Nama : Nurul Iffah Binti Abdul Hamid
No.Matrik : 14021103
No.Siri : 076
Konflik
ketenteraan dan kemanusiaan di wilayah Palestin terutama Gaza berlaku saban
tahun meliputi tempoh hampir tujuh dekad. Malah, Gaza digelar penjara terbesar
dunia. Selain itu, peperangan terbaharu sudah enam bulan berlalu di bumi Gaza,
namun nasib 1.8 juta rakyat Palestin di wilayah konflik itu masih belum
terbela. Pelarian Palestin, majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan AS$1.5
(RM5.60) sehari masih menderita apatah lagi nasib 108,000 yang hilang tempat
tinggal dalam serangan rejim Israel pada Ogos/Julai lalu. Lebih mengejutkan
apabila Agensi Bantuan dan Pekerjaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menyatakan
jumlah warga Palestin yang bergantung dengan agensi PBB itu meningkat daripada
80,000 kepada 800,000. Realiti memeritkan itu dinyatakan Ketua Pesuruhjaya
UNRWA, Pierre Krahenbuhl, dalam mesyuarat dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar
Parlimen Eropah di Brussels, awal bulan ini. "Angka ini mengejutkan dan
membayangkan situasi tragik yang kita semua harus hadapi," katanya merujuk
situasi terkini di wilayah konflik itu.
1)
UNRWA terpaksa henti bantuan kewangan
Peningkatan 10 kali ganda itu tentunya menggusarkan semua
pihak apatah lagi ketika UNRWA, yang juga talian hayat kepada rakyat Palestin
di seluruh dunia, dilaporkan terpaksa menghentikan program bantuan kewangan di
Gaza Januari lalu. Situasi pedih itu menyebabkan pelarian yang terdesak
terbabit dalam rusuhan kecil di gudang simpanan UNRWA di wilayah konflik itu.
Wang bantuan itu sepatutnya digunakan untuk membaiki rumah yang musnah atau
untuk membayar subsidi sewa pelarian terbabit. Penulis yang memasuki Gaza pada
Oktober lalu mendapati ramai warga Palestin terpaksa berhimpit-himpit di
sekolah UNRWA bagi tempat berlindung dan tidak kurang juga menumpang di rumah
sanak-saudara atau menyewa bagi yang mampu.
2)
Sempadan Rafah dikawal ketat
Di Gaza, mangsa serangan rejim zionis masih menderita
apabila keadaan di sempadan Rafah yang dikawal Mesir belum menunjukkan
tanda-tanda positif. Ia dikawal ketat dengan pergerakan terhad kepada kes-kes
khas yang tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan bahagian risikan Mesir. Tentera
Mesir juga dilaporkan giat memusnahkan saki baki terowong bawah tanah yang
sebelum ini menjadi sumber ekonomi Gaza. Jambatan yang merentasi Terusan Suez
juga terus ditutup dan dikawal pihak tentera Mesir bagi berdepan sebarang
ancaman ke atas pemerintahan sedia ada. Penulis difahamkan perintah berkurung
yang dikuat kuasa Mesir hujung Oktober lalu, akibat ancaman militan di wilayah
tengah dan utara Sinai, terus berjalan. Ini bermakna laluan di sempadan Rafah
masih terhad dan warga Palestin yang terus dikepung rejim Israel, bergantung
sepenuhnya kepada belas ihsan negara jirannya di bawah pimpinan Presiden Abdel
Fattah Al-Sisi. Sumber diplomat memaklumkan perintah berkurung semakin ketat
sekalipun pintu sempadan Rafah dibuka selama dua hari pada 9 dan 10 Mac lalu.
Jurucakap pihak berkuasa Palestin di Gaza, Maher Abu Sabha memaklumkan hanya
900 orang dibenarkan menyeberangi sempadan Rafah dengan menaiki 12 bas dalam
tempoh dua hari itu. "Beribu-ribu mahu keluar (dari Gaza) tak dapat
berbuat demikian, manakala puluhan terkandas di Mesir tidak dapat pulang,"
katanya. Jurucakap Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi, memaklumkan tempoh dua
hari itu tentunya tidak mampu menampung bilangan warga Gaza yang ingin keluar
dari wilayah konflik itu atas pelbagai sebab. Pergerakan lancar di sempadan
Rafah amat penting bagi kes-kes kritikal khususnya pesakit yang perlu
mendapatkan rawatan susulan di luar Gaza. Pihak berkuasa Mesir sebelum ini
mengetatkan kawalan di sempadan ekoran ancaman militan susulan kejatuhan
Presiden Mohamed Morsi pada tahun 2013 akibat rampasan tentera. Apa yang pasti,
perkembangan pada 28 Februari lalu menggusarkan ramai pihak mengenai masa depan
Gaza apabila Mahkamah Mesir mengisytiharkan Hamas sebagai 'organisasi
pengganas', menjadikan Mesir negara keempat berbuat demikian selepas Israel,
Amerika Syarikat dan Kanada. Hamas dilihat masih popular di Gaza dan bersedia
menjayakan kerajaan perpaduan dengan Fatah yang menguasai Tebing Barat selepas
suara Palestin semakin diterima masyarakat dunia, khususnya di Eropah.
3)
Pengiktirafan Palestin
Pemerhati politik menyifatkan pengiktirafan Palestin dalam
kalangan negara Eropah memberi tekanan kepada pendudukan Israel di Tebing Barat
dan juga pengepungan ke atas Gaza sejak tahun 2007. Perkembangan ini amat
ditakuti Israel ketika penderitaan di wilayah konflik itu belum berakhir selepas
dunia terus dimomok dengan isu militan Negara Islam (IS) di segenap penjuru.
Sekalipun IS mendominasi dada akhbar dan menjadi tajuk utama berita dunia, isu
pelarian Palestin tidak harus dilupakan sebagai isu kemanusiaan yang memalukan
masyarakat dunia. "Gaza adalah sumber keaiban masyarakat dunia," kata
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon ketika memasuki Gaza pada Oktober lalu.
Konflik di Palestin mungkin dilihat tidak seteruk krisis di Syria yang
menyaksikan 12 juta rakyatnya terjejas, dengan 3.3 juta menjadi pelarian di
negara jiran, namun ia berterusan sejak 67 tahun lalu tanpa penyelesaian
konkrit. Sehingga hari ini, sekalipun masyarakat antarabangsa memberi derma dan
bantuan, pihak yang dapat membawa perubahan di bumi Palestin khususnya negara
kuasa besar dunia juga bersikap hipokrit kerana membenarkan isu dan
permasalahan Palestin berlarutan.
4)
Rejim Zionis bermaharajalela
Hanya dalam isu Palestin nampaknya negara kuasa besar
memekakkan telinga dan menutup mata membiarkan rejim Zionis Israel bermaharajalela.
Mereka tiada masalah mengebom pelampau al-Qaeda atau kumpulan Negara Islam (IS)
dan penyokong militan, tetapi enggan membenarkan rakyat Palestin keluar
daripada penjajahan Yahudi meskipun sudah banyak cadangan dikemukakan negara
Arab untuk menamatkan derita Palestin. Menunjukkan dasar anti-Arab rejim
zionis, menjelang pilihan raya Israel pada 17 Mac, pihak berkuasa Yahudi
menyediakan satu 'app' dalam bahasa Hebrew menunjukkan peta pilihan raya
termasuk di mana seseorang itu patut mengundi. Ada ahli perundangan Yahudi
menganggapnya niat parti pemerintah untuk tidak menggalakkan orang Arab di
Israel mengundi sekalipun ada kenyataan mengatakan app dalam bahasa Arab akan
dikeluarkan selepas ini. Penduduk Palestin nampaknya akan terus ditindas sama
ada mereka di Gaza atau di kawasan di bawah jajahan Yahudi.
No comments:
Post a Comment