Ditulis oleh: Nur Farah Idayu Binti Hassan | 14021215 | 028
Tuan Nor Azwani Binti Tuan Alias | 14021213 | 027
Nor Husna Binti Mohd Ramli | 14021216 | 029
Nurul Amirah Binti Mohamad Ali | 14021251 | 030
Nur Farhana Binti Ahmad | 14021268 | 096
Ulul Albab adalah masjid kayu cengal yang terletak di Seberang Jerteh,Terengganu. Senibina ini menjurus kepada senibina melayu berciri Islam. Masjid ini boleh menampung 1500 jemaah pada satu-satu masa. Kos pembinaan masjid ini sebanyak RM12.3 juta di atas tapak seluas 2 hektar bagi menggantikan masjid lama yang uzur dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
Masjid ini hasil rekaan Wan Musatafa Wan Su dari syarikat Khazanah Seni Warisan. Beliau seorang pengukir ternama yang merupakan anak jati Besut dan diangkat sebagai Adiguru Ukiran Kayu Malaysia dipertanggungjawabkan memberi sentuhan kepada wajah masjid ia lengkap dengan dewan solat,pusat sumber,kolah besar,dan landskap untuk kawasan rekreasi untuk orang ramai yang berkunjung untuk mengerjakan ibadat disitu. Arkitek Ar.Ahmad Hilmy Abdullah ia menyifatkan permulaan kepada usaha menyuburkan senibina melayu Islam. Banyak motif songket Terengganu digunakan dalam senibina masjid ini.
Tiang dan lantai masjid tiga tingkat ini menggunakan simen dan bersalut kayu. Masjid ini mengambil contoh senibina masjid Kampung Laut Tumpat iaitu masjid tertua di Malaysia yang dikatakan berusia lebih 250 tahun. Hampir 90% masjid ini menggunakan kayu cengal disamping nyatuh dan bala bagi melapisi konkrit menggunakan kaedah tebuk pasak.
MIMBAR
Mimbar masjid sangat terkenal dengan kaligrafi yang indah. Penggunaan mimbar masjid tidak hanya digunakan untuk berkhutbah namun juga digunakan untuk acara-acara tertentu seperti pengajian dan lain-lain. Mimbar juga akan menambah keindahan sesebuah masjid. Mimbar masjid Ulul Albab bercorak tenunan songket Terengganu yang menjadi lambang kebanggaan rakyat negeri itu.
Tiang dan lantai masjid Ulul Albab tiga tingkat ini menggunakan simen dan bersalut kayu, lantainya ditinggikan dari paras tanah untuk mengelakkan air dan binatang daripada memasuki masjid.
TANGGA DAN TEMPAYAN
Masjid Ulul Albab mempunyai enam tangga utama. Enam kepala tangga masjid berkenaan dilakarkan ukiran abstrak yang mengambarkan ombak dan penyu yang membawa simbol perjalanan berona yang belum terhenti dan masih jauh. Biarpun reka bentuk tradisional mengikut acuan moden, namun ia masih boleh dianggap sebagai maha karya sezaman yang sewajarnya menjadi kemegahan bagi mereka yang mencintai resam dan budaya melayu.
Tempayan dan gayung pula diletakkan di anak tangga masjid Ulul albab untuk bilasan kaki yang mungkin mengingatkan agar langkahan untuk ke ruang sujud perlu bermula dengan jasad dan jiwa yang bersih.
BUMBUNG ATAU ATAP
Bumbung masjid Ulul Albab berbentuk atap tumpang, bertingkat tiga yang meruncing ke atas untuk melancarkan pengaliran air hujan agar tidak mudah mereputkan bahan kayu. Di antara tingkat-tingkat masjid Ulul Albab terdapat ruang berbentuk jendela untuk pengaliran udara dan cahaya untuk menyaman dan memberikan keselesaan, manakala dinding, dan jendela menepati fungsinya.
Di sekeliling bumbung masjid Ulul Albab ini juga dikenali sebagai andam-andam dipasang dengan kaligrafi kayu. Ia memancarkan ketinggian senibina dan seni pertukangan melayu silam yang sekian lama seolah-olah dilupakan oleh penguasa atau perancang apabila setiap masjid ini didirikan.
PINTU UTAMA DAN DEWAN
Keseluruhan bangunan masjid Ulul Albab dilapisi dinding janda berhias manakala 12 pintu utama ruang solat dihiasi corak awan larat. Terdapat ukiran ayat suci al-Quran dan doa di pintu utama masjid tersebut iaitu doa keluar dan masuk masjid. Menurut arkitek yang mereka Masjid Ulul Albab, beliau berasa gembira kerana membenarkan masjid sebegini muncul, apatah lagi ia bersesuaian dengan keadaan setempat kerana di sini masih merupakan lubuk para pengukir dan tukang Melayu yang terus mewarisi kemahiran dan kecintaan. Beliau juga menyifatkan ia permulaan kepada menyuburkan senibina Islam.
Masjid Ulul Albab ini mempunyai tiga tingkat, tingkat bawah masjid dijadikan dewan manakala tingkat kedua adalah ruang solat serta tingkat ketiga berfungsi sebagai perpustakaan. Turut dibangunkan dua tempat berwuduk dan tandas untuk kemudahan jemaah atau orang yang berkunjung di masjid tersebut.
Masjid ni dah boleh disedekah kan secara online sekarang ni. Ini link untuk masjid tu: https://masjidululalbab.sujood.net/
ReplyDelete