Ditulis Oleh:
NUR FARHANA BINTI AHMAD
No Siri: 096
No
Matrik:14021268
Kehidupan
di dunia merupakan satu daripada fasa kehidupan yang perlu dilalui oleh setiap
insan. Dunia merupakan jambatan untuk menuju ke alam lain yang lebih kekal
abadi, iaitu alam akhirat setelah semua manusia dibangkitkan semula selepas
melalui proses kematian. Oleh itu, setiap insan harus sedar bahawa mereka perlu
memanfaatkan kehidupan di dunia ini dengan melaksanakan pelbagai kebaikan serta
menjauhkan diri daripada sebarang bentuk kemungkaran.Ujian Dari Allah Buat
Hambanya | Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia juga terus berjalan
pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Di celah-celah hari
berwarna-warni yang di jalani dan ditelusuri, tanpa disedari
atau tidak, manusia sebenarnya telahpun menempuh pelbagai ujian dan
dugaan duniawi. Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih
berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah
berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.
“ Allah tidak
membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala
kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
ALLAH telah
menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan sekali-kali
menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. ALLAH mengetahui kita kuat
dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu ALLAH memberikan ujian
itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya
ALLAH kepada kita sebagai hambaNya. ALLAH menguji seseorang bukan kerana ALLAH
benci kepada kita tetapi percayalah ALLAH menguji kita kerana DIA sangat
kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan
bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Hakikatnya saat
ini, saat kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang
sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan
manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang
tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini
dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.
“ Kenapa aku
yang diuji ? “
“ Mengapa aku
diuji sebegini ?”
“ Ujian ini
sangat berat. Aku tak mampu…”
Mungkin
ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau berlegar di
fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan secebis ujian.
Kadangkala tanpa sedar dan niat kita juga terlanjur marah
pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.Tetapi, apabila kita
menenangkan diri dan bermuhasabah kembali, tenyata sebenarnya dengan
ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung . Mengapa saya katakan
begitu? Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang
terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya. Dan jangan kita lupa
bersama ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan
di dalam Al-Quran:
Sebagai
manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah ujian itu akan
muncul tiba. Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kudrat kita
sebagai seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak ujian-ujian
yang bakal menyapa itu.Jika direnungkan kembali, kita semua pastinya
pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba,
mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya
sebagai hadiah pemberian Allah?
Allah
Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang
dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang
hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya
adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah bertujuan untuk menilai sejauh mana
keimanan kita terhadapNya sepertimana yang dijelaskannya di dalam Al-Quran:
Patutkah
manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami
beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)
Justeru,
marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk
yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita diuji. Inilah saatnya
bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca, merubah fikiran kita dan mula
memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui sebagai sebuah ‘ hadiah’
dari Allah dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari
hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala
ujian yang diberi.
No comments:
Post a Comment