Sunday, January 29, 2017

ISLAM CARA HIDUP YANG SYUMUL (MENYELURUH)

Ditulis Oleh: WAN NOOR ASILAH BINTI WAN RAZALI
No. Matrik: 14021232
No. Siri: 081
            Islam merupakan agama atau sistem hidup yang syumul atau menyeluruh yang aturan-aturannya berkaitan dengan semua aspek dan bidang kehidupan umat manusia, dari sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecil yang ada dalam kehidupan kita seharian. Bagi seorang muslim, bimbingan Islam ini mencukupi semua keperluannya kerana Islam telah mengatur kehidupan manusia dengan lengkap yang meliputi akidah, ibadat, akhlak, ekonomi, politik, kemasyarakatan, kesihatan, kebudayaan, bahasa, seni, pengetahuan, hubungan antarabangsa, alam sekitar, falsafah, sains, undang-undang dan sebagainya. Dengan datangnya islam, maka lengkap dan sempurnalah petunjuk hidup kita sebagai manusia dan hamba Allah SWT.

            Al-Quran telah menjelaskan semua perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Tiada yang ditinggalkan oleh al-Quran. Ini menunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang lengkap. Maka, kita tidak perlu cari agama lain, kerana tiada agama yang selengkap Islam. Al-Quranlah selengkap-lengkap petunjuk atau manual cara hidup di dunia dan di akhirat. Kesempurnaan Islam ini merangkumi syumuliyah az-zaman (sepanjang masa), syumuliyah al-makaan (semua tempat) dan syumuliyah al-minhaj (mencakupi semuanya).

            Syumuliyah az‑zaman atau sepanjang masa bermaksud bahawa islam sebagai sebuah risalah dibawa oleh nabi penutup iaitu nabi Muhammad SAW itu sebagai satu‑satunya panduan hidup manusia. Islam juga merupakan agama sepanjang masa dari Nabi Adam AS hingga nabi Muhammad SAW dan pengikutnya hingga hari kiamat. Nabi Muhammad SAW sebagai penutup nabi bermaksud tiada lagi nabi selain rasul setelahnya sehingga hanya risalah yang dibawa Nabi Muhammad SAW saja yang diterima dan dibawa serta diikuti. Oleh itu risalahnya adalah risalah yang abadi yang berkekalan hingga ke hari kiamat dan meliputi seluruh alam. Risalah ini membawa hidayah yang terakhir kepada umat manusia. Ini menunjukkan bahawa islam adalah sesuai dengan setiap zaman dan ia tidak berubah walaupun zaman berubah. Justeru, manusia sebagai khalifah hendaklah menjaga, membangun dan memeliharanya.

            Kita dapat melihat dan merasai bahawa islam juga syumul dari segi tempat. Islam sebagai syumuliyah al‑makaan kerana Allah SWT yang menciptakan manusia dan alam adalah satu sahaja. Semua tempat di muka bumi ini adalah tempat yang sesuai dengan islam. Oleh itu, siapa pun orangnya dan dari mana asalnya tetap di bawah naungan Islam. Semuanya itu adalah ciptaan Allah SWT yang satu. Sebagai contoh, al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab di bumi Makkah dan Madinah bukanlah semata-mata untuk orang arab yang berada di Makkah sahaja. Namun apa yang diterangkan mengenai “penduduk di sekelilingnya” adalah merujuk kepada orang-orang yang berada di luar dari bumi Makkah, misalnya di benua Asia, Eropah dan lain-lain. Ia menunjukkan bahawa islam ini tidak sempadan dan tidak dibatasi oleh faktor bentuk muka bumi dan sempadan sesebuah negara atau tempat. Justeru, islam boleh diamalkan dan dilaksanakan di mana sahaja.

            Selain itu, sempurnanya islam adalah melalui akidah yang merupakan asas di dalam islam. Akidah adalah iman kepada Allah SWT, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, qada’ dan qadar (baik buruknya) dari Allah SWT. Makna iman adalah pembenaran secara pasti (tashdiq al-jazim) sesuai dengan kenyataan berdasarkan dalil. Jika pembenaran saja tanpa disertai dalil tidak digolongkan iman. Jika tidak disertai dalil maka tidak ada kepastian. Ini merupakan  dasar dari bangunan Islam. Tanpa akidah maka tidak akan kuat seperti rumah yang tidak ada tiangnya. Namun, jika semakin kukuh tiangnya maka semakin kuat bangunan di atasnya. Begitu juga dengan islam yang sangat dipengaruhi oleh kekuatan tiangnya.

            Islam yang sempurna juga merangkumi ibadat yang terdiri daripada solat, zakat, puasa dan haji. Ibadat dalam Islam turut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza sama sekali daripada konsep ibadat di dalam agama dan kepercayaan yang lain. Antara ciri-ciri tersebut ialah tidak ada sebarang perantaraan di antara Allah SWT dan manusia, dan ibadat dalam Islam tidak terikat dengan sesuatu tempat atau masa yang tertentu. Peningkatan ibadat itu pula berbeza dan mempunyai pelbagai bentuk sesuai dengan perangai, kecenderungan dan minat manusia itu sendiri. Ibadat turut merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Setiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat, inilah kombinasi yang indah di dalam islam yang tidak terdapat di dalam agama-agama lain. Semua aktiviti manusia sehingga makan dan minum pun boleh menjadi ibadat jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga bagi melaksanakan dan memperjuangkan agama islam.

            Seterusnya, islam juga syumul dari segi akhlak iaitu tata pergaulan antara manusia dengan Allah SWT, sesama manusia, lingkungan dan juga dirinya sendiri. Maksud hubungan manusia dengan Allah SWT adalah hubungan yang bersifat penghambaan. Allah SWT sebagai rab, khalik, dan ilah, dan manusia sebagai makhluk yang berkewajiban selalu mentaati-Nya. Kesyumulan Islam dari aspek insan (manusia) sendiri ini sangat jelas. Islam tidak pernah membezakan manusia mengikut darjat seseorang, jantina, bangsa, etnik, warna kulit, harta, pengaruh dan sebagainya. Malah, islam amat menggalakkan kita saling berta’ruf (kenal-mengenali), bermasyarakat dan bergaul antara satu sama lain dalam batasan syariat Islam yang ditetapkan. Tujuan kita saling kenal-mengenali antara satu sama lain tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana Allah SWT dan mendapatkan keredhaan-Nya. Apabila kita saling kenal-mengenal kita diperintahkan agar memelihara hubungan tersebut sesama kita dengan berpegang teguh pada islam sebagai pegangan iman dan cara hidup yang dapat menyelamatkan kita dari api neraka.


            Manakala, syariah islamiyyah pula ialah hukum-hukum yang disyara’kan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya, samada yang berkaitan dengan akidah, ibadat, akhlak, muamalat, dan sistem-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Syariat Islam menjadi rahmat untuk sekalian alam, menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan merupakan peraturan untuk manusia sejagat pada semua masa dan tempat. Ia bukan perundangan untuk manusia, negara, bangsa dan kabilah tertentu sahaja, bahkan ia untuk manusia di mana jua mereka berada. Justeru, syariat Islam juga merupakan suatu sistem yang syumul mencakupi semua urusan hidup yang menggariskan manusia jalan iman, menerangkan dasar-dasar akidah, menyusun hubungan manusia dengan Tuhan-Nya, mengatur hubungan manusia sesama manusia serta hubungan manusia dengan alam sekitarnya.
Aturan-aturan Islam yang syumul ini boleh kita perolehi dalam semua perbuatan dan keperluan hidup manusia dalam semua lapangan. Kerana itu, untuk memahami kebenaran dan kesempurnaan islam ini, setiap muslim harus selalu memperbaharui pengetahuan dan pemahamannya. Tidak ada hari tanpa ta'lim (belajar) sehingga kita akan memiliki pengetahuan dan keyakinan yang mantap. Untuk menjaga bangunan islam agar hiasan islam tetap terpelihara baik, tiang tetap kuat dan kukuh serta dapat dimanfaatkan secara optimal maka perlu penjagaan dan sokongan. Sokongan ini adalah dalam bentuk dakwah dan jihad. Tanpa dakwah dan jihad maka bangunan islam akan runtuh dan pasti akan melenyapkan islam.
Hakikatnya, seluruh kehidupan kita sebagai seorang muslim merupakan satu ibadat yang mana ia bermula daripada kita hidup sehingga kita kembali mengadap Allah SWT Bermula sejak kita baru lahir, disunatkan azan dan iqamat ditelinga, disusui sehingga bayi berumur dua tahun, diajar pula tentang iman, akidah, soal masyarakat dan negara malah sekecil-kecil perkara seperti adab ke tandas dan adab memasuki rumah juga telah diajar oleh islam. Seluruh aspek kehidupan kita jika dilihat dari sudut yang luas kita mengetahui bahawa Islam bukan sekadar meliputi kehidupan manusia bermula dari bangun tidur dan tidur semula malah ia merangkumi seluruh kehidupan kita bermulanya kita berada dalam kandungan perut ibu, menjadi bayi seterusnya sehingga kita mengadap Ilahi. Jelaslah di sini, islam adalah satu sistem cara hidup yang mampu memberi kesejahteraan kepada semua dengan syarat bahawa segala hubungan sesama manusia dan perbuatan kita didasari oleh keimanan dan ketaqwaan dengan berlandaskan al-Quran.



            Dapat kita simpulkan bahawa, Islam merupakan satu sistem cara hidup yang terbaik yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Tidak mungkin apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW ini merupakan satu perkara yang sia-sia dan tidak mempunyai makna sedangkan baginda telah memerah keringat dan peluhnya untuk ummah yang dicintai. Baginda telah melakukannya hanya kerana Allah SWT dan demi kesejahteraan seluruh alam kerana islam adalah satu sistem cara hidup yang sempurna. Dapat kita ketahui di sini bahawa kesyumulan Islam terdiri dari pelbagai aspek ini dapat membawa kepada kesejahteraan hidup. Allah SWT menyuruh manusia untuk masuk dan memeluk Islam secara keseluruhan, tidak setengah‑setengah. Menerima sebahagian dan menolak sebahagian bererti mengingkari islam dan dapat mengganggu statusnya sebagai muslim. Syaitan senantiasa menggoda dan mempengaruhi manusia untuk mengikuti langkah dan strateginya sehingga manusia menjauhkan diri dari kesyumulan islam atau melaksanakan sebahagian-sebahagian sahaja. Dengan perintah ini menunjukkan bahawa islam adalah sempurna dan kita mesti mengambilnya secara keseluruhan. Oleh itu, menjadi kewajipan kita sebagai orang yang beriman untuk mengaplikasikan keseluruhan hidup di bawah naungan islam dan bukan hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya. 

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *