Bolehkan orang Islam mengucapkan Selamat Hari Raya orang
bukan Islam ?
Setelah meneliti tulisan Prof. Dr Abdul Hayei bin Abdul
Sukor pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, saya menemui
jawapannya.
Menurut beliau, mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam
sempena hari-hari perayaan mereka seperti hari Krismas, Tahun Baru Cina,
Deepavali dan Thaipusam termasuklah antara masaalah furu’ (cabang) yang
diperselisihkan oleh para ulama zaman sekarang. Ada di kalangan ulama yang
mengharamkannya dan ada juga ulama yang mengharuskannya.
Pendapat yang
mengharamkan Antara ulama yang mengharamkannya ialah Sheikh Muhammad Saleh
al-Munajjid, salah seorang ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau
berpendapat perbuatan mengucapkan selamat pada hari-hari kebesaran orang bukan
Islam adalah bertentangan dengan asas-asas akidah Islam. Beliau berhujah, hari
perayaan agama kaum lain pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam
disuruh tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam.
Dalam sebuah hadis
sahih Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa meniru syiar sesuatu
kaum (bukan Islam), maka ia termasuk dalam golongan mereka ” (Sahih riwayat Abu
Daud).
Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin rahimahullah ditanya:
Bagaimana hukum mengucapkan Merry Christmas (Selamat Hari
Natal) kepada orang-orang kafir?
Bagaimana pula memberikan jawaban kepada mereka bila mereka
mengucapkannya kepada kita?
Apakah boleh pergi ke tempat-tempat pesta atau majlis yang
mengadakan acara seperti ini?
Apakah seseorang berdosa, bila melakukan sesuatu dari yang
disebutkan tadi tanpa sengaja (maksud yang sebenarnya) namun dia melakukannya
hanya untuk menghormati kawan, malu, perasaan atau sebab-sebab lainnya?
Apakah boleh menyerupai mereka di dalam hal itu?
Jawapan:
Mengucapkan Merry Christmas (Selamat Hari Natal) atau
perayaan keagamaan mereka lainnya kepada orang-orang kafir adalah haram
hukumnya menurut kesepakatan para ulama (ijma’). Hal ini sebagaimana dinukil
dari Ibn al-Qayyim rahimahullah di dalam kitabnya Ahkam Ahl adz-Dzimmah, beliau
berkata:
Adapun mengucapkan
selamat berkenaan dengan syiar-syiar kekufuran yang khusus bagi mereka adalah
haram menurut kesepakatan para ulama, seperti mengucapkan selamat terhadap
hari-hari besar mereka dan puasa mereka, walau sekadar mengucapkan, “semoga
hari raya anda diberkati” atau anda yang diberikan ucapan selamat berkenaan
dengan perayaan hari besarnya itu dan semisalnya.
Perbuatan ini, kalaupun orang yang mengucapkannya dapat lari
dari kekufuran, maka dia tidak akan lari dari melakukan hal-hal yang
diharamkan. Ucapan semacam ini setara dengan ucapannya terhadap perbuatan sujud
terhadap Salib bahkan lebih besar dari itu dosanya di sisi Allah.
Dan amat dimurka lagi bila memberikan selamat atas
minum-minum khamar, membunuh jiwa, melakukan perzinaan dan sebagainya. Banyak
sekali orang yang tidak sedikitpun tersisa kadar keimanannya, yang terjatuh ke
dalam hal itu sementara dia tidak sedar betapa buruk perbuatannya tersebut.
Jadi, barangsiapa yang mengucapkan selamat kepada seorang
hamba karena melakukan suatu maksiat, bid’ah atau kekufuran, maka bererti dia
telah menghadapi Kemurkaan Allah dan Kemarahan-Nya. Mengenai kenapa Ibn
al-Qayyim sampai menyatakan bahawa mengucapkan selamat kepada orang-orang kafir
berkenaan dengan perayaan hari-hari besar keagamaan mereka haram dan posisinya
demikian, kerana hal itu mengandungi persetujuan terhadap syiar-syiar kekufuran
yang mereka lakukan dan meredhai hal itu dilakukan mereka sekalipun dirinya
sendiri tidak rela terhadap kekufuran itu, akan tetapi adalah haram bagi
seorang Muslim meredhai syiar-syiar kekufuran atau mengucapkan selamat kepada
orang lain berkenaan dengannya kerana Allah ta’ala tidak meredhai hal itu,
sebagaimana dalam firman-Nya:
Ertinya: “Jika kamu
kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman)mu dan Dia tidak meridhai
kekafiran bagi hamba-Nya; dan jika kamu bersyukur, niscaya Dia meridhai bagimu
kesyukuranmu itu.:” [Az-Zumar:7]
Ertinya : “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu
agamamu dan telah Ku- cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam
itu jadi agamamu.” [Al-Ma`idah :3]
Jadi, mengucapkan selamat kepada mereka berkenaan dengan hal
itu adalah haram, baik mereka itu rakan-rakan sepejabat dengan kita seorang
(Muslim) ataupun tidak.
Bila mereka mengucapkan selamat berkenaan dengan hari-hari
besar mereka kepada kita, maka kita tidak boleh menjawabnya karena hari-hari
besar itu bukanlah hari-hari besar kita.
Juga kerana ia adalah
hari besar yang tidak diredhai Allah ta’ala; baik disebabkan perbuatan
mengada-ada ataupun disyariatkan di dalam agama mereka akan tetapi hal itu
semua telah dihapus oleh Din-ul-Islam yang dengannya Nabi Muhammad salla Allhu
‘alaihi wa sallam diutus Allah kepada seluruh makhluk. Allah ta’ala berfirman:
Ertinya : “Barangsiapa mencari agama selain dari agama
Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia
diakhirat termasuk orang-orang yang rugi”. [Ali Imran:85]
Kerana itu, hukum bagi seorang Muslim yang memenuhi undangan
mereka berkenaan dengan hal itu adalah haram kerana lebih besar dosanya
berbanding mengucapkan selamat kepada mereka berkenaan dengannya.
Memenuhi undangan
tersebut mengandung makna ‘ikut serta’ bersama mereka di dalamnya. Demikian
pula, haram hukumnya bagi kaum Muslimin menyerupai orang-orang kafir, seperti
mengadakan majlis atau pesta-pesta berkenaan dengan hari besar mereka tersebut,
saling memberi hadiah, membagi-bagikan manisan, hidangan makanan dan
semisalnya. Hal ini berdasarkan sabda Nabi salla Allhu ‘alaihi wa sallam:
Ertinya : “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia
termasuk sebahagian dari mereka”. [hadis riwayat Abu Daud] Syaikhul Islam, Ibn
Taimiyah berkata di dalam kitabnya Iqtidl` ash-Shirth al-Mustaqm, Mukhlafah
Ashhb al-Jahm: Menyerupai mereka di dalam sebagian hari-hari besar mereka akan
menyebabkan timbulnya rasa senang di hati mereka atas kebatilan yang mereka
lakukan, dan barangkali hal itu membuat mereka mencari-cari kesempatan (dalam
kesempitan) dan menghinakan kaum lemah (iman).
Dan barangsiapa yang
melakukan sesuatu dari hal itu, maka dia telah berdosa, baik melakukannya
kerana berbasa-basi, ingin mendapatkan simpati, rasa malu atau sebab-sebab
lainnya kerana ia termasuk bentuk peremehan (penghinaan) terhadap Dinullah dan
merupakan sebab hati orang-orang kafir menjadi kuat dan bangga terhadap agama mereka.
(Disalin dari Majmu Fatwa Fadllah asy-Syaikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin,
Jilid.III, h.44-46, no. 403)
Selain itu, dalam
satu kaedah, di mana para ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu redha
kepada kekufuran adalah kufur. Justeru mengucapkan selamat Hari Raya kepada
orang bukan Islam termasuk rela terhadap kekufuran mereka. Keadaannya sama
seperti kita merelai dosa-dosa besar seperti zina, minum arak dan sebagainya.
Pendapat yang
mengharuskan Manakala seorang ulama terkenal Islam merangkap Mufti kerajaan
Qatar , Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi berpendapat hukum mengucapkan selamat Hari
Raya kepada orang bukan Islam seperti Hari Krismas adalah harus, jika mereka
memulakan ucapan selamat Hari Raya kepada kita. Al-Qardhawi berpendapat, Islam
tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan
kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka sebagaimana mereka berbuat baik
kepada kita.
Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Mumthanah ayat
8, "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang
yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari
kampong halaman kamu ; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku
adil".
Pendapat beliau ini disokong oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan
Eropah, dengan fatwa yang dikeluarkan seperti berikut, Sesungguhnya mengucapkan
selamat kepada orang bukan Islam pada hari perayaan mereka merupakan lebih
daripada kewajipan jika mereka mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam.
Hujahnya ialah kerana
kita diperintahkan membalas perlakuan baik dengan perlakuan yang serupa dan
membalas ucapan selamat dengan ucapan yang sama baiknya. Allah SWT berfirman,
Apabila kamu dihormati dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan
itu dengan yang lebih baik atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya
Allah menghitungkan segala sesuatu. (Surah An-Nisaa’ : 86)
Oleh yang demikian, tidak ada suatu pun yang menghalang
orang Islam daripada mengucapkan ‘selamat’ kepada orang bukan Islam baik secara
lisan mahupun tulisan seperti menghantar kad dengan syarat kad yang dihantar
tidak mempunyai lambang atau kata-kata agama yang bertentangan dengan prinsip
akidah Islam.
Kesimpulan Sebagai
kesimpulan, Prof. Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor memilih jalan yang lebih
sederhana dalam isu ini. Katanya, adalah jelas haram bagi umat Islam menyertai
Hari raya kaum bukan Islam seperti memasang lampu warna-warni di sekeliling
rumah, menghias rumah dengan pokok krismas, menyertai perarakan Thaipusam dan
lain-lain kerana amalan ini ada hubung kait dengan akidah. Begitu juga adalah
haram bagi umat Islam jika mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan
Islam pada hari-hari kebesaran agama mereka jika ianya bermaksud untuk
sama-sama berhari raya dengan mereka, merelai kekufuran mereka dan berkasih
sayang dengan mereka atas nama agama (mereka).
Tetapi jika maksud
ucapan ‘selamat’ pada hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih
hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang
diucapkan terdahulu, maka saya kira pengucapan seumpama ini tidak termasuk
dalam hal-hal akidah yang sekaligus menunjukkan rela hati terhadap agama dan
kepercayaan mereka.
Sama seperti
sekiranya mereka menghulurkan makanan yang halal kepada kita dan kita terimanya
dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih dengan makanan atau hadiah
yang diberi, saya kira ia tidak ada kena mengena dengan akidah, bahkan kita
harus menerimanya selagi mana ia adalah halal dan suci. Demikian juga jika pada
hari-hari kebesaran itu merupakan hari kelepasan am, semua pejabat dan
kakitangan kerajaan diberi cuti, termasuk kakitangan yang beragama Islam.
Saya tidak fikir jika kita bersuka ria kerana bercuti pada
hari itu, maka kita boleh dianggap turut membesarkan syiar agama dan budaya
kaum bukan Islam. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment