Nama : Shahidan Adili Marzuki
No siri : 088
No matrik : 14021105
Sejak akhir-akhir ini, negara
digemparkan dengan beberapa berita yang amat memeranjatkan semua pihak iaitu
isu pembuangan bayi. Gejala ini amat devian kerana ia merupakan satu tindakan
yang tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita.
Ada antara bayi yang ditemui yang masih hidup dan ada yang sudah meninggal
dunia dan hampir semua yang ditemui berada dalam keadaan yang amat menyedihkan.
Seperti tiada kesedaran diri, bayi yang tidak berdosa terus menjadi mangsa
keadaan. Tidak kira apa pun status bayi tersebut, isu ini perlu dibendung.
Pembuangan bayi adalah satu jenayah walaupun terjadi akibat kehamilan tidak
diingini. Ramai remaja yang mengandung luar nikah terpaksa membuang bayi mereka
kerana terdesak, malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung.
Isu ini telah lama diketengahkan oleh banyak pihak. Ada yang menangis
mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak
merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa. Padahal
ianya adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan
daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan.
Inilah yang telah berlaku pada masyarakat kita pada masakini. Maksiat
dan aktiviti seksual yang bebas berlaku dimana-mana. Anak-anak remaja kini
terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala.
Malah ada diantara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di
IPT-IPT yang memberikan pendidikan yang baik. Semua yang dilakukan hanya untuk
memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya
mendatangkan dosa. Dari perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir
bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan
diri sendiri. Hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan
majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam
keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih
hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam
seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi
malang ini ditemui.
Oleh itu,terdapat beberapa punca berlakunya gejala ini iaitu punca utama
yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam
masyarakat kita. Tetapi ibu bapa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus
dalam hal ini. Ini kerana ada diantara ibu bapa yang memberi didikan agama yang
sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat dewasa dan anak-anak
membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa akan dilupakan sedikit
demi sedikit. Maka anak-anak mula bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa Ibu
bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab
mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian
mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak
yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih
cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak
ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga
mengandungkan anak luar nikah.
Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan
jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang
bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk
menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah
bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca utama berlakunya
masalah pembuangan bayi di negara kita.
Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan
lelaki yang tidak bertanggungjawab. Masalah
sosial merupakan salah satu daripada penyumbang berlakunya kes buang
anak ini. Antaranya, pergaulan bebas tanpa had terutamanya di antara lelaki dan
wanita. Selain itu, terikut dengan budaya barat yang yang mengamalkan seks itu
adalah sebahagian daripada proses percintaan. Golongan ini juga percaya
alat-alat terkini seperti kondom dan pil boleh mengelakkan daripada mengandung
jika melakukan hubungan seks," katanya.Sewaktu bercinta semuanya indah
belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan
kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk
rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka.
Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami
isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka
berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri
daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau
menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak
luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan
ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain
menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah, “ditelan mati emak, diluah
mati bapa”.
Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita
disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di
bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya
berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul
bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan
separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan
remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi
mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di
pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada
dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah
mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, “sudah
terhantuk baru nak terngadah”. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak
berguna kerana “nasi sudah menjadi bubur”. Akibatnya, mereka mengambil
keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan.
Apakah kita ini ingin digelar
masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang
terjadi di zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Kanak-kanak terutamanya
perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan hanya untuk
mempertahankan maruah keluarga.
Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak
juga dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan dibuang merata-rata demi
untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya. Kes pembuangan
bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha kerajaan untuk
membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada
sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan,
namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi
sehingga tidak dapat di bendung lagi
Islam dan agama utama di Malaysia yang lain sangat mengharamkan dan
menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh
dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang
telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh
mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan
Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa
yang besar".
Mungkin juga ianya berpunca dari kemajuan teknologi dan media cetak dan
elektronik pada zaman sekarang yang banyak memberi pendedahan seks dan bahan
yang tidak berfaedah kepada remaja. Penayangan filem berunsur seks oleh media
elektronik, penyebaran VCD dan gambar lucah didalam internet juga menjadi punca
yang turut mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada
lahirnya anak luar nikah disamping berleluasanya program-program hiburan yang
melampau dalam masyarakat. Namun semuanya datang dari diri remaja itu sendiri
samada mereka ingin memilih jalan yang betul atau tidak. Ini kerana diri
sendiri sahaja yang mampu megubah segalanya.
Secara kesimpulannya , gejala pembuangan bayi merupakan masalah yang
memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding
bahu membenteras masalah ini sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, “ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan
pelbagai program yang bermanfaat untuk golongan remaja agar masa lapang mereka
terisi dengan aktiviti yang bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian
mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional.
Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam.
Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah
dipasak teguh dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar
mereka tidak hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat
kita untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang
akan menjadi realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui
masyarakat kita.
No comments:
Post a Comment