Ditulis oleh : Nur Farah Idayu Binti Hassan
No Siri : 028 | Matrik : 14021215
Video merupakan salah satu media elektronik yang canggih pada masa kini. Penggunaannya kini meluas di segenap lapisan masyarakat. Sememangnya penggunaan video mempunyai faedah kepada kita tetapi jika penggunaannya tidak dibataskan, pastinya lebih banyak mendatangkan kesan yang negatif terutamanya para pelajar. Menonton video sememangnya mengasyikkan, apatah lagi jika pita yang ditayangkan memenuhi selera dan minat seseorang. Ini akan menarik minat pelajar untuk menontonnya berulang kali. Secara tidak langsung, pelajar akan menghabiskan masa tanpa melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah, terutamanya yang berkaitan dengan pelajaran.
Pembaziran wang juga akan berlaku. Pelajar akan sanggup menghabiskan wang tabungan mereka semata-mata untuk membeli pita video yang terbaru. Ada sesetengah daripada mereka yang sanggup “mengikat perut” bagi mengumpul wang untuk membeli atau menyewa pita video. Jika dihitungkan, antara membeli pita video dengan buku bacaan, adalah lebih baik jika mereka membeli buku yang pastinya dapat memberi manfaat kepada mereka. Sekiranya pelajar menghabiskan masa dengan menonton video, maka masa mereka mengulang kaji pelajaran akan terabai. Akhirnya pelajar akan mengalami kemerosotan dalam pembelajaran mereka. Akhiran daripada keasyikan menonton video, mereka akan leka untuk membuat kerja rumah. Dengan ini mereka tidak akan teragak-agak untuk ponteng persekolahan kerana takut dimarahi oleh guru.
Alam remaja merupakan alam baru bagi pelajar. Pada masa ini, mereka mempunyai keinginan yang ketara untuk memcuba sesuatu yang baru. Melalui tontonan video, pelajar akan cuba meniru aksi-aksi yang ditayangkan. Ini akan mendorong mereka bertindak ganas dan akan mempengaruhi jiwa pelajar berdasarkan apa yang ditonton. Pelajar akan hilang rasa hormat terhadap ibu bapa dan guru serta tidak segan silu melakukan perkara sumbang di khalayak ramai.
Menonton video juga akan menyebabkan pelajar ghairah dengan alam khayalan dan fantasi. Oleh hal yang demikian, pelajar tidak akan memikirkan masa depan mereka yang masih jauh. Natijahnya, ramai pelajar terjebak ke lembah maksiat seperti menagih dadah,berjudi, berpelesiran dan sebagainya. Dengan itu, penyalahgunaan video, banyak memberi kesan buruk kepada para pelajar. Oleh itu, masyarakat perlu prihatin tentang ha lini. Kerajaan pula harus menghad dan menapis kembali kemasukan pita-pita video barat ke negara kita. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mengawasi kegiatan anak-anak mereka. Ingat! Pelajar merupakan generasi yanag akan memegang tonggak pentadbiran negara. Keadaan remaja masa kini akan mencorakkan nasib negara pada masa depan.
No comments:
Post a Comment