Tuesday, January 17, 2017

REMAJA DAN KRISIS IDENTITI

Ditulis oleh: Tuan Nor Azwani Binti Tuan Alias | 14021213 | 027

Isu identiti sering berbangkit apabila kita menilai arah tuju sesuatu kelompok dalam kehidupan. Generasi muda sering dikaitkan dengan identiti kerana mereka sedang dalam proses belajar dan mencari makna hidup dan kehidupan.

Apabila pengaruh budaya dan pemikiran datang dari sumber lain dan telah mempengaruhi kehidupan remaja, remaja dikaitkan dengan masalah krisis identiti.
Identiti dikaitkan dengan asas-asas yang fitrah yang sedia ada bagi sesuatu bangsa itu. Ia merujuk tentang budaya gaya hidup, pemikiran dan sistem nilai.

Remaja Melayu lazimnya dikaitkan dengan budaya Melayu yang berasaskan Islam dan membawa cara gaya hidup Melayu dan Islam. Tetapi apabila amalan remaja Melayu terdedah dengan pengaruh budaya Barat yang merangsang remaja lepas bebas dan cenderung kepada berpoya-poya, maka remaja dikatakan menghadapai krisis identiti.

Identiti ini adalah asas pengenalan sesuatu bangsa atau umat yang mendukung sesuatu aliran, kepercayaan, budaya dan tamadun sehingga persepsi yang lahir amat terhubung antara satu dengan lain.
Persepsi terhadap orang Melayu terhubung dengan budaya Melayu yang bersendikan Islam dengan cara dan gaya hidup yang bersendikan syarak.
Identiti ini tidak sifatnya tertutup daripada faktor positif daripada budaya, tradisi tamadun lain. Dalam bidang ilmu pengetahuan, Barat banyak menyumbang terhadap sains dan teknologi di zaman moden ini seperti mana zaman kekuatan Islam dahulu yang amat menyumbang kepada kebangkitan Eropah.
Pemahaman terhadap silang budaya ini sekiranya berlaku dengan baik, ia akan mengukuhkan lagi budaya yang sedia ada.
Yang menjadi isu terhadap remaja hari ini adalah kecenderungan mereka mengutip perkara-perkara popular yang datang dari Barat yg bersifat nafsu nafsi dan itu dijadikan contoh gaya hidup.
Ini yang menimbulkan masalah identiti yang apabila mereka ini tidak lagi dikenali sebagai remaja Melayu yang mengamalkan kesopanan dan kesantunan Islam. Maka mereka ini dikatakan sedang berdepan krisis identiti.
Amat penting bagi krisis ini diatasi supaya jangka panjangnya remaja Islam tidak hilang keislamannya. Ia memerlukan binaan dari sudut kefahaman Islam itu sendiri, kefahaman terhadap budaya islam serta pendalaman terhadap ilmu-ilmu Islam.

Jika ini berlaku remaja akhirnya akan kekal dengan jati diri Islam walaupun berada dalam situasi yang tidak Islami. Seorang remaja yang mempunyai identiti diri yang teguh adalah ibarat seekor ikan yang berenang di lautan masin tetapi dagingnya tetap tawar.

Remaja yang memiliki identiti yang teguh dan jelas bukan bermakna tidak harus bersifat terbuka dalam mengambil manfaat berbanding dan tradisi positif daripada tamadun lain.

Proses meminjam sesuatu yang baik adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Al-Quran memberikan asas mengenai ilman nafia iaitu ilmu yang bermanfaat. Ini boleh ditemui dalam mana-mana tradisi kehidupan manusia.
Inline image 1
Mendidik anak-anak tentang solat sejak kecil adalah antara usaha membentuk jati diri. - Gambar hiasan

Rasulullah SAW memanfaatkan kemahiran bermanfaat membaca dan menulis tawanan perang Badar untuk diajar kepada anak-anak Islam bagi faedah membaca dan menulis.
Al-Biruni menjelajah ke India dan mempelajari bahasa Hindi untuk menguasai ilmu-ilmu sains, matematik, fizik dan astronomi. Ilmu itu kemudian diolah dalam tasawwur Islam dan menjadikan ilmu itu bermanfaat dengan ajaran Islam.
Rasulullah SAW menganjurkan mempelajari ilmu walau ke negeri China. Kita lihat pada hari ini, bangsa China lebih maju daripada umat Islam. Oleh itu, mempelajari sesuatu yang baik dan bermanfaat bakal menyerlahkan kekuatan dan identiti orang Islam.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *