Ditulis oleh :
Norfarahah bt che ibrahim
No. siri : 042
Topik
perpaduan ummah merupakan satu topik yang penting dan telah lama diperkatakan.
Namun realitinya, hari ini kita dapati umat Islam merupakan umat yang berpecah
belah. Pelbagai isu telah memisahkan umat Islam antara satu sama lain,
contohnya ajaran sesat yang semakin berleluasa. Ia merupakan satu realiti yang
sangat sedih dan memalukan. Satu jalan penyelesaian yang baik perlu dicari
segera. Topik ini akan membincangkan kedudukan perpaduan ummah mengikut ajaran
Islam.
Perpaduan
ummah merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan oleh Islam. Dalam satu
ayat, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
…
dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah
belah.
(Surah al-‘Imran: 103) |
Ayat
ini jelas sekali memerintahkan umat Islam supaya bersatu padu atas jalan
kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t. dan melarang mereka daripada
berpecah belah dari jalan Allah tersebut. Hal ini bermakna perpaduan dalam
Islam mestilah perpaduan yang ditegakkan di atas kebenaran. Apabila kebenaran
telah ditemui, maka umat Islam seluruhnya mestilah bersatu padu mengikuti dan
mentaati jalan kebenaran tersebut. Mereka tidak boleh sama sekali memisahkan
diri dari jalan kebenaran tersebut kerana ia akan membawa perpecahan sesama
mereka.
Walaupun
Islam mementingkan perpaduan, namun pada masa yang sama Islam menolak perpaduan
yang membawa kepada kejahatan dan keburukan. Hal ini bererti apabila wujudnya
kejahatan dan penyelewengan dalam masyarakat, mereka mestilah bangun
memperbetulkan kejahatan dan penyelewengan tersebut. Umat Islam dilarang
membisu tanpa berbuat apa-apa apabila maksiat berlaku atas alasan memelihara
perpaduan. Ini adalah kerana menegakkan kebenaran dan membasmi maksiat dan
keburukan merupakan tugas yang wajib bagi umat Islam.
Allah
s.w.t. berfirman yang bermaksud:
…
kamu merupakan sebaik-baik ummah yang diutuskan untuk menyerukan kebaikan dan
mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah.
(Surah
al-‘Imran: 110)
|
Hal
ini bererti perpaduan ummah yang dianjurkan oleh Islam ialah perpaduan yang
positif iaitu perpaduan atas melaksanakan kebenaran, bukan perpaduan yang
negatif iaitu perpaduan ke arah kejahatan. Apabila telah wujudnya
perpaduan ummah yang bersifat positif, maka ia adalah haram bagi mana-mana
individu atau kumpulan untuk melakukan apa sahaja yang boleh membawa kepada
perpecahan.
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
Wahai
orang yang beriman jauhilah kamu daripada kebanyakan berburuk sangka, kerana sesungguhnya
sebahagian berburuk sangka itu dosa dan jangan kamu mencari kelemahan orang
lain dan jangan kamu mengumpat antara satu sama lain …
(Surah
al-Hujurat: 12)
|
Ayat
ini menjelaskan kepada kita bahawa mewujudkan perpaduan ummah yang bersifat
positif dan memeliharanya merupakan satu tuntutan agama yang sangat diutamakan
oleh Allah s.w.t.
Walaupun perpaduan ummah merupakan sesuatu
yang sangat dititikberatkan dalam Islam, namun realiti yang kita saksikan hari
ini berbeza sama sekali. Umat Islam seluruh dunia berpecah dan bergaduh antara
satu sama lain. Di Malaysia kini, kita berdepan dengan masalah ajaran sesat
yang membahayakan keselamatan negara. Fahaman yang dimaksudkan ialah fahaman
Syiah dan ajaran Antihadis. Ajaran sesat yang sering kali di bawa masuk ke
Malaysia oleh rakyat asing ini mempunyai ancaman yang bahaya kepada negara
kerana ianya akan memesongkan akidah, syariah dan akhlak Islam dan seterusnya
akan membawa kepada syirik dan murtad. Selain itu, ajaran sesat ini
bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Hadith. Ajaran sesat ini juga menjadi
ancaman kepada masyarakat kerana ia menimbulkan syak wasangka, tidak senang dan
bimbang dalam kalangan masyarakat. Hal ini akan menyebabkan perselisihan faham
dan wujud perasaan benci-membenci hingga menyebabkan pepecahan sesama umat
Islam.
Di Timur Tengah umpamanya, negara-negara
Arab berpecah belah antara satu sama lain. Dengan itu, walaupun bilangan mereka
jauh mengatasi bilangan penduduk negara Israel, namun mereka gagal mengatasi
kekuatan ekonomi, ketenteraan dan sains teknologi negara Israel. Akibatnya,
mereka gagal mengatasi masalah pendudukan haram orang Yahudi di beberapa
wilayah tanah Arab. Lebih menyedihkan lagi, masyarakat Arab Palestine yang
sedang menghadapi peperangan dengan Israel secara langsung juga saling
berbunuhan antara satu sama lain. Sekarang ini kita dapati dua parti politik
yang bertentangan di negara Palestine iaitu Hamas dan Fatah sedang bergaduh
sesama sendiri. Hal ini mengakibat kelemahan kerajaan Palestine bagi menghadapi
serangan diplomasi, ekonomi dan ketenteraan Israel.
Hal
yang sama juga turut berlaku di negara Iraq. Negara tersebut telah jatuh ke
dalam kancah peperangan sivil yang melibatkan semua lapisan dan kumpulan
masyarakat. Kejadian letupan bom dan tembakan curi yang membunuh sesama anggota
masyarakat Iraq berlaku saban hari. Hal ini akan mengakibatkan kekuatan
masyarakat Islam Iraq terus lemah dan pemerintahan negara tersebut akan terus
kekal berada di bawah telunjuk tentera Amerika.
Di
Somalia, walaupun mereka menghadapi masalah ekonomi, kemiskinan dan kebuluran
yang parah, namun masyarakat Islam di negara tersebut lebih gemar berpecah
belah dan membunuh antara satu sama lain. Mereka sepatutnya menumpukan usaha
dan kekuatan untuk mengatasi masalah kemiskinan dan kebuluran dalam kalangan
masyarakat mereka. Namun akibat leka berperang, mereka bukan sahaja tidak mampu
mengatasi masalah tersebut, malah keadaan itu menjadi semakin teruk.
Semuanya
ini berlaku bukan kerana kesalahan ajaran Islam. Sebaliknya, ia berlaku kerana
sikap umat Islam sendiri yang membelakangkan ajaran Islam. Mereka hanya Islam
pada nama sahaja, bukan pada ajarannya.
Melihat
kepada senario perpecahan umat yang berlaku di dunia dewasa ini, maka satu
jalan penyelesaian yang berkesan perlu diusahakan segera supaya umat Islam dan
agama Islam kembali cemerlang dan berada pada kemuncak keagungannya.
Melalui perbincangan di atas, diharapkan
anda telah jelas tentang konsep perpaduan dalam Islam iaitu perpaduan positif,
bukan perpaduan negatif. Apabila telah wujud perpaduan yang positif, maka ianya
menjadi kewajipan semua anggota masyarakat untuk sama-sama memelihara dan
mempertahankannya. Realiti perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan dan
memalukan. Perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat
kritikal. Oleh itu, umat Islam dipandang rendah dan mundur. Sebagai pemimpin
masa depan, anda harus memikirkan perkara ini dengan serius. Masa depan ummah
berada di tangan anda.
No comments:
Post a Comment