NAMA : AISYAH BT HAZIMAN
NO SIRI : 013
RASULULLAH s.a.w. mengakui bahawa umat manusia
mempunyai banyak kelemahan, antara kelemahan yang paling ketara ialah tidak
sepi dari sifat lalai dan lupa. Justeru itu insan amat memerlukan bimbingan dan
peringatan, kerananyalah Allah Taala telah mengutuskan para rasul a.s. bagi
menerima wahyu, kerana wahyu itulah yang diperlukan oleh manusia sebagai
petunjuk dan peringatan bagi membantu mengatasi kelemahan sifat manusia seperti
yang disebut di atas.
Firman Allah Taala:
وَذَكِّرۡ فَإِنَّ ٱلذِّكۡرَىٰ تَنفَعُ ٱلۡمُؤۡمِنِين
Yang bermaksud:
'Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat
bagi orang-orang yang beriman. "
(Surat Adz-Dzariat ayat 55).
Lantaran para rasul itu sebagai penerima wahyu yang mengandungi petunjuk dan
peringatan, maka manusia perlu mendampinginya dan beriman dengannya, kerana
petunjuk dan juga peringatan dari wahyu Allah itu hanya akan berguna kepada
mereka yang beriman sahaja, sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat 55 surah
adz-Dzariyat itu.
Petunjuk dan peringatan wahyu Allah SWT itu laksana air yang akan menyuburkan
tanaman, air akan mendatangkan faedah hanya kepada tanah yang subur, jika air
disiram ke alas batu pejal pasti tidak mendatangkan sebarang kesan. Demikian
juga petunjuk dan peringatan Allah SWT, ia hanya akan berguna apabila segala
nasihat clan peringatan itu jatuh kelembah hati yang lembut. Hati yang keras
sama dengan batu pejal yang tidak mungkin diresapi air, oleh itu hati yang
keras tidak mungkin dapat manfaat dari petunjuk dan peringatan wahyu itu.
Batu pejal terlalu keras tetapi hati yang keras ada kalanya lebih keras dari
batu yang pejal. Batu yang keras lama-kelamaan akan lekuk jika dititis air
terus menerus, tetapi hati yang keras kadangkala tidak mendapat manfaat dari
kehadiran para rasul a.s., sekalipun rasul itu didatangkan dari kaum
keluarganya sendiri sebagaimana Fir'aun tiaak mendapat faedah dari kenabian Musa
as. walaupun Nabi Allah itu dibesarkan di dalam istana Fir'aun sendiri. Begitu
juga Abu Jahal walaupun Nabi Muhammad dari kaum kerabatnya sendiri namun hati
Abu Jahal tetap berkeras dan menolak wahyu Allah yang dibawa oleh Rasulullah
s.a.w..
Hati memainkan peranan penting dalam menentukan keperibadian seseorang sama ada
ia akan menjadi insan yang baik dan berguna atau sebaliknya. Sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam diri seseorang
itu ada seketul darah, jika baik ia maka baiklah seluruh anggota, dan jika
rosak ia maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah bahawa ia adalah hati."
Hati manusia telah diciptakan oleh Allah Taala mempunyai keupayaan untuk
memiliki sifat-sifat yang baik iaitu sifat 'mahmudah', seperti sifat
lemah-lembut, sabar, insaf, simpati, pemurah, penyayang, belas kasihan dan
seumpamanya. Bagaimanapun ia perlu diasuh dengan bersungguh-sungguh untuk
menyuburkan dan merawat sifat-sifat mahmudah itu, kerana hati manusia itu
sering menjadi sasaran makhluk jahat iaitu iblis. jika dibiarkan makhluk jahat
itu menguasai hati, pasti hati akan rosak binasa, jika hati sudah rosak maka
rosaklah seluruh anggota sebagaimana sabda Rasulullah itu.
Hati boleh dipimpin dan disedarkan hanya dengan ilmu yang berteraskan wahyu,
kerana hanya ilmu tersebut sahaja yang bersumberkan tauhid iman dan aqidah.
Tanpa wahyu Allah Taala pasti manusia tidak akan mengetahui hal-hal yang
abstrak iaitu perkara-perkara ghaib, seperti rahsia disebalik kematian, alam
barzah dan juga hari kiamat.
Ilmu pengetahuan mengenai perkara yang menyingkap hal ehwal kematian,
perkara-perkara yang berhubung alam barzakh suatu kehidupan selepas mati,
seterusnya peristiwa mahsyar dan alam akhirat seperti yang telah dibahaskan di
dalam buku tazkirah yang berjodol 'Air Mata Di Mahsyar' yang telah diterbitkan
itu, merupakan perkara utama yang boleh menyedarkan dan melembutkan hati insan.
Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah Taala pasti mempunyai
keyakinan bahawa setiap insan pasti menghadapi saat kematiannya, mereka tidak
ragu bahawa setiap insan akan dihidupkan dan dibangkitkan semula, mereka akan
menghadapi suatu rangkaian hidup yang abadi. Bermula dengan datangnya ajal dan
diikuti babak peristiwa alam barzah, iaitu suatu kehidupan di alam kubur yang
penuh dengan berbagai pancaroba, hingga menemui hari kebangkitan di Mahsyar dan
alam akhirat, bagi menentukan kesudahan hidup seseorang sama ada akan menjadi
ahli syurga atau neraka.
Peristiwa di alam barzah bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal
yang soleh dan ketaqwaan yang unggul, akan merasai suatu kerehatan yang damai,
sementara menunggu datangnya hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang ingkar
yang sarat dengan beban dosa, maka alam barzah itu merupakan episod ngeri yang
dipenuhi azab sengsara, menjelang suatu kesengsaraan dan azab yang lebih besar
akan dirasai ketika di mahsyar kelak.
Oleh kerana iktiqad orang yang beriman meyakini adanya kehidupan selepas mati
itu, maka tidak dapat tiada manusia mesti mengetahui hal-hal yang berkait
dengannya. Rasulullah telah memberitahu melalui mutiara sabdanya mengenai alam
barzah dan alam akhirat, yang semua itu mesti difahami dan diambil pengertian
secara bersungguh-sungguh. Apabila tiba saatnya melalui alam tersebut maka
tidaklah terlalu terkejut dan terpinga-pinga seperti seorang yang terjebak
dalam mimpi ngeri.
Terutama di akhir zaman ini semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan
manusia yang bercakap tentang kematian, alam barzah dan seterusnya hari
mahsyar. Kerana manusia sedang membangun dunianya, kebanyakan mereka dilalaikan
oleh kesenangan, keindahan dan kelazatan dunia yang sementara. Sesungguhnya
mereka yang memburu kesenangan duniawi ini bagaikan memburu bayang yang
bergerak, sehingga kehabisan umur dan kematian pun tiba. Akhirnya mereka
terkejut besar apabila Malaikat maut datang dengan mengejut mencabut nyawanya,
kerana tiada sebarang persiapan atau bekalan untuk menghadapi suatu perjalanan
yang jauh.
Saiyidina Ali r.a. pernah berkata: "Bahawa manusia itu tidur lena, apabila
kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya." Demikianlah orang yang
tidak mengingati mati itu sentiasa dalam lalai atau bagaikan orang yang
tertidur Iena, dia akan terkejut ketika kematian tiba secara mendadak.
Berbeza dengan orang yang hatinya sentiasa mengingati mati atau tazkiratul
maut, maka kematian itu bagi mereka ibarat sebuah jambatan untuk menuju kepada
suatu pertemuan dengan Allah SWT yang sering disebut dan diingatinya.
Sebagaimana kesah Nabi Ibrahim Khalilullah yang didatangi oleh malaikat maut.
"Apakah anda hendak mengambil nyawaku?" tanya Nabi Ibrahim kepada
Izrael,
"Benar," jawab malaikat maut.
"Tidakkah anda tahu bahawa aku adalah Khalilullah (kekasih Allah), yang
selalu di dampingi dan mendampingi-Nya? Adakah munasabah seorang kekasih hendak
mengambil nyawa kekasihnya?"
Dengan kata-kata Nabi Ibrahim a.s. itu maka malaikat maut kembali semula
mengadap Allah SWT, lalu Allah perintah Izrael supaya menemui Nabi Ibrahim
dengan membawa pesanan dari Allah. Malaikat mautpun berkata kepada Nabi
Ibrahim:
"Justeru dengan kematian itu bererti Allah Yang Maha Pengasih telah
menjemput kekasih-Nya agar datang menemui-Nya." Dengan penjelasan malaikat
maut itu maka nabi Ibrahim a.s. amat gembira menghadapi kematian itu.
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Hendaklah kamu membanyakkan ingat akan perkara yang boleh meleburkan
kelazatan hidup," bertanya Abu Hurairah: "Apakah yang boleh
meleburkan kelazatan hidup itu?" jawab Rasulullah "Az-Zikrul
maut" iaitu mengingati akan mati.
Kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar terhadap sifat lalai manusia,
lalai dalam solat juga berpunca dari kelazatan dunia, dan manusia yang sedang
diuliti oleh kesenangan dan kelazatan dunia pasti tidak kepingin didatangi
maut, kerana baginya maut adalah noktah kepada kesenangan yang sedang dikecapi
di dunia ini.
Kematian menyebabkan dia rugi besar, segala kekayaan dan pangkat kebesaran akan
berakhir secara mendadak, isteri atau suami disayangi terpaksa ditinggalkan,
kemewahan yang melazatkan hidup akan berpindah milik kepada para waris, orang
akan bersenang lenang mendapat harta pusaka tetapi dia kesepian di dalam kubur.
Lantaran itu dia tidak ingin mati malah sesetengahnya ada yang benci akan
kematian.
Sesungguhnya mencintai kelazatan dunia itu boleh menyebabkan manusia tidak
ingat akan kematian, padahal kematian itu pasti datang sama ada dia ingat atau
lupa kepadanya, sama ada dia benci atau suka kepada mati. Justeru kematian
adalah suatu permulaan kepada kehidupan yang sebenar, iaitu hidup yang tidak
akan disudahi dengan kematian.
Oleh kerana kehidupan selepas mati ibarat suatu perjalanan yang jauh yang
memakan masa lama. Menyedari hakikat itu pasti insan memerlukan suatu persiapan
yang mencukupi dan sempurna, orang yang lalai tidak pernah memikirkan persiapan
menghadapi mati. Bayangkan jika secara tiba-tiba seseorang itu terlantar di
padang pasir yang tandus, bila dahaga telah mencekik kerongkongnya lantas
diapun terbayang mustahaknya air, tetapi baru dia sedar bahawa sedikitpun dia tidak
mempunyai bekalan air itu.
Orang sering bercakap tentang rakan atau sahabat mereka yang telah kembali
menyahut seruan Ilahi, sipulan telah mati dan sianu sudah mati, tetapi
sayangnya jarang sekali dia memikirkan bilakah kematian itu akan sampai kepada giliran
dirinya. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan yang telah dibuat?
Justeru mati itu adalah suatu peringatan yang berguna kepada manusia.
No comments:
Post a Comment