Nama : SITI FADILAH
MANSOR
No. Matrik : 14021252
No: Siri : (086)
Apa pun bentuk bencana atau
musibah yang melanda, pada hakikatnya ia memiliki peranan yang besar dalam
mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun
menerusi penerima bencana.Hal demikian semata-mata untuk menguatkan hati,
keteguhan sikap, terlatih dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.Pada
hakikatnya musibah itu merupakan sunatullah, sebagai suatu proses sebab akibat
daripada tindakan seseorang. Musibah itu juga merupakan peringatan daripada
Allah SWT, sebagai ujian keimanan dan setiap musibah itu tidak selamanya tanda
kemurkaan Allah SWT.
Pada saat itu seseorang
manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialah iltija,
iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah SWT semata-mata, ketika di mana
seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantunya untuk menghadapi bencana
tersebut.Tidak ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak
ada pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang
bermaksud:
"Tidak ada sesuatu musibah pun
yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman
kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya."
(Surah At-Taghabun: 11)
Sebahagian daripada
tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat
sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekori umat manusia di dunia
ini kerana ia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ini ditegaskan oleh
Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya akan Kami
ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta,
jiwa, dan buah-buahan."
(Al-Baqarah: 155)
Ini semua bertujuan
memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang
berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran. Dalam satu hadis,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mereka yang banyak menerima ujian
itu ialah para nabi, siddiqin dan salihin, kemudian mereka yang
mengiringi..."Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran
kerana ini akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa
Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan
bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan
dukacita.
Namun, mereka tidak akan
bertindak di luar batasan agama. Nabi Muhammad SAW contohnya, pada hari
kematian anak kesayangan baginda, Ibrahim, tetap bersedih dan air mata berlinangan,
tetapi tidak melakukan sesuatu di luar batas agama melainkan apa yang diredai
oleh Tuhan. Maka, orang yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi telah
benar-benar memurnikan tauhid dan mengikhlaskan doa hanya untuk Allah.Tatkala
seseorang Muslim yang tabah menerima musibah, dia mendapat penilaian yang
sangat tinggi daripada Allah. Bahkan, itulah saat yang tepat untuk mendapatkan
keampunan atas kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukannya selama ini. Makin
besar musibah yang dihadapinya dan makin kuat kesabaran ia menghadapinya, maka
besar pahala yang akan diterimanya.Demikianlah contoh keperibadian mulia yang
ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT.
Justeru digalakkan mereka yang ditimpa musibah berkata sebagaimana yang
dituntut oleh agama:
"Kami hanya bagi (milik) Allah dan kami
tetap kembali mengadap-Nya."
(Surah al-Baqarah:156)
Di dalam al-Quran
dinyatakan untuk mereka yang berjaya menghadapi ujian itu akan mendapat
penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka itu memperoleh petunjuk.
Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas atau terbawa-bawa dengan perasaan
yang terselit persoalan kenapa Allah memilih diri atau keluarga mereka sebagai
tempat ujian-Nya.Kesabaran yang tinggi amat dituntut dalam Islam. Dengan
memiliki jiwa yang sedemikianlah umat Islam akan menjadi umat yang teguh
peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang
menimpa.Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat
Allah sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah
keredaan-Nya.
Allah SWT telah menegaskan
bahawa semua yang ada di alam ini adalah milik-Nya, termasuk orang-orang yang
kita cintai, harta benda yang ditakuti akan berkurang dan hilang, seperti
pangkat, kedudukan dan kerjaya.Oleh kerana semuanya milik Allah SWT, cepat atau
lambat pasti akan kembali kepada pemiliknya yang asli iaitu Allah SWT. Ada pun
diri kita hanyalah sekadar pemegang amanah untuk menjaganya atau
memeliharanya.Oleh kerana bencana itu kekuasaan Allah SWT secara mutlak,
sedangkan Allah tidak pernah zalim kepada makhluk ciptaan-Nya, maka di sebalik
bencana, musibah atau bala terdapat banyak hikmah bagi para hamba-Nya yang
beriman.Kematian yang menyayat hati akibat banjir atau tanah runtuh adalah
ketentuan terbaik pada pandangan Allah, penguasa alam semesta.
Tidak ada yang bakal
terjadi di alam raya ini kecuali atas izin dan kehendak-Nya. Meskipun, perlu
diingat bahawa kehendak-Nya tercermin pada hukum-hukum alam yang
diciptakan-Nya.Apabila seseorang tidak menyesuaikan diri dengan kehendak-Nya
yang tercermin dalam hukum-hukum alam itu, dia pasti mengalami kesusahan serta
kesukaran. Dia akan mengalami bencana, baik pada dirinya mahupun
persekitarannya.
Di sini kita sepatutnya
berkata bahawa bencana itu adalah kehendak-Nya jua. Bukankah Dia yang
menciptakan hukum-hukum-Nya?Mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan
hati gersang dan kacau, dan mengundang jauhnya rahmat Allah dan datangnya
bencana. Mengambil kira hakikat rentetan fenomena demi fenomena yang berlaku
masa kini, pastinya dapat direnungi kesudahan hasil daripada tangan manusia dan
perbuatan yang dapat mengasingkan antara perkara buruk dengan yang baik.
No comments:
Post a Comment