NAMA: SITI NURUL NABIHAH BT MOHAMAD
NO.SIRI:012
Kemajuan di negara kita seiring
dengan kegawatan akhlak yang semakin sebati dengan jiwa remaja pada hari ini,
kerana insan yang baru berusia setahun jagung ini, telah banyak yang terjebak
dalam kegiatan jenayah. Menurut Kamus Dewan perkataan 'jenayah' boleh
didefinisikan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan.
Jenayah juga dapat dikategorikan kepada jenayah juvana, jenayah sosial, dan
jenayah perdagangan. Kejadian jenayah di negara kita semakin meruncing dan
menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat kini. Fenomena yang
sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat ini, dapat memberikan suatu
persepsi kelekaan dan kealpaan masyarakat terhadap tanggungjawab mendidik,
mengasuh, dan membimbing generasi muda
kita hari ini.
Seandainya, jenayah juvana ini masih
bermaharajalela di negara kita, nescaya keadaan ini akan meranapkan impian
Malaysia menggapai hasrat dan visi kudsi Wawasan 2020.
Kelalaian ibu bapa merupakan faktor
perdana yang menimbulkan masalah ini. Kini, sudah menjadi lumrah ibu bapa pada
masa sekarang, rakus mengejar kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk
memenuhi naluri mereka sehingga senggup mengabaikan anak sendiri. Adakah kita
ingin melihat generasi hari ini yang akan menjadi nadi negara, menjadi
penjenayah pada masa depan? Ibu bapa pada masa ini menyerahkan tugas menjaga
anak bulat-bulat kepada pembantu rumah. Bertitik tolak dari sinilah , remaja
mengambil kesempatan keluar untuk meneroka dunia yang penuh dengan penipuan dan masalah
kerana mereka merasakan jiwa mereka kosong akibat keperluan emosi mereka
yang tidak dipenuhi dengan belaian kasih
sayang oleh ibu bapa. Akibat kekurangan dan ketandusan kasih sayang serta goyah
pegangan agama, remaja mudah bergaul dengan kumpulan samseng yang mengheret
mereka ke lembah jenayah.
Di samping itu, pengaruh media massa
turut menyumbang dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari remaja
untuk melakukan kegiatan jenayah. Akibat penyelewengan dalam proses penyaluran
maklumat, pemaparan aksi-aksi yang bercorak keganasan, berunsur pembunuhan, dan
rompakan membangkitkan keinginan remaja untuk terlibat dalam kegiatan yang
tidak bermoral ini. Remaja yang meminati aksi ganas akan lebih terdorong untuk
melakukan pergaduhan dan akhirnya membawa
kepada pembunuhan. Hal ini berlaku demikian kerana rancangan dalam media
elektronik diselitkan dengan unsur-unsur bercorak negatif yang secara langsung
mempengaruhi minda remaja untuk melakukan jenayah.
Pengaruh rakan sebaya juga menyumbang
kepada berlakunya kegiatan jenayah yang kian berleluasa. Pada peringkat remaja,
pengaruh rakan sebaya amat kuat dan menebal dalam jiwa mereka. Pada
kebiasaannya, pengaruh negatif yang menonjol akan menjadi ikutan para remaja.
Remaja juga akan lebih menurut kata-kata atau ajakan rakan-rakan untuk mencuba
sesuatu yang baharu. Demi menjaga budaya remaja dan rasa ingin diterima oleh
rakan sebaya, remaja berkenaan tidak teragak-agak untuk bertindak sebagaimana
yang dikehendaki oleh kumpulannya. Tambahan pula, mereka lebih suka memberikan
tindak balas kepada soal prestij dalam kumpulan agar mereka dapat bergaul dan
berinteraksi.
Konklusinya, remaja sebagai aset
penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada terus
dibayangi oleh 'jenayah'. Natijah daripada senario-senario ini, kerjasama yang
erat, dan persefahaman yang wujud adalah penting dalam menentukan kecerahan
masa depan negara. Ingatlah remaja yang bakal memimpin negara ini merupakan
tonggak dan harapan bagi mencorakkan
haluan negara, demi menzahirkan wawasan 2020.
Karangan yg mantap dn mmpunyai kosa kata berdrjat tnggi. Trskn usaha bgi mmjukn pnulisn anda.🙆
ReplyDelete