Ditulis oleh : SITI SARA BINTI ZULKIFLEE
No siri : 095
No matrik : 14021200
Pepatah Melayu yang berbunyi “bagai kacang
lupakan kulit”mungkin sesuai untuk di bincangkan bagi isu golongan warga emas
yang kian terabai, kurang bernasib baik dan kebajikan golongan ini juga
diabaikan oleh semua pihak. Warga emas merupakan aset yang tidak ternilai dalam
sesebuah negara. Namun begitu, banyak keluarga di negara Malaysia menggangap
orang tua adalah menyusahkan kerana orang tua memerlukan jagaan yang rapi baik
dari segi pemakanan mahupun segi kebersihan. Menurut laporan daripada Polis
Diraja Malaysia, 28.3% daripada pengemis yang ditahan ialah warga emas, malah
terdapat warga emas yang hidup sebatang kara.
Dalam
hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab golongan warga emas ini
diabaikan dan sentiasa dilupakan oleh semua lapisan masyarakat. Menjaga warga
tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah individu sahaja bahkan
ia melibatkan semua pihak terutamanya institusi keluarga, masyarakat dan
kerajaan. Pengorbanan ibu bapa tidak ternilai harganya jadi apa salah anak-anak
menjaga dan menatang bagai minyak yang penuh seperti mereka menjaga anak-anak
semasa kecil dulu. Lagipun dalam tuntutan agama pun ia cukup jelas menuntut
kita sebagai anak harus menjaga ibu bapa lebih-lebih lagi yang berumur. Menjaga
ibu bapa yang sakit ketika diambang maut dan juga menguruskan jenazah merupakan
tanggungjawab yang dituntut oleh agama. Namun, hari ini ramai anak-anak yang
menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau membiarkan sahaja mereka
sendirian. Hal ini demikian kerana disebabkan oleh banyak faktor yang
mempengaruhinya, justeru itu juga masalah ini harus dibendung supaya tidak
menjadi lebih teruk lagi di masa akan datang.
Golongan warga emas yang terabai dan
diletakkan di bawah penjagaan rumah kebajikan merupakan satu perbuatan yang
tidak bermoral oleh anak-anak. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya
tentang sebab-sebab mengapa mereka diabaikan. Oleh itu, tentu terdapatnya faktor tertentu yang menyumbang ke arah
berlakunya masalah ini. Salah satu faktornya yang paling ketara ialah sikap
manusia itu sendiri. Segelintir manusia memandang hina terhadap golongan ini,
mereka menganggap warga emas tidak berguna lagi malah membebankan. Oleh itu,
anak-anak lebih gemar menghantar ibu bapa mereka kerumah kebajikan. Di samping
itu, masyarakat itu sendiri juga memandang serong terhadap warga emas yang
kurang bernasib baik sekali gus menyisihkan mereka. Perbuatan ini dianggap
tidak bermoral terutamanya anak-anak yang derhaka. Ibu bapa telah membesarkan
anak-anak dengan bersusah payah namun apakah yang diperoleh oleh mereka semasa
tua dan tidak bertenaga lagi? Tentunya mereka akan berasa sakit hati apabila
dilayan sedemikian. Selain itu, kita haruslah faham bahawa mereka yang kurang
bernasib baik sudah cukup malang dan janganlah menambahkan lagi keperitan itu.
Dalam situasi ini bukankah masyarakat sepatutnya memberikan kasih sayang kepada
mereka? Namun, yang berlaku dalam realiti kehidupan ini ialah masyarakat tidak
ada pun rasa belas kasihan atau menunjukkan simpati bahkan menyisihkan mereka
dan menjadikan mereka sebagai bahan gurauan dan cacian.
Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering
memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa telah
tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa
yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga anak-anak dapat menikmati
kesenangan seperti yang dinikmati hari ini. Ingatlah, mereka amat berpengalaman
dan segala pandangan, nasihat serta tunjuk ajar mereka patut dihargai dan
dijadikan pedoman hidup. Selain itu, yang menyebabkan orang tua diabaikan
sehingga ada anak-anak yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau
membiarkan mereka tinggal sendirian ialah disebabkan kecacatan, nyayuk, tidak
bersefahaman diantara anak atau menantu dengan ibu bapa, kesibukkan anak dengan
tugas harian dan masalah kewangan. Tidak sewajarnya meletakkan orang tua
dirumah kebajikan kerana ia bermakna menderhakai dan mengabaikan tanggungjawab
kita sebagai seorang anak lebih-lebih lagi anak itu lelaki. Anak-anak harus
bijak untuk memohon maaf kepada ibu bapa walaupun atas hal-hal yang tidak
seberapa. Hal ini mereka menganggap memohon maaf pada ibu bapa adalah satu kesalahan
dan tidak wajar.
Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga
tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu
bapa disebabkan pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanak, mungkin
semasa kecil kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera Maka,
anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam
terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu
cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan
kesihatan kedua ibu bapanya.
Antara langkah yang perlu dilakukan oleh pihak
kerajaan ialah menitikberatkan mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan
Moral. Hal ini dapat memupuk dan meningkatkan kesedaran moral dalam kotak
fikiran anak-anak Malaysia sekali gus menyedari mereka bahawa adalah
tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu bapa. Dengan itu, mereka akan
mentaati ibu bapa mereka sebagaimana ibu bapa menyayangi mereka sejak kecil
lagi.
Selain itu, badan-badan sukarela boleh menggalakkan warga tua untuk melahirkan
potensi dan kemahiran mereka semula melalui Anugerah Emas Tokoh Warga Tua yang
telah dianjurkan oleh Help Age International dan UNIMAS. Badan-badan
tersebut boleh menganjurkan rencaman pertandingan untuk merangsang minat untuk
menunjukkan bakat mereka.
Di samping itu, pihak kerajaan dan pihak swasta perlu memberi peluang kedua
kepada warga emas yang sudah bersara dan berkebolehan untuk bekerja. Hal ini
demikian kerana mereka lebih berpengalaman dan berkemahiran dapat memberi
banyak manfaat kepada syarikat atau persatuan kita. Dengan pengambilan warga
emas, rasa menghargai warga emas akan dipupuk dalam kalangan pemuda.
Lagipun, pihak kerajaan perlulah mewajibkan setiap pengantin baru menghadiri
kursus perkahwinan. Hal ini dapat memberi pendedahan kepada pengantin baru
begitu pentingnya untuk menwujudkan keluarga bahagia. Mereka akan lebih
memahami dan mengetahui tanggungjawab yang dipikul dalam sesebuah keluarga dan
cara-cara untuk menangani masalah keluarga. Ekoran daripada itu, isu keluarga
seperti pengabaian warga emas dapat dikurangkan.
Manakala, pihak kerajaan perlulah memberi insentif dari segi pengurangan cukai
pendapatan bagi anak-anak yang mengangkat tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka
yang tua. Hal ini dapat menggalakkan anak-anak menjaga ibu bapa mereka dan pada
masa yang sama dapat membalas budi ibu bapa. Hal ini demikian kerana ibu bapa
yang bersusah payah mendidik dan membesarkan kita sehingga kita berdikari sejak
kecil lagi. Oleh itu, kita harus menjaga ibu bapa balik sebagai membalas budi
ibu bapa semasa mereka tua dan uzur.
Masalah pengabaian warga tua masih lagi di
tahap rendah, namun perbuatan anak-anak tempatan seumpama itu tidak dapat
diterima masyarakat di negara ini bahkan sangat memalukan dan dikesali. Oleh
itu, setiap anak-anak hendaklah sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan
kedua ibu bapa dan warga tua dengan memberikan kasih sayang dan memastikan
kesempurnaan hidup mereka terjamin dan janganlah sesekali mengabaikan dan
mensia-siakan hidup mereka serta selalulah mendoakan mereka agar sentiasa
mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T. Semua pihak perlu bekerjasama untuk
meminumkan isu pengabaian warga tua agar kebajikan warga emas dapat dijaga.
No comments:
Post a Comment