Ditulis oleh: CHE NURYASIRAH BT CHE GHAFFAR
No.siri: 067
No.Matrik: 14021225
Pada masa kini saban hari kita dihidangkan
dengan pelbagai bentuk hiburan. Hal ini tidak kira sama ada melalui media cetak
mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan alat-alat komunikasi
yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan yang sedia ada. Namun
bentuk-bentuk hiburan sebegini telah mengundang kealpaan dalam diri manusia
yang terlalu mengejar hal duniawi. Tidak salah seandainya mahu berhibur namun,
seseorang itu tidak boleh terlalu leka. Berbincang mengenai hiburan, isu yang
ingin diketengahkan di sini adalah mengenai fenomena kebangkitan filem yang
kebanyakannya merosakkan akidah umat Islam. Industri hiburan tanah air kini
semakin hari semakin berkembang dengan penghasilan pelbagai bentuk filem atau
drama tidak kira sama ada berunsur komedi, romantik, aksi mahu pun seram. Hal
ini merupakan suatu fenomena yang positif bagi penggiat seni perfileman
terutamanya yang menghasilkan filem berbentuk seram. Justeru filem berunsur
seram kini mendapat perhatian ramai penonton. Keadaan ini dibuktikan apabila
setiap kali tayangan filem berunsur seram ditayangkan di pawagam-pawagam
seluruh Malaysia, kutipan jualan tiket mendapat sambutan hangat berbanding
filem bercorak kerohanian.Masyarakat semakin terdedah kepada fenomena tahyul,keramat,sihir,cerita-ceruta
aneh,misteri dan ajaib.Situasi ini telah menyebabkan semakin ramai pengarah
filem tempatan mengambil peluang ini untuk menghasilkan filem-filem berunsur
hantu dan seram.
Seiring dengan kebangkitan filem-filem
berunsur hantu dan seram ini telah mendapat perhatian ramai pihak. Ada di
antaranya yang memuji dan menyokong lambakan filem ini dan tidak ketinggalan
juga yang mengkritiknya. Kebanyakan yang mengkritiknya adalah disebabkan
terdapat unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para penonton.
Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka ini
merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses
belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh
merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri
penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran
Islam.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana
ramai penonton yang meminati filem berunsur hantu dan seram ini terdiri
daripada masyarakat melayu dan beragama Islam. Mereka ini terdiri daripada
pelbagai peringkat usia iaitu golongan tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak
sendiri. Hal ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah generasi
muda dan kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan terpengaruh
dengan aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai jenis hantu
yang direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada penonton. Perasaan
takut mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu rekaan tersebut
melebihi kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan daripada para pelakon
pula telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan tahyul, khurafat dan
syirik. Kekuatan kepercayaan terhadap
hantu ini juga akan melemahkan iman dan memesongkan kepercayaan terhadap Allah
s.w.t.
Dalam hal ini, ketaksuban penonton terhadap
hantu akan menyebabkan mereka terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian.
Misalnya, dibayangi hantu ketika berseorangan atau ditempat gelap, kanak-kanak
pula takut untuk ke tandas kerana rasa ada hantu yang mengekori. Perkara ini
tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan perlu ditangani segera. Kajian
dilakukan berkaitan kesan dan pengaruh filem hantu terhadap penonton
menyenaraikan kesan antaranya tidak nyenyak tidur akibat diburu bayangan filem
ngeri, perasaan takut hingga hilang daya kawal terhadap diri dan perasaan fobia
melihat benda dikait dengan filem ditonton. Malah fobia terhadap kegelapan,
binatang, bunyi atau keadaan yang terlalu sunyi menyebabkan perasaan takut
berpanjangan.
Secara
keseluruhannya, menurut perspektif Islam perkara ini sangat bertentangan sama
sekali. Kepercayaan seseorang Islam seharusnya berlandaskan kepada tasawwur
Islam iaitu percaya bahawa Allah s.w.t adalah pencipta dan manusia serta alam
sekitar merupakan makhluk bukan mempercayai amalan-amalan syirik dan tahyul.
Justeru kepercayaan ini harus lahir daripada sumber epistemologi Islam yang
mana menjadikan al-Quran, hadis ijmak dan qiyas ulamak sebagai sumber rujukan
utama. Berhubung dengan perkara yang dibincangkan, setiap penghasilan filem
terutamanya bagi penghasil filem Islam haruslah menjadikan al-Quran dan hadis
terutamanya sebagai sumber rujukan.
Selain itu,
penggiat seni perfileman juga harus menghasilkan dakwah dalam setiap filem
mereka bukan mengajar masyarakat tentang perkara tahyul dan khurafat. Dalam
Islam, drama dan filem adalah diharuskan bertujuan mendidik masyarakat serta
membantu mengembangkan ajaran Islam dengan syarat tidak menampilkan watak tokoh
seperti rasul, nabi dan khalifah kerana boleh menghilangkan kekudusan mereka.
Tiada fenomena lucah dan percampuran jantina, kegiatan zina atau pendedahan
aurat. Drama atau filem mesti berkepentingan kepada agama, ilmu pengetahuan,
pendidikan, moral, individu, keluarga dan masyarakat (Berita Harian, 2011).
Merujuk kepada
perkara yang melemahkan minda umat Islam terhadap filem seram ini juga
sememangnya sangat membimbangkan. Misalnya menurut pendakwah bebas Ustaz Daud
Che Ngah berkata, “Unsur seram dan ganas dalam filem menyebabkan orang ramai,
khususnya kanak-kanak lebih takut kepada watak hantu daripada Allah dan ia
tidak sewajarnya kerana melemahkan minda umat Islam’’. Namun, pandangan ini
disanggah oleh Presiden Pengeluar Filem Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah
melalui berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 11 Januari 2011.
Beliau dilaporkan berkata “penerbit filem menerbitkankan filem yang memang
genre ditetapkan adalah seram dan ia bukan filem mengenai kisah hidup ahli
agama. Watak ustaz diwujudkan bagi memberikan moral atau nasihat kepada
penonton yang menonton filem berkenaan’’(Ruzain Syukur Mansor, 2011). Benarkah
terdapat unsur moral seperti yang diperkatakan? Apabila dilihat terhadap watak
ustaz yang diperkatakan itu, tidak langsung menggambarkan unsur-unsur nasihat
kerana terdapat ayat-ayat al-Quran yang dibacakan bercampur dengan jampi
serapah. Hal ini kononnya untuk menimbulkan unsur komedi disebalik penceritaan
tanpa menyedari ia bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Hal ini mampu
menjadi ikutan kepada para penonton terutamanya yang jahil tentang ilmu agama.
Dalam hal
kanak-kanak yang menonton filem ini pula, telah menyebabkan timbul kekeliruan
dalam diri mereka. Hal ini di antara mempercayai perkara ghaib dengan
mempercayai kewujudan hantu dan syaitan. Keadaan mereka yang masih diperingkat
belajar telah mencetuskan keaadaan sedemikian. Situasi ini juga ditakuti akan
membawa kepada syirik yang melemahkan iman dalam diri seseorang. Menurut Dr.
Danial Zainal Abidin dalam bukunya, Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden
berpendapat bahawa khurafat dan tahyul serta amalan yang tidak bersandarkan
al-Quran dan sunnah adalah sebahagian daripada jahiliah yang sesat. Beliau
menambah khurafat dan tahyul membawa seseorang itu kepada syirik.
Firman-Nya yang
bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa
selain itu bagi orang yang Dia kehendaki, dan sesiapa yang syirik kepada Allah,
maka sesungguhnya mereka sudah melakukan dosa sangat besar. (Surah an-Nisa,
ayat 48)
Oleh itu, dalam
kita berseronok dalam hiburan duniawi, perlu beringat agar tidak terjerumus
kepada perkara yang boleh merosakkan akidah sebagai seorang umat Islam. Hiburan
sememangnya tidak salah dalam Islam tetapi tidak harus melanggar batas yang
telah ditetapkan syariat. Penggiat seni perfileman tanah air perlu berhati-hati
dalam menggarap skrip dalam setiap filem mereka agar tidak terpesong dari
ajaran Islam. Bagi para penonton pula tidak seharusnya terlalu taksub dengan
hantu yang hanya rekaan manusia semata-mata sedangkan kita harus lebih takut
kepada azab Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah s.w.t merupakan pencipta sekalian
makhluk.
“Maha Suci Dia.
Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya:
"Jadilah", maka jadilah ia (surah Maryam, ayat 35).
No comments:
Post a Comment