Ditulis oleh: Tuan Nor Azwani Binti Tuan Alias | 14021213 | 027
Penentuan hukum bagi memandikan jenazah jantina perlu dilihat daripada tiga keadaan. Hukum suami memandikan isteri, isteri memandikan suami dan lelaki atau perempuan yang bukan muhrim memandikan jenazah berlainan jantina.
Setiap daripada tiga keadaan itu mempunyai hukum berbeza antara satu dengan lain. Ulama termasuklah mazhab Shafie telah bersepakat seorang suami harus memandikan jenazah isterinya.
Terdapat riwayat daripada al-Dar al-Qutni, al-Bayhaqi dan al-Shafi’e dengan sanad hasan menunjukan Ali bin Abi Talib telah memandikan jenazah isterinya, Fatimah binti Muhammad tanpa mendapat bantahan daripada sahabat lain.
Riwayat yang sama juga terdapat dalam kitab Nil al-Awtar membuktikan Fatimah pernah mewasiatkan supaya jenazahnya dimandikan oleh suaminya Ali bin Abi Talib dan Asma’ binti Abu Bakar.
Wasiat itu diketahui hampir semua sahabat namun tiada sebarang bantahan daripada mereka. Maka, kesemua hujah itu menjelaskan hukum suami memandikan jenazah isterinya adalah harus dan dibolehkan.
Seperti hukum suami memandikan jenazah isterinya, maka hukum sama juga ditetapkan kepada isteri memandikan jenazah suaminya. Menurut Imam Nawawi dalam bukunya al-Majmuk dan ibn Munzir dalam bukunya al-Ishraf: “ adalah tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang isteri untuk memandikan jenazah suaminya.”
Hujah mereka ini dikuatkan dengan wasiat Abu Bakar al-Siddiq yang meminta supaya jenazahnya dimandikan oleh isterinya, Asma’ binti ‘Umays dan wasiat berkenaan telah dilaksanakan oleh Asma’ tanpa mendapat bantahan daripada sahabat yang lain.
TAYAMUM JENAZAH BUKAN MAHRAM
Walaupun hukumnya diharuskan oleh ulama, namun isteri juga perlu memahami keadaan. Jika urusan pemandian membabitkan ramai lelaki bukan muhrim dan pembabitannya menyebabkan aurat terlihat, maka hukum berbuat demikian bertukar menjadi haram.
Tetapi, jika keadaan selamat daripada sebarang fitnah aurat dan sebagainya, maka hukum berbuat demikian kekal harus seperti dibincangkan oleh ulama muktabar sebelum ini.
Manakala hukum lelaki atau perempuan bukan mahram memandikan jenazah berlainan jantina dengan mereka, fuqaha daripada mazhab Hanafi, Maliki, Shafi’e dan Hanbali telah bersepakat dalam pendapat mereka.
Jika seorang perempuan meninggal dunia dan tiada bersamanya suami atau wanita yang boleh memandikannya, maka wajib lelaki yang berada di situ tayamumkan jenazah perempuan itu hingga ke paras lengan di samping tapak tangan mereka berlapik supaya tidak bersentuhan kulit jenazah.
Mereka juga wajib memelihara mata daripada melihat aurat jenazah perempuan berkenaan kecuali keadaan mendesak untuk tujuan itu. Begitulah juga sebaliknya yang berlaku jika seorang lelaki meninggal dunia dan tiada bersamanya isteri atau lelaki yang boleh memandikannya.
Maka wajib wanita yang berada di situ untuk tayamumkan jenazah lelaki itu hingga di samping tapak tangan mereka berlapik supaya tidak bersentuhan dengan kulit jenazah.
No comments:
Post a Comment