Tuesday, January 31, 2017

Maksiat, ‘Best’ Sangat Ke?

NAMA : AISYAH BT HAZIMAN
NO SIRI : 013

Maksiat Membuatkan Diri Kita Dibenci
                Kenapa bila orang buat baik, dia berani buat terang-terangan? Kenapa bila orang buat maksiat, dia tak berani buat depan orang?  Fitrah! Manusia senang dengan kebaikan. Benci dengan maksiat. 
Ada juga orang yang berani buat maksiat terang-terangan. Orang lain senang dengannya? Tidak! Allahpun lebih-lebih lagi tidak senang dengannya. 
Berkata Imam Syafie, “Kamu sekalian hendaklah menghindari kebencian kaum muslimin.” “Bagaimana ia boleh berlaku?” tanya yang lain. “Seseorang yang melakukan maksiat, Allah akan menumbuhkan rasa benci muslim yang lain terhadapnya.”


Maksiat Menghalang Masuknya Ilmu Pengatahuan
                Imam Malik memberi nasihat yang layak ditulis dengan tinta emas kepada Imam Syafie. Katanya, “Allah telah mencerahkanmu dengan ilmu pengetahuan. Oleh itu, jangan sekali-kali memadamnya dengan kemaksiatan.”
                Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya Waki’ tentang sukarnya hafazannya kali ini. Lalu berkata Waki’, “Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak menembusi hati yang sedang berbuat maksiat.”

Maksiat Menggelapkan Hati dan Wajah
                Ibnu Abbas berkata, “ Maksiat menyebabkan kegelapan di wajah dan di hati. Wujud kebencian orang lain terhadap kita, tahap kesihatan badan merosot dan menghadapi kesulitan daripada aspek ekonomi.”
                “Sebaliknya, kebajikan akan mencerahkan wajah, menjernihkan hati, akan dikasihi orang lain, ekonomi meningkat dan dimurahkan rezeki.”
                Allah SWT mengingatkan, “(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab seksaan yang amat besar.” (Surah al-Baqarah: 7).

Maksiat Punca Kebinasaan
Mari kita belajar daripada sejarah. Maksiat menjadi punca kebinasaan umat terdahulu.
Iblis diusir dari syurga kerana maksiat.
Kaum Nabi Nuh ditenggelamkan banjir kerana maksiat.
Firaun dan tenteranya dilemaskan ke dalam lautan kerana maksiat.
Kaum Sadom diterbalikkan bumi kerana maksiat homoseksnya.
Kaum Ad dilenyapkan rebut kerana maksiat.
Kaum Bani Israel dimurkai Allah kerana maksiat.
Nabi Muhammad SAW mengingatkan, “Apabila terjadi maksiat di kalangan umatku, maka Allah akan memberi azab-Nya untuk semua.” (HR Ahmad).
Allah zalim? Tidak! Kita yang zalim. 
“Dan Kami tidak menganiaya mereka, tetapi menganiaya diri sendiri.” (Surah Hud: 101).
Allah yang Maha Adil hanya menjalankan keadilan-Nya. Meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Yang cintakan maksiat diberikan pembalasan dan azab.
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. Moga-moga mereka kembali.” (Surah al-Rum: 41).


Lazatkah Maksiat?
Habis tu, di mana lazatnya maksiat hingga ramai orang tertambat?
Lupa tentang akhirat! Itulah penyebab. Berkata Ibnul Qayyim al-Jauziah, “Anda akan mendapat murka Allah SWT sebab berbangga dengan maksiat dan sambil lewa terhadap malaikat yang menyaksikan dan mencatat kelakuan buruk anda.”
Kita semua tidak maksum. Tidak terlepas daripada melakukan maksiat atau derhaka kepada Allah. Samada besar atau kecil. Dosa-dosa kecil yang kita biasakan boleh membesar menjadi maksiat yang sangat dimurkai. Ia boleh membinasakan. 
Di sekeliling, terlalu banyak potensi maksiat yang berkemungkinan telah kita lakukan. Firman Allah SWT, “Semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan mengatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah tentangnya, dan kamu pula menyangka itu hanya perkara kecil, padahal di sisi hukum Allah, ianya adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah al-Nur: 15).
Astargfirullahal azhim. Apa yang terdaya, jadikan munajat dan ‘istighfar’ itu satu ulam harian yang wajib diamalkan. Sudikah Allah menerima taubat kita? Hmm, kalau kita fikir Allah tidak sudi mengampuni, bukankah fikiran itu hanya akan membebani diri? Yakinlah, Dia Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat.


Carilah Kemuliaan dengan Taat, Bukan dengan Maksiat
Mungkin masih ada di kalangan kita yang sengaja menambat dirinya dengan maksiat kerana mahu diterima oleh kumpulannya yang sekepala. Diterima oleh ahli kumpulan bagaikan satu tujuan dan satu kemuliaan. Setakat manalah mulianya penerimaan manusia? Tak ke mana-manapun.
Jika hajatkan kemuliaan, di sisi Allah ada segala kemuliaan.
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan, (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jugalah (Pemilik) segala kemuliaan.” (Surah Fathir: 10).


Allah Tahu Meskipun Kita Sembunyikan
Nabi mendedahkan, “Terdapat di kalangan umatku pada hari kiamat kelak, mereka mempunyai bekal kebajikan yang banyak sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah menjadikan semua pahala kebajikan itu seumpama  debu-debu yang berterbangan.” 
Thauban bertanya, “Adakah seperti kami kerana kami tidak tahu?” Rasulullah SAW bersabda lagi, “Mereka ialah saudara-saudara kamu sekalian. Mereka melakukan solat malam seperti kamu semua, tetapi apabila mereka bersendirian, mereka melakukan larangan-larangan Allah.” (HR Ibnu Majah).
Tidak perlu kita lakukan maksiat di kala sembunyi atau terang. Sebabnya, kita sentiasa terkepung oleh CCTV Allah di mana-mana sahaja. 


No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *