Wednesday, January 18, 2017

Berbuatlah Baik kepada jiran mu

NAMA : FATIMAH BT ABDULLAH
NO MATRIK : 14021114
NO SIRI : 040


KONSEP JIRAN DALAM ISLAM
Jiran dalam Islam ialah mereka yang tinggal berhampiran dengan kita, iaitu empat puluh buah rumah dari segenap penjuru , sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zuhri.Mereka terdiri dari keluarga terdekat atau kenalan yang seagama dan sebangsa atau termasuk juga dari bangsa lain serta berlainan agama.Namun mereka diketegorikan sebagai jiran kerana berada dalam ruang lingkup empat puluh buah rumah,sama ada di sebelah depan rumah kita ,dbelakang,di kiri atau di kanan.

    Islam menjadikan setiap jiran itu ada hak dan kewajiban yang patut ditunaikan oleh setiap anggota yang berada dalam ruang lingkup kejiranan ini.Islam mengklasifikan jiran kepada tiga keadaan : jiran yang ada tiga hak , jiran dua hak dan jiran satu hak.Jiran tiga hak ialah jiran Muslim yang ada hubungan silaturrahim dengan kita.Baginya hak keluarga , hak Muslim dan hak jiran.
    Jiran yang memiliki dua hak ialah jiran Muslim yang tiada pertalian keluarga, maka baginya hak muslim dan hak jiran.Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang bukan Muslim , maka baginya hak jiran. Islam amat mengambil berat terhadap hubungan kemasyarakatan yang harmoni , saling menghormati,saling bekerjasama, saling membantu dalam perkara kebaikan dan kebajikan.Sebaliknya juga saling bekerjasama dalam mencegah kemungkaran dan keburukan.Firman Allah dalam surah al-maaidah (5:2), maksudnya : Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

GESAAN MENGAMBIL BERAT TERHADAP JIRAN
Banyak sekali hadith Rasulullah yang menyebut tentang kejiranan dalam pelbagai bentuk.Ia menunjukkan bahawa Islam begitu mengambil berat terhadap keharmonian hidup , mengutamakan kesatuan dan sikap saling mengambil berat serta bertanggungjawab dalam membina masyarakat yang mempunyai sikap saling menghormati , saling mengukuh dan saling membina.
   Hal ini berkait rapat dengan kejadian manusia yang dibekalkan Allah dengan akal yang mampu membina tamadun berdasarkan kemampuan mereka memliki ilmu, membina akhlak yang baik sesuai dengan kejadiannya.Malah berkait rapat dengan hubungan asal manusia yang datang dari keturunan yang sama, walau pun berlainan bangsa ,warna kulit dan bahasa.
   Firman Allah dalam surah al-hujurat (49:13) bermaksud ,” Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).Sesungguhnya perempuan , dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-suku (berpuak-puak) supaya semulia-mulia kamu di sis Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu”.
  Antara hadith yang berkaitan dengan kejiranan, sabda Rasulullah saw bermaksud,” sentiasalah Jibril as mengingatkan aku terhadap jiran, sehingga aku menyangka bahawa jiran itu berhak mendapat pusaka” Sahih Muslim no.hadith 2624.Sabda Rasulullah saw bermaksud, “sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menghormati jirannya” dikeluarkan oleh Imam Malik dalam Muwatta , Imam Ahmad dalam Musnad ,Imam Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka.Sahih Bukhari hadith no:2133.

HAK-HAK JIRAN SECARA UMUM
Banyak hak jiran yang dinyatakan oleh islam untuk dijaga dan dihayati oleh orang beriman supaya menjadi sebaik-baik anggota masyarakat yang boleh membawa keharmonian dalam kehidupan.
   Hak jiran bukanlah terbatas setakat menahan diri dari melakukan perbuatan menyakiti jiran, bahkan termasuk juga sanggup menanggung kesakitan yang dilakukan oleh jiran dengan bersabar dan tidak membalasnya dengan kejahatan yang sama.Perlu berlemah lembut dengan jiran di samping menyatakan kebaikan dan melakukan perkara maaruf.
   Antara hak jiran juga memulakan mereka dengan salam sekiranya jiran muslim atau menyapa dengan baik sekiranya bukan muslim.Jangan banyak bertanya tentang keadaannya.Menziarahinya kalau dia sakit.Membantu kalau dia ditimpa kesusahan atau mengucapkan takziah serta ikut simpati atas musibah yang menimpanya.Mengucapkan tahniah serta memperlihatkan kegembiraan kalau jiran memperolehi perkara yang menggembirakan. Memaafkan atas kesilapan yang tidak disengajakan.
Jangan cuba mengintai-ngintai auratnya, jangan menyempitkan laluan ke rumahnya sekiranya laluan itu bersebelahan tanah kita.Menutup pandangan dari melihat mahramnya.Jangan memandang kepada orang gajinya dengan pandangan yang lama.Bersikap lemah lembut dengan anak-anaknya serta menunjukkan kepada perkara yang baik untuk agama dan dunianya.Menjauhi parasangka kerana kebanyakan sangkaan membawa dosa.Jangan mengumpat mengumpat serta menyatakan kaibannya.Ini adalah sebahagian dari hak jiran secara umum.

HAK MUSLIM TERHADAP MUSLIM
Rasulullah saw telah menjelaskan hak-hak Muslim terhadap Muslim dalam hadith-hadith Baginda. Antara sabda Baginda bermaksud,” Hak seorang Islam ke atas seorang Islam yang lain ada enam ; apabila berjumpa hendaklah memberi salam, apabila dia sakit hendaklah melawatnya,apabila dia mengajak ke majlis kenduri hendaklah diterima,apabila dia bersin dan dia mengatakan ‘alhamdulillah’maka hendaklah engkau menjawab dengan menyatakan’Allah merahmati mu, apabila dia meminta nasihat hendaklah diberi dan apabila dia meninggal hendaklah engkau mengiringi jenazahnya ke perkuburan”.
  Sabda Rasulullah saw, “seorang Muslim ialah apabila Muslim lain terselamat dari lidah dan tangannya, dan orang Mukmin ialah orang yang mensejahterakanMukmin lain atas diri dan hartanya, dan orang yang berhijrah ialahyang meninggalkan kejahatan dan menjauhinya”.{ hadith sahih dikeluarkan oleh Imam Ahmad,al-Humaidi,al-Darimi,al-Bukhari,Abu Daud dan Nasaie}
   Sabda Rasulullah saw, “Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sedangkan iman tidak masuk ke dalam hatinya, janganlah kamu mengintai-ngintai aurat mereka ,kerana sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari aurat saudaranya yang muslim maka Allah sentiasa mengekori auratnya Allah akan membukatembelangnya, sekali pun dalam rumahnya sendiri”.{Sahih dikeluarkan oleh Abu Daud no.hadith 4880 dan disahkan oleh al-Albani dalam Sahih Al-jame no.hadith 7984}
   Inilah sebahagian hadith yang berkaitan dengan menjaga hak Muslim, lebih-lebih lagi Muslim yang berjiran.

    Kesimpulannya, dari ayat-ayat al-Quran dan Hadith yang dipaparkan jelas menunjukkan bahawa menghormati jiran serta menunaikan haknya adalah merupakan tuntutan agama.Pelaksanaan kepada tuntutan  ini menunjukkan seseorang itu adalah orang yang beriman.Pengabaian serta tidak melaksanakan hak-hak kejiranan menunjukkan seseeorang Muslim belum benar-benar beriman atau belum sempurna imannya.
    Dalam hal ini banyak hadith Rasulullah yang memberikan peringatan keras terhadap seseorang yang menyakiti jirannya dengan menafikan iman bahkan akan termasuk ke dalam orang yang akan di azab di neraka.
    Dalam satu hadith diberitakan bahawa sebahagian orang islam berkata kepada Rasulullah saw terdapat seorang wanita yang kuat beribadah.Di siang hari dia berpuasa dan di malam hari dia bangun sembahyang malam tetapi akhlaknya buruk, selalu menyakiti jiran dengn lidahnya.Jawab Rasulullah saw, “tiada kebaikan baginya kerana dia adalah dari penghuni neraka”.
    Kemudian disebut kepada Baginda seorang wanita yang lain yang sedikit amalannya, tetapi amat baik terhadap jirannya.Lalu Rasulullah mengatakan,”dia adalah dari penghuni syurga”.
     Jelas di sini bahawa iman itu bukanlah bererti seseorang itu banyak beribadah serta mementingkan dirinya sahaja atau merasakan bahawa dia sahaja yang baik kerana dapat melakukan ibadat yang banyak terhadap Allah atau dia sahaja yang ingin masuk syurga Allah tanpa perlu mengambil berat terhadap orang lain , sebaliknya akhlak dan hubungannya dengan masyarakat tidak dijaga.
   Islam mementingkan akhlak baik yang dianjurkan syariat kerana ianya adalah sebagai tanda kepada islam yang hidup dan mengusai seluruh gerak laku hidup Muslim sehingga memberi rahmat kepada dirinya dan kepada seluruh individu di sekelilingnya.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *