Thursday, January 12, 2017

PENDIDIKAN DALAM ISLAM

Ditulis oleh : Nur Farah Idayu Binti Hassan
No Siri : 028

            Pendidikan dalam erti kata yang sebenar bermaksud, tunjuk ajar dan latihan yang tersusun bagi membentuk akhlak, kemampuan akal, pembentukan disiplin dan sebagainya. Pembentukan dan pembinaan ini pula disandarkan kepada satu dasar yang merangkumi seluruh keperluan manusia dalam mencari kebahagian dunia dan akhirat.Islam adalah ad-din yang syumul iaitu satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Segala hukum yang terdapat dalam syariatnya bertujuan untuk membawa pengaruh yang sihat kepada individu. Untuk melahirkan sebuah masyarakat Islam yang sempurna,  pendidikan merupakan satu bidang yang paling penting. Pendidikan Islam tidak hanya tertumpu pada ilmu akhirat, tetapi ia juga menekankan ilmu dunia bagi membolehkan umatnya mencapai taraf hidup yang lebih sempurna.

            Skop pendidikan merangkumi dari pendidikan anak-anak oleh kedua ibu bapa sehinggalah kepada peranan sesebuah sistem petadbiran. Keluarga merupakan institusi asas yang berperanan dalam memberi pendidikan tingkah laku, didikan jiwa serta didikan agama bagi setiap kehidupan anak-anak. Anak-anak merupakan amanah Allah kepada setiap ibu bapa. Hatinya suci berkilauan bak mutiara yang berharga, indah dan bersih dari segala gurisan. Kecuaian pendidikan terhadap anak-anak menyebabkan kemurkaan Allah terhadap ibu bapa. Fungsi pembiakan manusia tidak akan sempurna tanpa pendidikan. Bagi anak-anak kecil, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam mendorongnya menjadi baik atau sebaliknya. Ini bermakna jika ibu bapa termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat, ia akan menjadi pendorong utama kepada anak-anak dan menyebabkan mereka terkeluar dari fitrah yang diciptakan oleh Allah. Begitu juga jika ibu bapa tergolong ke dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ini akan mempengaruhi sifat anak mereka sehingga sesuai dengan fitrahnya dan membesar dalam cahaya kebaikan.

            Kenyataan ini dijelaskan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Tidak ada dari anak-anak kecuali dilahirkan di atas fitrah. Maka kedua ibu bapanya yang menyebabkan dia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Sabdanya lagi “Kewajipan ibu bapa terhadap anaknya ialah memberi nama yang baik, membaguskan akhlaknya. Mengajar membaca dan menulis, mengajar berenang, memanah, memberikan makanan yang halal dan menjodohkannya bila dewasa”. Dalam masyarakat Islam sejati, pendidikan di sekolah merupakan proses lanjutan pendidikan di rumah. Selain itu juga dapat melaraskan pembentukan peribadi, pandangan hidup dan uasah ke arah pencapaian matlamat Islam. Medan pendidikan melalui sekolah bertujuan untuk mewujudkan keseragaman di kalangan generasi Islam terhadap peranan mereka dalam masyarakat.

            Pendidikan di rumah dan sekolah adalah termasuk dalam lapangan pendidikan yang singkat dalam kehidupan manusia. Perkembangan kanak-kanak menuju peringkat kehidupannya dipengaruhi oleh unsur-unsur persekitaran yang memasuki jiwa mereka sma ada melalui pendengaran, penglihatan dan sebagainya. Akidah mempunyai kesan yang kuat dalam pendidikan. Pendidikan yang berlandaskan kepada akidah yang teguh adalah lebih baik daripada pendidikan yang tidak bertitik tolak dari akidah. Sesebuah masyarakat yang wujud di atas sebuah landasan kepercayaan yang lemah dan tidak teguh akan terdedah kepada keruntuhan dan kehancuran yang berterusan. Masyarakat sebegini pada hakikatnya tidak mempunyai matlamat tertentu serta asas-asas yang tetap. Peringkat-peringkat umur dalam pendidikan Islam terbahagi kepada empat bahagian iaitu peringkat kanak-kanak, muda, dewasa dan tua. Pada peringkat kanak-kanak, kecenderungan beragama telah wujud dalam diri mereka. Ulamak ada berkata, salah satu daripada syarat-syarat untuk memperolehi ilmu ialah para pelajar seboleh-bolehnya terdiri daripada orang-orang muda yang masih kosong jiwanya, tidak terpengaruh dengan hal-hal dunia dan masih sedikit penghalang-penghalangnya seperti anak, harta dan kampong halaman.

 Matlamat dasar pendidikan Islam ialah untuk melahirkan individu-individu muslim yang berteraskan ajaran Islam dan mempunyai kefahaman yang mendalam serta dapat menjalankan jentera-jentera Daulah Islamiah dengan jayanya pada suatu hari kelak. Di samping itu, pendidikan juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang terus mempertahankan Islam serta mengembangkan syariatnya melalui jihad dan ijtihad. Ini bererti pendidikan Islam perlu melahirkan satu generasi yang terdiri daripada para mujahid yang mujtahidun. Matlamat Islam keseluruhannya pula ialah untuk mencapai keredhaan Allah di samping menimbulkan kecintaan kepada Islam dan ajaran yang dibawa serta bermatlamat untuk meninggikan tahap akhlak dalam masyarakat. Sebagai kesimpulannya, pendidikan adalah salah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh orang-orang yang mengaku dirinya beriman. Mengabaikan pendidikan merupakan satu kesilapan besar dalam Islam. Masa depan seseorang individu pastinya gelap dan masyarakat pula akan kehilangan generasi yang bakal menjadi pembela maruah Islam. 

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *