Sunday, January 29, 2017

Kesan psikologikal terhadap pasangan yang bercerai,

DITULIS OLEH: NURSYAKIRAH BINTI MOHD ZULKILI
NO. MATRIK: 14021139        NO.SIRI: 044

Kesan positif dan negatif

Berdasarkan isu tersebut, perceraian juga memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada sesebuah institusi keluarga. Perceraian antara pasangan akan menyebabkan kesan besar kepada pasangan tersebut dan seterusnya mempengaruhi anak-anak. Lazimnya, kesan tersebut cederung kepada kesan negatif iaitu kesan psikologikal terhadap corak dan gaya keibubapaan keluarga. Secara umunya, pasangan yang bercerai akan mengalami gangguan emosi seperti bersedih, memendam perasaan dan bermurung. Hal ini disebabkan perpisahan yang berlaku antara pasangannya. Individu yang bercerai akan bertukar status menjadi ibu atau bapa tunggal, maka beban tanggungan akan bertambah dan urusan keluarga terpaksa dilakukan sendirian. Bebanan ini menyebabkan individu tersebut hilang keyakinan dan mudah berputus asa. Seterusnya, individu tersebut akan kehilangan fokus dan perhatian terhadap keadaan sekeliling termasuk pekerjaan, anak-anak dan tanggungjawab yang lain. Prestasi kerja juga akan terjejas sehingga boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan. Kehilangan ini mengakibatkan timbulnya masalah lain seperti masalah kewangan. Gangguan dan tekanan ini memberi kesan yang lebih buruk terhadap perwatakan dan kelakuan individu yang bercerai ini. Antarannya adalah menjadi seorang yang pemarah dan beremosi. Kesan daripada itu, kebiasaanya anak-anak akan menjadi mangsa untuk melepaskan tekanan yang dihadapi seperti memukul dan memarahi anak-anak secara melampau apabila anak-anak melakukan kesilapan. Selain itu, segala keperluan dan perhatian terhadap anak-anak terabai. Hal ini membawa kepada kes penderaan dan memberi kesan psikologikal yang buruk kepada anak-anak.



Kesan psikologikal terhadap anak-anak
Rentetan itu, kesan psikologikal yang buruk terhadap anak-anak akibat perceraian ibubapa akan membentuk pembangunan insaniahnya. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian ibubapa akan kehilangan kasih sayang daripada kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya. Sesetengah keluarga, anak-anak terpaksa berpisah dengan adik-beradik yang lain kerana mengikut ibu atau bapanya. Hal ini akan menyebabkan anak-anak menjadi lebih kesunyian dan murung. Hukuman melampau yang diterima daripada ibu atau bapa apabila anak-anak melakukan kesalahan menyebabkan anak-anak berasa tidak selamat dan rasa tidak disayangi. Hal ini menyebabkan tekanan emosi yang buruk dan seterusnya membentuk pembangunan insaniah yang negatif sama ada terhadap peribadi dan sikap anak-anak tersebut.

Kesan perceraian terhadap pembentukan insaniah anak-anak
Perceraian memberi kesan negatif terhadap pasangan suami isteri tersebut dan mempengaruhi pembentukan insaniah anak-anak. Terdapat lima kesan negatif terhadap pembentukan insaniah anak-anak akibat daripada perceraian ibubapa.

1. Bersifat pemurung dan merendah diri.
Sesetengah perceraian suami isteri berlaku disebabkan masalah kewangan kerana ketidakmampuan pasangan tersebut menanggung dan menyara hidup keluarga dan anak-anak. Hal ini akan menyebabkan pasangan tersebut sering bertengkar dan saling menyalahi antara mereka. Anak-anak yang telah dewasa akan tersepit dengan keadaan tersebut dan merasakan bahawa mereka juga merupakan punca pertengkaran tersebut. Pertengkaran yang membawa perceraian akan menyebabkan anak-anak merasa bersalah dan bermurung. Kesan daripada perasaan tersebut akan membawa kesan negatif terhadap pembentukan insaniah anak-anak. Perwatakan anak-anak akan berubah menjadi kurang berkeyakinan, rendah diri dan anti-sosial. Selain itu, anak-anak juga akan menjadi seorang yang memendam perasaan dan lebih cenderung untuk tidak berkongsi dengan orang lain. Kesan-kesan negatif ini akan menjejaskan masa depan anak-anak tersebut untuk berhadapan dengan masyarakat pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pembentukan insaniah yang pemurung dan rendah diri akan mengakibatkan masalah lain seperti kesukaran berkomunikasi dan berinteraksi orang lain, mudah ditindas atau dibuli dan menjadi seorang yang beremosi.


2. Memupuk sikap pemarah dan pembuli.
 Lazimnya, anak-anak yang kerap dihukum dan dimarahi akan menjadi seorang yang pendendam dan pemarah. Setiap kali menerima hukuman seperti dirotan dan dimarahi, anak-anak akan berdiam diri dan memendam perasaan. Hal ini kerana rasa hormat dan rasa takut yang melampau kepada ibu atau bapa mereka yang sedang bermasalah. Kesannya, anak-anak ini mengalami tekanan emosi yang teruk dan membawa kesan negatif terhadap pembentukan insaniahnya. Oleh yang demikian, sesetengah anak-anak meluahkan perasaannya melalui perbuatan dan sikap panas baran atau pemarah kepada orang lain. Antara contohnya adalah menjadi seorang yang suka membuli rakan-rakan sebaya di sekolah. Anak-anak ini membuli rakan sebaya yang lemah dan mudah ditindas. Selain itu, tekanan ini juga boleh mewujudkan gejala vandalisme kepada kemudahan awam seperti menconteng papan tanda, dinding bangunan dan merosakkan tong sampah awam.

3. Hilang tumpuan dan perhatian dalam pelajaran.
Perceraian menyebabkan ibu atau bapa menjadi seorang yang sensitif, beremosi dan pemarah. Tambahan lagi, tanggungjawab yang bertambah sebagai ibu bapa tunggal semakin memberi tekanan kepada mereka. Hal ini menjejaskan hubungan antara ibubapa dengan anak-anak. Sebagai anak-anak yang sedang meningkat dewasa, ibubapa sepatutnya memberikan sokongan dan perhatian. Namun, tekanan daripada perceraian menyebabkan ibubapa lebih cenderung memberi kata perintah, kata-kata kesat dan kasar serta hukuman yang melampau.  Hal ini bukan hanya menjadi memberi tekanan kepada ibu bapa tersebut, malah anak-anak turut menjadi tertekan dengan keadaan yang berlaku. Suasana rumah menjadi tidak kondusif, ibu atau bapa pula sentiasa memberi tekanan dan memarahi tanpa alasan yang kukuh menyebabkan anak-anak tidak dapat menumpukan pelajaran. Tambahan lagi, anak-anak menjadi malas dan hilang semangat untuk belajar. Seterusnya, anak-anak akan ketinggalan dalam pelajaran dan prestasi pelajarannya merosot,

4. Kurang didikan dan pegangan agama.
Perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak kekurangan kasih sayang dan perhatian. Peranan sebagai ibubapa tunggal menyebabkan ibubapa tersebut lebih mementingkan aspek kewangan dan material. Hal ini kerana untuk menjamin keperluan keluarga yang perlu ditanggung dan dipenuhi. Namun begitu, tanggungjawab kepada anak-anak terabai termasuk dari aspek kasih sayang dan pendidikan. Kesannya, anak-anak akan kekurangan didikan terutamanya didikan agama. Apabila tiada didikan dan pengetahuan agama, maka anak-anak cenderung melakukan perkara yang sia-sia. Anak-anak yang menjadi mangsa perceraian akan kekurangan kasih sayang dan rasa dipinggirkan. Seterusnya, menyebabkan jiwa anak-anak kurang didasari dengan agama. Anak-anak ini akan mencari altenatif lain untuk meluahkan kekecewaannya seperti lari dari rumah, terjebak dengan gejala sosial dan pengambilan pil khayal atau dadah untuk melupakan masalah. Kesan ini menunjukkan bahawa pembentukan insaniah anak-anak adalah negatif akibat daripada perceraian ibu bapanya.

5. Mudah terpengaruh dengan perkara yang sia-sia.
Rentetan daripada kurang pegangan agama, maka anak-anak akan mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat seperti merokok, ponteng sekolah dan merempit. Hal ini juga berpunca daripada pengaruh rakan sebaya yang tidak bermoral dan perasaan ingin mencuba perkara baru. Ibu atau bapa tunggal sentiasa sibuk untuk mencari nafkah untuk menyara keluarga, maka ibu atau bapa tersebut tiada masa untuk memantau aktiviti harian anak-anak termasuk pemilihan rakan sebayanya. Sesetengah anak-anak terlibat dengan perkara yang tidak bermoral ini adalah untuk mendapatkan perhatian daripada ibubapa semata-mata. Selain itu, kekurangan kasih sayang daripada ibubapa juga menyebabkan anak-anak mencari kasih sayang diluar rumah seperti mencari teman lelaki dan bersosial dengan rakan-rakan sebaya. Akibat aktiviti bersosial dan pergaulan bebas ini mengundang kepada masalah hubungan seks rambang dan anak luar nikah. Oleh yang demikian, masalah perceraian ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh kerana tiada pemantauan dan didikan yang cukup daripada ibu bapa.
Kesan positif
Walaupun begitu, perceraian juga memberi kesan positif kepada sesetengah anak-anak. sebagai contoh, perceraian ibubapa menyebabkan anak-anak menjadi lebih berdikari. Anak-anak yang berfikiran positif akan membina jati diri supaya lebih berdikari dan tidak membebankan ibu atau bapanya yang sedang bermasalah. Selain itu, anak-anak yang tinggal bersama ibu (ibu tunggal disebabkan perceraian) akan berusaha untuk berjaya dan mengubah kehidupan keluarganya menjadi lebih baik. Oleh yang demikian, anak-anak yang menjadi mangsa perceraian juga mampu menjadi anak-anak yang berjaya dan berdikari.   

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa perceraian berpunca daripada pelbagai faktor dan ia membawa kepada kesan sama ada negatif atau positif. Lazimnya, anak-anak yang menjadi mangsa perceraian menyebabkan pembentukan insaniahnya bersifat negetif. Walaupun begitu, perceraian juga tidak hanya berpunca daripada perkara negatif, tetapi terjadi kerana untuk mengelakkan pasangannya terus menderita diatas perkahwinan tersebut. Namun, perceraian bukanlah salah penyelesaian masalah yang terbaik. Sebagaimana Hadith riwayat daripada Ibnu Umar daripada Nabi Muhammad SAW bersabda, “Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak” (Riwayat Abu Daud dan Hakim). Oleh yang demikian, pasangan suami isteri perlu berusaha mengelakkan perceraian. Pelbagai langkah untuk mengatasi perceraian boleh dilakukan seperti mendalami ilmu agama dan pengetahuan mengenai perkahwinan, mengubah sikap menjadi lebih baik, menghadapi setiap cabaran dan masalah dengan tenang serta memperbaiki komunikasi antara pasangan. Hal ini dapat mengelakkan perceraian berlaku supaya anak-anak tidak menjadi mangsa perceraian. Ibu bapa perlu berusaha membina sebuah keluarga yang sakinah supaya dapat membimbing anak-anak yang baik dan seterusnya dapat membentuk insaniah yang cemerlang.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *