Nama Penulis : Aminah Binti Awang@Ghazali
Nombor Matrik : 14021111
Nombor Siri : 064
Keterlibatan
dalam kerjaya yang jelas status pengharamannya masih banyak berlaku di negara
kita. Sebagai contoh, kerjaya sebagai Guest Relations Officer (GRO), pelayan
nafsu berlainan jantina dan yang seumpamanya. Pelbagai alasan dan dalih
diberikan oleh sebahagian mereka untuk mengurangkan rasa berdosa atau lebih
berbahaya, menjustifikasikan tindakan mereka sebagai halal dan harus.
Saya
bersetuju kita tidak boleh terus menghina petugas seperti itu, seolah-olah
tiada langsung peluang untuk memperbaiki kerjaya mereka. Mungkin ada yang
terjebak kerana terperangkap dek sindiket “hitam”, tergopoh-gapah menurut nafsu
muda atau kerana kejahilan. Ada yang terjebak dalam kerjaya haram selaku mangsa
dan bukan sengaja menurut kehendaknya.
Namun
begitu, teguran serta kecaman memang wajar ditujukan kepada pekerja-pekerja
yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit. Kutukan dan kecaman
perlu dibuat terhadap kerjaya kotor itu dan dan bukannya tertumpu sangat kepada
individu, agar timbul kesedaran dan membangkitkan rasa berdosa.
Pada
masa yang sama, ada pula pihak pendakwah lain yang mencuba teknik dan kaedah
yang lembut dan memujuk. Namun kita tidak boleh mengenepikan teknik “kutukan”
dan “kecaman”, kerana ia bersumber daripada nas al-quran dan hadis.
Apa itu GRO dan bidang kerjayanya?
Kerjaya
GRO mempunyai banyak takrif dan bidang tugasan. Ada GRO yang mempunyai tugasan
bertulis yang “neutral” dan bersifat pentadbiran. Namun begitu, tugasan yang
tidak bertulis itulah yang merumitkan, di makna ia kerap melewati kepada
tugasan lain yang sama sekali “tidak sihat”, iaitu melayan kehendak pelanggan
walaupun hingga ke dalam bilik. Tema utama tugasan adalah untuk melayan sasaran
sehingga sasaran perniagaan tercapai.
Suasana
di Malaysia perlu dirujuk sebelum pendirian selanjutnya dibuat. Jika dilihat
daripada laporan-laporan akhbar yang boleh membentuk persepsi rakyat dan
majoriti, kerjaya GRO kerap digambarkan sebagai merujuk kepada kerjaya seorang
pelacur. Sebagai contoh, lihat saja petikan berita di media cetak. Tangkapan
pelayan GRO ini dianggap oleh awam sebagai “pelacur” atau GRO gelaran
lembutnya.
Oleh
sebab itu, menjadi tanggungjawab pendakwah untuk membidas tugasan ini daripada
dilakukan oleh makna-mana wanita ataupun lelaki Islam, walau dalam apa jua
keadaan sekalipun, khususnya di tanah air Malaysia yang menawarkan pelbagai
jenis pekerjaan yang harus.
Pengajaran Penting
Saya
ingin menegaskan secara umum kepada sesiapa sahaja yang cuba mencari alasan dan
justifikasi untuk membenarkan mana-mana umat Islam bertugas sebagai GRO dan
yang sepertinya dengan beberapa fakta penting berikut :
·
Apa sahaja tugasan dan
kerjaya yang haram mesti disebut sebagai “haram”, termasuklah kerjaya seperti
GRO dan pelacur. Menjadi tanggungjawab mereka yang berilmu untuk memberi gesaan
supaya berhenti serta-merta dan bukannya memberikan masa. Jangan sesekali kita
bertindak memberikan apa jua kenyataan yang seolah-olah memberikan keizinan
untuk mereka meneruskan kerjaya tersebut atas alasan darurat.
Jangan sewenang-wenangnya menggelar keadaan itu darurat bagi
mengharuskan yang haram. Perlu diingat kaedah feqah yang menyebut, “Apa yang
diharuskan kerana darurat mesti diikat dengan batasannya.” Darurat juga
perlu menilai timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil. Jika kerosakan
atau mudarat lebih banyak, maka maslahat tertolak.
Oleh sebab itu, apa yang perlu ditegaskan disini ialah gesaan supaya mencari
kerjaya lain dan bertaubat dengan serta merta. Taubat memerlukan kesegeraan
dalam Islam. Imam al-Ghazali mendefinasikan taubat sebagai: “Meninggalkan
maksiat serta-merta, berazam kukuh untuk meninggalkannya pada masa hadapan, dan
berusaha menebus dosa-dosa yang lalu.” (Ihya ‘Ulum al-Din, jil 4, hlm 5)
·
Kerjaya haram GRO dan yang
seumpamanya akan mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan mereka yang
terbabit. Akibatnya akan menjauhkannya daripada kesedaran. Kita tidak
sepatutnya memberikan harapan dan ruang untuk dia meneruskannya. Jadi, tidak
wajar timbul cadangan daripada sesiapa jua untuk membiarkan sehingga dia berasa
bosan dan sedar, atau memberikannya masa untuk terus bergelumang dengan dosa.
·
Nabi s.a.w. mengajar
umatnya agar tidak bertangguh dalam mengerjakan perkara yang baik, khususnya
taubat. Perkara yang haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang lain.
Malah ia mesti dihentikan serta-merta tanpa bertangguh. Tidak boleh beralasan
kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya lalu sewenang-wenangnya
“memberi penangguhan”, sedangkan Allah dan Rasul-Nya tidak pernah memberi
penangguhan dalam hal meninggalkan maksiat.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya taubat di sisi
Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan,
yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima
Allah taubatnya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah
An-Nisa’ 4:17)
Namun, jika setelah kita memberi nasihat, pelaku maksiat dengan
sendirinya ingin mengambil masa sebelum berubah, itu adalah isu lain. Namun
kita tidak boleh memperuntukkan tempoh tangguh tersebut.
·
Tidak boleh diterima
alasan bahawa tidak mampu membuat kerja lain atau pihak berwajib serta pendakwah
belum menyediakan tugasan alternatif untuk kerja sebegitu. Ini kerana Allah
telah memberikan akal dan tubuh badan yang sihat kepada setiap individu untuk
menjadi bijak dan bertanggungjawab penuh menggunakan seluruh anggotanya untuk
belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan kemahiran tersebut untuk
memperoleh pendapatan yang halal, bukan menjual tubuhnya demi nafsu serakah
manusia. Selain itu, kewujudan kerjaya alternatif bukan syarat untuk berhenti
daripada melakukan dosa tersebut, kerana alternatif sebenar wajib difikirkan
dan diusahakan individu terbabit. Tanggungjawab menyediakan alternatif
seterusnya jatuh kepada ketua agama di sesebuah negara.
Imam al-Ghazali menyifatkan orang yang melakukan dosa tanpa bertaubat
dan tanpa berhenti, tetapi ingin rahmat Allah dan dimudahkan kepada pendapatan,
kehidupan yang bersih dan halal, adalah ibarat: “Seseorang yang membelanjakan
semua hartanya dan meninggalkan diri serta keluarganya dalam keadaan fakir,
namun sentiasa menunggu kurniaan daripada Allah untuk memberikannya rezeki,
menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang”.(Ihya’ Ulum al-Din, jil.
4, hlm. 58(
Kesimpulan
Terdapat
pihak yang cemburu atau tertarik dengan jumlah pendapatan lumayan yang Berjaya
dihasilkan melalui kerjaya ini berbanding kerjaya halal yang berpendapatan
rendah. Ingatlah, sekiranya pekerja GRO atau mana-mana petugas dalam industri haram
terus dalam pekerjaan kotornya dan kelihatan mampu menyara hidup dengan baik
hasil duit itu, malah kelihatan lebih mewah dan Berjaya daripada mereka yang
berpendapatan halal, ia sesuai dengan sabda Nabi s.a.w. ini yang bermaksud :
“Apabila kamu melihat Allah memberikan limpah kurnia di dunia kepada hamba-Nya
sedangkan segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya
itu ialah istidraj. Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman Allah dalam surah
al-An’am ayat 44 : “Dan tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada
mereka, Kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang pelbagai, sehingga
apabila mereka bergembira dengan yang diperoleh, Kami akan rampas daripadanya
secara tiba-tiba. Ketika itulah mereka berputus asa.” (Riwayat Ahmad dan
al-Tabarani, perawinya thiqah).
“Istidraj”
yang disebut dalam hadis di atas bermaksud sebarang kurniaan dan ganjaran
keduniaan kepada penjahat dan pelaku dosa dan maksiat adalah untuk
menghumbankannya nanti ke neraka tanpa peluang untuk kembali ke pangkal jalan.
Ini selari dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dalam hati mereka
terdapat penyakit (dosa dan mereka biarkan),lalu Allah menambahkan penyakit
dalam hati mereka.” (Surah al-Baqarah 2 :10)
Oleh
sebab itu, semua orang yang berilmu dibenarkan untuk memaksa pekerja sebegini
berhenti daripada kerjaya GRO, pelacuran dan lain-lain kerjaya yang haram sama
ada melalui nasihat atau kecaman. Jangan sesekali membuka jalan serta
memberikan gambaran wujudnya ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.
Namun bantuan dan kasih sayang memang diperlukan. Antara tanda kasih sayang itu
adalah dengan menasihatkannya agar terus berhenti dan pihak berwajib perlu
menyediakan alternatif dengan segera.
Akhir
sekali, kandungan artikel ini bukan sahaja terpakai untuk masalah pekerja GRO
dan pelacuran sahaja, malah sangat releven kepada semua jenis kerjaya haram
seperti eksekutif produk pinjaman bank secara riba, penjenayah, pembunuh upahan
dan sebagainya.
والله
أعلم.
No comments:
Post a Comment