Saturday, February 25, 2017

MENGENALI TOKOH ULAMA’ ( TOK KENALI )

Ditulis oleh : Aminah Binti Awang@Ghazali
No. Siri : 064
No. Matrik : 14021111 

KELAHIRAN
            Tok Kenali atau nama sebenarnya ialah Haji Mohamad Yusoff bin Ahmad bin Abdul Samad yang juga dikenali dengan nama timangan lain iaitu Awang atau Awang Kenali merupakan nama sentimental yang amat digemarinya dan dipergunakan oleh Kebawah Duli Almarhum Sultan Mohamad ke IV dalam titah baginda. Tok Kenali telah dilahirkan dalam keluarga petani pada 1928H bersamaan 1868M dari satu keluarga yang baik, yang tinggal di Kampung Kenali, Kubang Kerian 3 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan. Ibunya ialah Fatimah binti Mohamad Salleh. Kedua-dua datuknya merupakan seorang tokoh agama tempatan yang sangat dihormati dan disanjungi. Abdul Samad pernah bertugas sebagai bilal, manakala datuk sebelah ibunya Mohamad Salleh merupakan seorang Imam di surau Kampung Kenali. Tok Kenali menjadi seorang yatim ketika berusia lima tahun. Oleh itu, Tok Kenali telah dipelihara dan diasuh oleh datuknya sebelah ibunya iaitu Mohamad Salleh atau lebih dikenali sebagai Tok Leh bersama nenek tirinya, Tok Mek Ngah. Mereka berdualah yang telah menjaga, mendidik dan memberikan perbelanjaan pengajiannya, ketika Tok Kenali berada di bawah jagaan ibunya Hajah Fatimah. Walau bagaimanapun, Tok Kenali tidak hanya bergantung kepada datuk dan ibunya, malah beliau pandai untuk berdikari walaupun usianya masih muda dan sedang belajar. Bagi meringankan beban mereka, Tok Kenali mengambil kesempatan bekerja sebagai seorang kerani menulis cukai tanaman penduduk daerah Kenali. Hasil daripada pendapatan tersebut telah membantu beliau untuk mempertingkatkan pelajaran dan pengetahuannya. Ketika berada dibawah pemerintahan Inggeris di Kelantan, masyarakat tidak hanya dikenakan cukai tanah bahkan juga tanaman diatas sebidang tanah itu juga turut dikenakan cukai. Disebabkan itu jugalah berlakunya pemberontakan dan penentangan oleh Tok Janggut di daerah Pasir Putih Kelantan terhadap sistem cukai yang dikuatkuasakan keatas tanaman yang dilaksanakan pihak berkuasa Inggeris di Kelantan.

PENDIDIKAN
            Pendidikan awal yang diterima Tok Kenali adalah melalui datuk sebelah ibunya, Tok Leh, kerana bapanya telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Tok Leh adalah seorang imam di masjid kampung Kenali. Ternyata Tok Kenali merupakan seorang kanak-kanak yang memperlihatkan kebolehan yang agak luar biasa kerana pada usia 8 tahun telah dapat menamatkan pengajian al-Quran melalui bimbingan dan pengajaran datuknya, bahkan pada waktu itu beliau telah mahir menulis dan membaca hingga dilantik oleh Tok Kueng (Penggawa/Penghulu) sebagai kerana pemungut cukai di pejabatnya.
            Tok Kenali adalah seorang kanak-kanak yang menunjukkan cita-cita dan semangat belajar yang tinggi. Bagi beliau kemahiran membaca dan menulis yang telah dikuasainya bukan semata-mata untuk mencari pekerjaan, tetapi adalah bertujuan untuk mencari ilmu pengetahuan yang lebih luas. Semangat yang tinggi mendorong Tok Kenali berusaha gigih walaupun terpaksa berjalan kaki berulang alik antara rumahnya di Kampung Kenali ke bandar Kota Bharu yang jaraknya sekitar 5 batu pada setiap pagi dan senja semata-mata untuk belajar dengan ulama’ besar yang membuka halaqah pengajaran di madrasah-madrasah yang dibangunkan di sekitar masjid besar Muhammadi di pusat bandar Kota Bharu (masjid kayu) dan di Masjid al-Muhammadi. Masjid Muhammadi pada ketika itu, selain dijadikan tempat untuk beribadat, di setiap sudutnya kalangan ulama’ telah membuka kelas pengajian dalam pelbagai cabang ilmu seperti bahasa, sastare arab, fiqh, akidah dan tasawuf. Manakala di persekitaran sekelilignya dipenuhi pondok kediaman pelajar-pelajar. Mengikut tinjauan penulis di kalangan generasi tua yang tinggal di persekitaran itu dan diakui oleh Allahyarham Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang menyifatkan persekitaran Masjid Muhammadi hinggalah ke kawasan Kubang Pasu pada awal kurun ke-19 adalah merupakan mantiqah ilmu ( kawasan ilmu pengetahuan ) kerana dipenuhi oleh madrasah-madrasah dan pondok-pondok kediaman pelajar. Haji Abdullah Al-Qari menjelaskan bahawa kalangan ulama’ulama’ yang terlibat mengajar di masjid besar Muhammadi di Kota Bharu pada era kurun ke-19 atau ulama’ yang membuka halaqah pengajaran di beberapa madrasah di sekitar Kota Bharu adalah menjadi guru-guru utama dalam kehidupan Tok Kenali diusia remajanya. Antara ulama’ besar Kelantan yang menjadi guru Tok Kenali semasa di Kelantan ialah Haji Ismail bin Haji Mahmood iaitu ayahanda kepada Dato’ Perdana Menteri Kelantan, Tuan Guru Haji Taib (yang lebih dikenali sebagai Tuan Padang), Tuan Guru Haji Ibrahim bin Yusoff Sungai Budor, Haji Abdul Samad bin Mohammed Salleh (Tuan Tabal), Haji Abas Sungai Bador, Haji Ismail Qadhi Atas Banggol, Haji Awang Alim (Haji Awang Gemok Atas Banggol), Haji Nik Daud Kubang Pasu dan lain-lain. Tok Kenali belajar di Kota Bharu selama 8 tahun iaitu dari usia 10 tahun hingga menjangkau usia 18 tahun.
            Setelah tamat pengajian dalam pelbagai cabang ilmu itu pada tahun 1886 iaitu tahun kemangkatan Sultan Mulut Merah dan ketika Tok Kenali dalam usia 18 tahun, beliau telah dihantar datuknya ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji dan Seterusnya melanjutkan pengajian di kalangan ulama’ besar dari kalangan bangsa Arab, India, atau dari alam Melayu sendiri yang menganjurkan halaqah pengajian di kota suci itu. Tok Kenali berada dan mengikuti pengajian di Makkah selama 22 tahun. Beliau hanya kembali ke tanah air pada tahun 1908 iaitu tiga tahun selepas kematian guru utama dalam hidupnya iaitu Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani.
            Antara guru-guru utamanya ketika di Makkah ialah Haji Syeikh Mohamad Ali Kutan, Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Abdul Samad al-Falambawi, Syeikh Arsyad al-Banjari, Syeikh Ahmad Khatib al-Sambasi dan Syeikh Ahmad bin Mohamad Zain Mustapha al-Fatani. Manakala guru-guru Tok Kenali dari kalangan ulam’ Arab pula ialah terdiri dari Syeikh Hasbullah dari Kaherah, Mesir di dalam bidang tafsir al-Quran, al-Allamah Syeikh Ubaid dalam Fiqh Mazhab Maliki, al-Allamah Muhammad Amiin dalam bidang fiqh Mazhab Hanafi, al-Allamah Syeikh al-Sayyid Bakri, al-Allamah Syeikh Muhammad Yusoff al-Khayyat, al-Allamah al-Sayyid Abdullah bin al-Sayyid Muhammad Sya’ah al-Zawawi, mufti Makkah dan guru utama di Masjid al-Haram. Hakikatnya masyarakat umum Kelantan waktu itu beranggapan pengajian dan kealiman seseorang itu belum cukup sempurna dan mantap kecuali setelah menamatkan pengajiannya di kota suci Makkah, mananakala masyarakat Islam tempatan menganggap seseorang telah Berjaya menamatkan pengajian di Makkah adalah benar-benar alim dan akan dinanti-nanti oleh masyarakat.
            Jika disoroti secara lebih luas dan terperinci memperlihatkan pula bahawa dari sejumlah ulama’ Melayu dari mana Tok Kenali mengikuti pengajian, jelas kedudukan Syeikh Ahmad bin Mohamad Zain al-Fattani merupakan dan menjadi tokoh ulama’ yang paling kuat berpengaruh dalam kehidupan Tok Kenali dilihat dari sudut pendekatan ilmu dan pendekatan pergerakan islah yang lain. Bahkan dari sudut lain pula, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Tok Kenali dan Dato’ Perdana pula merupakan anak murid yang paling dikasihi dan diharapkan misi perjuangan islahnya di Alam Melayu. Keadaan terbukti di makna Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain dalam misinya bagi pihak Persatuan Ikatan Ulama’ Melayu menemui pimpinan gerakan harakah Islamiah dan masyarakat Islam umumnya dalam mengelakkan polimik-polimik pemikiran kecil yang boleh diatasi di kalangan ilmuan, tanpa diperbesarkan ke pengetahuan masyarakat awam yang pengetahuan Islam mereka adalah terbatas untuk memahaminya. Bagi Syeikh Ahmad Mohamad Zain pendedahan secara besar-besaran aspek dan isu-isu perbezaan aliran mazhab dikalangan masyarakat awam akan memberi kesan ke arah penyuburan kumpulan-kumpulan berbeza dan membawa kepada perpecahan ummah yang memudaratkan di ketika Islam menuntut kesatuan dan perpaduan ummah dalam menghadapi kemaraan kuasa-kuasa Eropah di negara dan masyarakat Islam.
            Setelah berada di Makkah dan belajar serta bekerja dalam membantu guru Syeikh Ahmad Zain selama 22 tahun, pada tahun 1908 iaitu selepas tiga tahun dari kematian gurunya itu Tok Kenali mengambil keputusan kembali ke tanah air iaitu negeri Kelantan dengan hasrat dan azam yang tinggi menyambung usaha-usaha islah dan pembaharuan dalam masyarakatnya sendiri. Beliau kembali ke tanah air ketika itu negeri Kelantan berada dibawah pemerintahan Sultan Muhammad ke IV yang bergerak aktif dalam usaha membangunkan negeri Kelantan sesuai dengan gelaran Darul Naim (negeri limpahan nikmat). Selari dengan tuntutan al-Quran yang memberi perhatian kepada kemajuan ilmu pengetahuan maka Tok Kenali telah memilih lapangan pendidikan sebagai tugas utamanya. Dikesempatan itu, Tok Kenali telah membuka pondok dikawasan terbiar di Kampung Paya, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1910. Beliau memilih kawasan terbiar ini adalah atas konsep ihya al-mawat (konsep penghidupan bumi mati dengan pembangunan) iaitu satu konsep pendekatan yang disarankan oleh Islam kepada manusia atas kedudukannya sebagai khalifah bumi. Di samping pengajian pondok ini, Tok Kenali mengajar ilmu nahu, fiqh, tasawuf dan tafsir al-Quran serta hadis. Selain itu, beliau turut memperkenalkan alat bantuan mengajar dalam menyampaikan pengajarannya.

KELUARGA

Haji Mohamad Yusoff (Tok Kenali) juga turut memperlihatkan dirinya sebagai ilmuan Islam yang luar biasa dari sudut kehidupan berkeluarga apabila beliau memilih untuk hidup berkeluarga ketika usia masih balasan tahun. Tok Kenali telah mendirikan rumah tangganya pada usia 16 tahun. Wanita pilihannya dikenali sebagai Mek Nik tetapi perkahwinannya berkekalan hanya setahun sahaja dan mereka berpisah tanpa dikurniakan zuriat. Setelah gagal dalam pernikahan pertama, beliau memilih untuk hidup bujang hinggalah beliau menamatkan pengajian di Makkah al-Mukarramah dan kembali ke tanah air. Pada kali ini beliau telah memilih untuk berkahwin dengan seorang janda yang bernama Rokiah binti Haji Mahmood. Perkahwinan ini berkekalan hingga ke Akhir hayatnya. Berasaskan catatan sejarah ini membuktikan Tok Kenali tidak mengamalkan poligami yang biasa menjadi amalan-amalan tok guru zaman itu. Hasil daripada perkahwinan itu, beliau telah dikurniakan empat orang cahaya mata yang kesemuanya lelaki. Mereka ialah Hj Ahmad (Tok Bakok), Hj Muhamed Salleh, Hj Mahmud dan Hj Abdullah Zawawi. Dari keempat-empat anak Tok Kenali itu semuanya dapat mewarisi kealiman ayahanda mereka tetapi dari sudut kegiatan pendidikan dan islah hanya Hj Ahmad satu-satunya anak yang berkhidmat di Kelantan dalam usaha mewarisi dan menyambung pengajaran berasaskan sistem pondok yang diasaskan oleh ayahnya. Manakala tiga yang lain telah memilih untuk bermastautin di Arab Saudi dan meninggal atau masih menetap di Makkah al-Mukarramah hingga waktu ini.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *