Tuesday, February 28, 2017

Tips Mendidik Anak Secara Islam

Nama:Salmi Suhana Binti Mohamed Noor
No.Matrik:14021152
No.Siri:02

Setiap pasangan yang baru berkahwin pasti menyimpan hasrat untuk memiliki cahaya mata sendiri.Anak adalah aset paling berharga dalam hidup kita. Ia adalah amanah Allah yang  harus dijaga sebaik mungkin. Bukankah salah satu amal yang tidak pernah putus ialah doa anak yang soleh dan solehah?  Bagaimana kita mencorak dan mendidik generasi sesuai dengan syariat dan ajaran islam? Semuanya kembali kepada ibu bapa itu sendiri.Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyatakan “Rumah adalah universiti pertama bagi anak-anak manakala ibu bapa adalah pensyarah pertama bagi anak-anak”.Pepatah melayu pernah menyatakan “Nak melentur buluh biarlah dari rebungnya” kerana anak-anak ibarat kain putih kitalah yang mencorakkannya.Sebelum memiliki anak, kita harus belajar dan mengkaji bagaimana cara mendidik anak dengan cara pendidikan terbaik  agar menjadi anak yang soleh dan solehah. Dalam nukilan ini saya akan membahas tentang beberapa cara mendidik anak dengan cara terbaik dan islamik.

Tips Mendidik Anak Secara Islam
Saya yakin tidak ada seorang pun ibu bapa yang tidak menginginkan anak-anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah.Peranan ibu bapa dalam pendidikan anak sangat besar dan salah satu daripada jihad,sebagai ibu bapa kita seharusnya menunjukkan contoh ikutan yang baik untuk anak-anak kita. Berikut adalah beberapa tips mendidik anak secara islam.Semoga ia bermanfaat bagi yang ingin menempuh gerbang perkahwinan dan melangkah ke alam ibu bapa insyaALLAH..

  • Memperkenalkan ilmu aqidah dan tauhid pada anak-anak
  • Ilmu ini sangat penting kerana ia adalah asas dalam islam.Cuba tanamkan dalam diri mereka bahawa bukan kita ibu bapa yang jaga mereka tapi ALLAH yang jaga mereka.Mereka tidak perlu takut dengan apa pun di dunia ini selain ALLAH.Bila perkataan seperti itu sering kali diucapkan sejak kecil kalimah itu akan diserap dalam minda bawah sedar dan membentuk peribadi mencintai ALLAH lebih dari segala-galanya.

  • Ajaklah anak agar selalu mengikuti  aktiviti seharian ibu bapa
  • Seperti berwudhuk, solat dan bangun pada waktu subuh untuk menunaikan solat. Maka si anak lama-kelamaan akan terbiasa dengan hal tersebut meskipun mereka belum faham apa-apa, paling tidak mereka tahu bahawa ini suatu kewajiban yang tidak boleh ditinggalkan seolah-olah ia adalah nyawa mereka dan makanan asas bagi mereka.
. Fahami sifat dan perwatakan anak
Setiap orang memiliki sifat dan perwatakan masing-masing. Dalam proses pendidikan anak, perkara yang paling utama yang harus diperhatikan adalah sifat dan cara kelakuan anak-anak. Jika ibu bapa sudah dapat membaca kedua-dua item ini maka pilihlah cara mendidik yang sesuai bagi mereka.Pakar motivasi pernah menyatakan cara penerimaan pembelajaran anak mempunyai tiga jenis.

Situasi pertama : Belajar melalui mendengar.
Contohnya : Kalau kita larang “jangan bermain dengan api” .Mereka terus mengikut arahan kita.Anak seperti ini mudah mendengar nasihat.

Situasi kedua : Belajar melalui melihat.
Contohnya : Kalau kita larang “jangan bermain dengan api.Tengok apa dah jadi dekat tangan kawan Rayyan sebab main api”.Mereka baru mengikut arahan setelah melihat apa yang berlaku secara terang di depan mata.Mungkin cara situasi  pertama tidak membantu.

Situasi ketiga : Belajar melalui rasa
Contohnya :Apabila mereka sudah terkena api baru mereka berjanji tidak akan bermain api lagi disusuli dengan tangisan.Pada masa tersebut ibu bapa tidak perlu memarahinya kerana perbuatan tersebut hanya menambahkan tekanan dalam diri mereka.Sebaiknya belailah mereka dengan penuh kasih sayang supaya mereka dapat lihat kasih sayang kita walaupun mereka selalu melakukan kesalahan.Anak seperti ini memerlukan lebih penjagaan daripada ibu bapa berbanding kanak-kanak lain.

 Umur anak-anak 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak berbatas.Mereka akan melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.

 Umur anak-anak 7-14 tahun.  Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Menurut hadis Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyiksa, cuma sekadar untuk mendidik mereka. Janganlah pukul pada bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.


Umur anak-anak 15- 21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan berkawan dengan mereka. Banyakkan berbual dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, hindari menghardik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradiknya yang lain tetapi gunakan pendekatan secara diplomasi atau menang-menang seperti “menarik rambut dalam tepung,rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak” walaupun kita adalah ibu bapa mereka.Nasihatlah dengan cara hikmah dan tundukkan ego kita sebagai ibu bapa sehingga tidak ada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka.Jangan biarkan mereka mencari pendengar yang lain seperti teman wanita atau teman lelaki. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari kesenangan lain jika semua kebahagian dan kesenangan telah ada di rumah bersama keluarga.Cuba wujudkan suasana “Rumahku Syurgaku”.Bapa perlulah menunjukkan perwatakan bapa yang baik sebagai ketua keluarga.
Umur anak 21 tahun dan ke atas. Fasa ini adalah fasa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak dengan memberi kebebasan dalam membuat keputusan mereka sendiri seperti bebas memilih kursus kegemaran seperti undang-undang apabila memasuki alam universiti dan memilih hobi yang bermanfaat bagi mengisi masa lapang mereka. Ibu bapa hanya perlu pantau dari jauh, menasihati dan mengiringi doa agar setiap tindakan yang diambil mereka adalah betul dan matang. InsyaAllah dengan segala displin yang diasah cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibu bapa jangan pernah berasa letih untuk menasihati mereka, kerana kalimat nasihat yang diucap sebanyak 200 kali atau lebih terhadap anak-anak mampu membentuk tingkah aku yang baik seperti yang ibu bapa inginkan.
Dan (hamba-hamba Ar Rahman adalah) mereka yang mengatakan:” Ya Tuhan kami! Anugerahkan kepada kami, istri-istri dan keturunan kami yang akan menjadi penyejuk mata kami, dan jadikanlah kami sebagai pemimpin untuk orang-orang yang bertakwa” (Al-Furqaan 25:74).
. Hargai Perlakuan Anak
Masa kecil anak penuh dengan kelakuan yang bermacam ragam, mulai dari bermain, mencari perhatian hingga mengganggu orang lain. Jika anak melakukan kesalahan jangan terus marah, tetapi cari punca kenapa mereka melakukan kesalahan. Bersikap tenang dan matang  dalam menyelesaikan masalah,kerana pada dasarnya ini merupakan proses pembentukan jati diri anak tersebut.
Anak yang masih berusia 1-2 tahun, fasa-fasa ini adalah fasa dimana anak akan sering keluar dan bermain menjelajah. Jangan biarkan anak terkurung dalam satu ruangan sahaja, tetapi biarkan mereka bebas meneroka di sekitarnya agar otak anak tersebut berkembang.Sebaiknya temanilah mereka sepanjang pengembaraan mereka agar keselamatan mereka lebih terjamin.Hal ini kerana mereka cenderung untuk menggigit dan memakan apa sahaja yang dijumpainya.Kita seharusnya peka dengan permainan yang dibeli untuknya.Sebaiknya belilah mainan yang mempunyai logo MC.Andalah superhero mereka!!!!
. Ajak Anak Berkomunikasi
Libatkan anak dalam sebuah perbincangan kecil keluarga, hal ini akan mendidiknya melihat kehidupan keluarga.Biasanya ia berlaku semasa makan bersama.Ibu bapa boleh bertanya tentang pelajaran dan masalah mereka serta penyelesaian terbaik. Hargai pendapat anak kecil walaupun tidak masuk akal dalam memberi idea.Perkara yang dibincangkan adalah memilih makanan,pakaian, aktiviti keluarga sehingga hal berkaitan pelajaran. Ini akan menimbulkan keyakinan diri dan akan terbiasa dalam menyelesaikan masalah.
. Komunikasi yang Baik dengan Anak

Berkomunikasilah dengan lembut dan berhemah, berikan arahan yang jelas ketika menyuruh mereka menghindari hal-hal yang membahayakan.
. Sabar Dan Kental Emosi Dalam Mendidik Anak
Kadang-kadang kelakuan anak-anak  di luar batasnya  sehingga kadang-kadang timbul rasa geram kerana si anak melakukan kesalahan yang sama secara berterusan. Sebagai ibu bapa kita seharusnya mempunyai sifat sabar dan banyaklah berdoa agar si anak menjadi anak yang soleh dan solehah dengan mengambil iktibar dari kesalahannya.
. Berilah Contoh Teladan yang Baik
Ketika masih kecil anak sering mencontohi perbuatan ibu bapanya atau kakaknya,maka selalulah menunjukkan teladan yang  baik agar dapat ditiru oleh anak-anak.Contohnya ibu papa yang suka membaca Al-Quran dan menjadi ikutan kepada anak-anak. Ingatan kanak-kanak sangatlah kuat sehingga apabila kelak dewasa dia boleh mengamalkan apa yang diajarkan kepadanya. Hal ini boleh menjadi amal jariah kepada ibu bapa.
. Luangkan Waktu Sejenak Untuk Berbual dengan Anak
Ibu bapa seharusnya meluangkan sedikit masa bersama anak-anak. Walaupun terlalu sibuk sekalipun paling tidak anda mempunyai masa bersama sebelum mereka tidur.Ibu bapa boleh pelbagaikan bahan-bahan bacaan santai sebelum tidur.Ibu bapa boleh menukarkan bacaan kisah dongeng seperti Cinderella dan Puteri Salju kepada pembacaan kisah-kisah nabi sebelum tidur. Ini merupakan hal yang penting untuk menumbuhkan ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak.
. Berikan Hak-Hak Mereka
Hak-hak mereka adalah mendapatkan makanan yang berkhasiat dan seimbang dan memberikan pakaian terbaik untuk mereka.Walaupun mereka masih kecil ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan pakaian yang sopan dan menutup aurat agar mereka akan terbiasa dan selesa dengan pakaian tersebut.Anak-anak seharusnya diberikan pendidikan terbaik yang seimbang dari segi akademik,ko-kurikulum dan pendidikan agama untuk membentuk sahsiah diri yang cemerlang bukan sahaja di dunia malahan jua di akhirat.
Antara tips-tips yang perlu dilakukan sebelum berkahwin :
. Berhati-hati Dalam Memilih Calon Isteri/Suami
Seorang perempuan yang baik belum tentu berhijab tetapi seorang perempuan yang berhijab insyaALLAH baik. Lihatlah  juga cara pakaian,percakapan dan akhlaknya.Hal ini akan mempengaruhi juga perwatakan anak yang bakal lahir nanti.
. Selalu Berdoa Agar Diberikan Keturunan yang Baik

Hanya Allah SWT yang mengetahui dan berkuasa atas segala sesuatu.Berdoalah kepada Allah agar diberikan keturunan yang baik dan perbaikilah keturunan-keturunannya.Jangan pernah berhenti berdoa kerana doa itu senjata orang mukmin.
. Berikan Nama yang Baik
Nama sangat berpengaruh bagi anak tersebut, berilah nama yang mempunyai maksud yang terbaik.Ibu bapa boleh menamakannya dengan nama nabi-nabi,sahabat-sahabat baginda,pejuang-pejuang islam dan sebagainya.Hal ini kerana nama itu akan mencerminkan akhlak anak tersebut.
Semoga nukilan ini memberi  manfaat bagi sahabat yang ingin melangkah ke gerbang perkahwinan dan kepada pasangan yang baru bergelar ayah dan ibu.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *