difahami tasawur Islam mengenai ketuhanan, alam sejagat, kehidupan dan manusia kerana keadilan sosial Islam adalah satu cabang kecil daripada komponen induk tersebut.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *