Penulis:
Nurul Syahada Binti Hassan
No.
Siri: 043
No.
Matrik:14021150
Punca-punca dan
langkah-langkah yang tercetus.
Apakah itu kes buli? Kes buli
membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina,
mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang
terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli
yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah
mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak
seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.
Menurut kajian, kes buli ini menjadi
semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius
masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap
masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang
telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.
Antaranya ialah kekurangan
penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan
dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan
perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,
mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.
Selain itu, ibu bapa yang kurang
memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara
puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan
bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak
mereka.
Di samping itu, para pelajar yang
masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh
dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar
tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh
ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya
kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian
mereka terhadap pelajar lain.
Bak kata pepatah ‘tiada penyakit
yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh
dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak
kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan
isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran
tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan
sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini
merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat
tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya
daripada terbabit dalam kes buli ini.
Selain itu, ceramah atau kempen
seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap
sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri
daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh
dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.
Namun begitu, pihak sekolah juga
perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah
seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi
diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan
untuk membuli mangsanya.
Pihak sekolah juga boleh
menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah
dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar
menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan
informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar
tahu akannya.
Langkah yang lain ialah para pelajar
juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah
terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca
buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama.
Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes
buli di sekolah.
Di samping itu, para pelajar juga
harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala
ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa
pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan
segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan
sekolah.
Manakala, pihak sekolah yang telah
menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah
itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu
dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes
buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.
Pihak sekolah boleh berjumpa dengan
pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk
membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan
keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar
tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan
sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.
Selain itu, ibu bapa juga memainkan
peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa
haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan
mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka,
perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa
berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering
mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak
rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan
senget’.
Tambahan pula, di samping
mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa
mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan
memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka
tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak
kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi
meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.
Natijahnya, selagi masalah ini masih
berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat
mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita
yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat
Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang
penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa
Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak
haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes
buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak
duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi
muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada
dunia.
No comments:
Post a Comment