Disediakan Oleh: Siti Zunairah Binti Ismail
No Siri: 071
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita
kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan
melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan
kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat
di Akhirat.
Islam mewajibkan ke atas setiap anak agar
mentaati ibu bapa. Perintah itu bukan setakat meletakkan seseorang anak
melakukan kebaikan, tetapi adalah sebagai bukti keimanan dan ketaqwaan. Firman
Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Ahqaaf ayat 15:
Tafsirnya: “Dan kami perintahkan manusia
berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”
Sebagai seorang anak, kita hendaklah
mengutamakan ibu bapa berbanding orang lain. Ini kerana Islam meletakkan
kemuliaan ibu bapa selepas Allah Subhanahu Wata’ala dan rasulNya. Ketahuilah
jika ibu bapa reda kepada anaknya maka Allah Subhanahu Wata’ala akan reda
kepadanya, sebaliknya jika ibu bapanya berkecil hati atau marah kepada anaknya
maka Allah Subhanahu Wata’ala juga akan murka kepada anak tersebut. Ini jelas
sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadith:
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Amru,
dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: keredaan Allah terletak
pada keredaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa.” (Riwayat
Al Imam At-Termizi)
Sesungguhnya tidak ada manusia di muka bumi
ini yang lebih besar jasanya kepada kita selain ibu dan bapa. Seorang ibu
bersusah payah semenjak anak dalam kandungan sehinggalah anak itu dilahirkan.
Kemudian ibu bapa mengasuh, membesarkan, mendidik dan mencukupkan segala
keperluan. Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan dengan rasa penuh kasih
sayang.
Oleh itu, sebagai membalas jasa kepada ibu
bapa, kita dituntut untuk mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu
Wata’ala dalam Al-Qur'an iaitu berbuat baik kepada keduanya. Tuntutan berbuat
baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan ibadat atau kebiasaan yang diwarisi
turun-temurun, akan tetapi ia merupakan tututan syara'. Islam menuntut supaya
setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa dan hukumnya adalah fardhu ain.
Maknanya, apabila dihukumkan fardhu ain maka setiap orang wajib berbuat baik
kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik kepada keduanya ini
bukanlah suatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk
melakukannya.
Adapun berbuat baik kepada kedua ibu bapa
itu antaranya ialah menjaga tutur kata, sopan santun, hormat, tidak menengking,
merendah diri dengan kasih sayang, menjaga kebajikan mereka seperti makan
minum, kesihatan dan mendoakan keampunan dan kerahmatan untuk keduanya.
Sebagai anak, kita wajib taat perintah ibu
bapa selagi tidak bercanggah dengan hukum syara'. Oleh itu kita mestilah
mengelakkan diri dari menjadi anak derhaka kepada ibu bapa. Salah satu di
antara tanda-tanda di mana anak tergolong sebagai anak yang derhaka kepada ibu
bapa ialah anak yang melukai hati mereka sehingga menyebabkan mereka menangis.
Ini jelas sebagaimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar
Radiallahuanhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: “Menyebabkan kedua ibu bapa
menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar.” (Riwayat
Al-Imam Bukhari)
Berbakti kepada ibu bapa bukan setakat
berbuat baik sewaktu mereka masih hidup, malahan mestilah berterusan walaupun
mereka sudah meninggal dunia. Anak yang soleh dan anak yang taat kepada kedua
ibu bapa tidak akan melupakan jasa ibu bapanya. Dia akan tetap berbakti dan
membalas jasa mereka sedia mungkin walaupun mereka sudah meninggal dunia.
Berbagai cara boleh dibuat untuk
mencurahkan bakti dan ihsan kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia, di
antaranya ialah:
Pertama: Menyempurnakan urusan jenazah
mereka dengan sebaiknya menurut tuntutan syara' bermula daripada memandikan,
menyembahyangkan sehingga sempuran mereka disemadikan. Anak mestilah turut
serta dalam hal ehwal jenazah ibu bapanya. Bukan setakat mengharapkan orang
lain untuk menyempurnakannya.
Kedua: Berdoa untuk arwah ibu bapa dengan
memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata’ala serta doa yang terkandung
dalam Surah Ibrahim ayat 41:
Tafsirnya: “Ya Tuhan kami! Ampunilah aku
dan kedua ibu bapaku serta orang-orang yang beriman pada hari berlakunya hisab
di hari kiamat.”
Ini adalah kerana mendoakan ibu bapa itu
merupakan di antara ciri-ciri anak yang soleh dan dengan mendoakan mereka
dengan keampunan akan memberi manfaat kepada mereka selepas di alam barzakh.
Darjat ibu bapa pada hari kiamat akan
terangkat disisi Allah Subhanahu Wata’ala disebabkan dia seorang anak yang
memintakan ampun atas dosa-dosa mereka. Namun perlu diingat, jika sekiranya ibu
bapa yang meninggal ini terdiri daripada orang bukan Islam maka adalah dilarang
untuk mendoakan keampunan bagi mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah
SubhanahuWata’ala dalam Surah At-Taubah atau 113:
Tafsirnya: “Tidaklah patut bagi Nabi
Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan orang-orang yang beriman memohonkan
ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik walaupun mereka itu kaum kerabat
sendiri, sesudah nyata bagi orang-orang beriman bahawa orang-orang musyrik itu
adalah penghuni neraka.”
Ketiga: Melaksanakan atau menyempurnakan
janji atau wasiat yang telah dibuat oleh arwah ibu bapa semasa mereka hidup.
Keempat: Memuliakan orang-orang yang
dahulunya menjadi sahabat karib atau teman arwah ibu bapa.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda dalam sebuah hadith daripada Abu Asaad Radiallahuanhu, beliau berkata
yang maksudnya: ketika kami disisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam datang
seorang lelaki dari kaum Bani Salamat, lalu dia bertanya:Wahai Rasulullah!
Masih adakah sesuatu kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk kedua ibu bapa
saya sesudah keduanya meninggal dunia? Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
menjawab: Ya! Iaitu mengerjakan sembahyang ke atas keduanya, memohon keampunan
bagi keduanya, melaksanakan janji keduanya sesudah meninggal keduanya,
menghubungkan tali silaturahim yang tidak terhubung kecuali kerana jasa
keduanya, dan memuliakan teman-teman keduanya. (hadith riwayat Imam Abu Dawud).
Kelima: Menziarahi kubur mereka. Menziarahi
kubur merupakan perkara yang disunatkan mengikut hukum syara' khususnya bagi
kaum lelaki, apatah lagi menziarahi kubur kedua orang tua kita.
Sesungguhnya kewajipan mentaati ibu bapa tidak
tertentu kepada ibu bapa yang beragama Islam sahaja. Malahan bagi sesiapa yang
ibu atau bapanya, atau kedua-duanya bukan beragama Islam jika juga diwajibkan
taat dan berbuat baik kepada mereka, selagi mereka tidak menyuruh anaknya untuk
berlaku syirik (menyekutukan Allah) atau melakukan maksiat iaitu
perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah Allah dan larangannya.
Sesungguhnya kasih sayang ibu bapa tidak
akan luntur terhadap anak-anak. Mereka akan mengorbankan apa saja yang termampu
demi anak-anak. Akan tetapi anak-anak pula, mereka cepat lupa akan kasih sayang
dan pengorbanan kedua ibu bapa. Mungkin inilah di antara hikmahnya Allah
Subhanahu Wata’ala menyatakan di dalam Al-Qur'an secara tegas akan kewajipan
berbuat baik kepada ibu bapa supaya anak tidak mudah mengabaikan kewajipannya
kepada kedua ibu bapa. Sebaliknya ibu bapa pula tidak lagi perlu diperingatkan
untuk sentiasa menyayangi anak-anak mereka. Kerana sifat semula jadi sudah
cukup untuk mendorong mereka berbuat demikian.
Oleh yang demikian, sama-samalah kita
menghormati, menyayangi dan mengasihi ibu bapa kita dengan berbuat baik
terhadap mereka serta mengenang jasa mereka yang telah memelihara dan
membesarkan kita sehingga menjadi orang yang berjaya. Kita berdoa semoga ibu
bapa sentiasa dalam rahmat Allah dan pengampunannya jua, Amin ya rabbal alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah
Al Israa’ ayat 24:
Tafsirnya: “Dan hendaklah engkau merendah
diri dengan penuh kasih sayang dan berdoalah untuk keduanya: Ya Tuhan! Kurniakanlah
rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidik ku
dari kecil lagi.”
No comments:
Post a Comment