Nama : Shahidan Adili Marzuki
No siri : 088
No matrik : 14021105
Masyarakat Malaysia hari ini cukup terganggu secara
fizikal, mental, emosi dan spiritual dengan pelbagai kegiatan jenayah yang
berlaku hampir setiap hari. Kebanyakannya memfokuskan kepada remaja dan masalah
sosial itu tiada hentinya untuk dibicarakan. Remaja mengandung luar nikah
semakin mengancam keharmonian masyarakat, semakin banyak ditegur, dipapar dan
disiarkan gambar-gambar bayi yang dibuang macam sampah oleh pelaku tidak
bermoral itu, semakin bertambah pula bilangan bayi-bayi yang dibuang.
Mengapa anak-anak remaja kita semakin runtuh akhlaknya dan hilang sikap
malu dan adab sopan sebagai manusia? Tiada siapa mampu memberi jawapannya kerana
yang pasti akhlak remaja semakin rosak dan liar. Apabila kita renung kembali
dengan ikhlas sebagai ahli masyarakat, ibu bapa dan juga pemimpin, mengapa
masalah sosial ini terus berlaku? Ini kerana kita terlupa atau buat-buat lupa
tentang punca akar umbi masalah sosial tersebut. Berikut sedikit sebanyak punca
masalah sosial remaja kita.
Antara punca-puncanya ialah kendiri. Remaja hari ini kurang mampu dan
mapan mengurus diri sendiri kerana semua keperluan diri disediakan oleh ibu
bapa yang tidak mahu anak-anak merasa susah dalam kehidupan mereka. Kesan
daripada sikap ibu bapa yang memanjakan anak-anak dengan material dan perhatian
berlebih-lebihan itu menjadikan anak-anak kurang berdikari dan tidak mahu susah
dalam kehidupan mereka. Akibatnya anak-anak remaja sukar mengendalikan emosi
semasa berhadapan dengan masalah hidup dan tekanan daripada rakan-rakan.
Kebanyakan remaja tidak tahu mengendalikan emosi marah, bahagia, derita atau
cinta yang melingkari kehidupan seharian mereka. Jika mereka berhadapan dengan
tekanan dan pujukan rakan-rakan yang mengajak melakukan jenayah atau kehidupan
sosial negatif yang lain seperti minum arak, dadah, seks bebas dan sebagainya,
mereka tidak mampu menepis dan menolak pujukan tersebut kerana tidak mempunyai
jati diri yang kukuh.
Yang kedua ialah keluarga .Nilai murni kekeluargaan hari ini juga sudah
banyak punah dek kerana ibu bapa sibuk bekerja mencari rezeki dan tidak
menumpukan perhatian terhadap kualiti kehidupan berkeluarga dan anak-anak.
Walaupun usaha murni ibu bapa adalah untuk memberi kesenangan kepada anak-anak
dan keluarga, namun pembentukan sahsiah diri anak-anak perlu diberi perhatian.
Jika ibu bapa sibuk bekerja, anak-anak yang ditinggalkan di rumah tanpa
pengawasan tidak bimbang untuk melakukan jenayah dan kegiatan tidak sihat di
rumah sendiri atau di kawasan persekitaran rumah seperti menagih dadah,
menonton video lucah dan mencuri sebagainya. Masalah yang berlaku dalam rumah
juga memberi kesan kepada jiwa anak-anak seperti ibu bapa yang bercakaran di
hadapan mereka. Anak-anak akan merasakan diri kurang kasih sayang dan
pembesaran yang tidak sihat itu akan membentuk kerapuhan diri dan jiwa
anak-anak akan mudah terdedah dengan tarikan sosial negatif di luar.
Seterusnya ialah dari segi kewangan. Banyak jenayah dan masalah sosial
yang dilakukan remaja hari ini disebabkan oleh soal kewangan kerana keinginan
anak-anak muda hari ini semakin meningkat untuk menggunakan barangan mewah bagi
menunjukkan status diri mereka di kalangan rakan-rakan sebaya. Tidak semua
anak-anak remaja ini lahir dari keluarga berada dan mampu menikmati kemewahan
hidup. Bagi remaja dari keluarga susah, mereka mudah terikut-ikut rakan-rakan
yang mewah tetapi soalnya bagaimana mereka mendapatkan sumber kewangan
tersebut. Sudah tentu dengan melakukan jenayah dan kegiatan tidak bermoral
seperti mencuri, merempit, melacur, mengedar dadah dan menyimpan barangan curi
untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kehendak hidup mereka yang
mewah.
Rakan-rakan juga merupakan punca utama masalah social remaja kita. Faktor
ini telah diketahui ramai sebagai punca utama remaja hari ini terjebak dalam
masalah sosial yang negatif. Pengaruh rakan sebaya umpama tarikan magnet yang
menjadikan remaja lebih gemar melepak dan mengikut rentak dan gaya hidup
mereka. Jika rakan-rakan itu buruk perangai dan aktif dalam kegiatan jenayah
dan masalah sosial, maka mereka akan mengikutnya kerana remaja hari ini lemah
jati diri dan tiada tujuan hidup.
Akhir sekali ialah keagamaan. Iman dan
amal yang lemah terhadap agama menjadikan remaja hari ini tidak mampu berfikir
mengenai perbuatan buruk yang mereka lakukan. Pegangan agama yang longgar dan
tiada tunjuk ajar yang baik daripada ibu bapa menjadi punca masalah sosial ini
berterusan. Dengan itu, ibu bapa, ahli masyarakat, guru dan pemimpin perlu
berusaha membantu anak-anak remaja hari ini daripada terus menerus melakukan
kegiatan yang tidak bermoral.
No comments:
Post a Comment