Ditulis Oleh:
NAMA:
NURSYAKIRAH BINTI MOHD ZULKIFLI
NO. SIRI:
044 | NO. MATRIK:
14021139
Setiap individu di dunia ini pastinya memiliki sahabat ataupun
rakan dalam kehidupan mereka. Rakan-rakan amat diperlukan dalam menghilangkan
kebosanan yang melanda diri. Namun demikian, beberapa perkara perlu
dipertimbangkan dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana jika tersalah
pilih rakan akan rosaklah masa hadapan kita. Jika diperhalusi, ada beberapa
ciri dalam memilih sahabat yang perlu kita ketahui.
Ciri yang paling
utama sudah pastinya sahabat yang sentiasa membantu kita ketika susah dan
senang. Peribahasa ada mengatakan rakan ketawa senang dicari tetapi rakan
tangis sukar ditemui. Oleh itu, dalam memilih sahabat ciri ini perlu ada supaya
mereka sentiasa membantu kita tanpa mengira waktu dan ketika. Jelaslah, rakan
atau sahabat yang sebegini mampu mengisi kekosongan dan sentiasa ada saat
diperlukan.
Sahabat yang baik juga pastinya mampu menunjukkan teladan yang baik
kepada kita. Sudah pasti kita tidak mahu menjadi seperti disebabkan nila
setitik habis rosak susu sebelanga. Disebabkan sikap rakan kita yang tidak
elok, habis rakan-rakan yang lain dituduh bersekongkol mahupun dilabel sebagai
membawa pengaruh yang negatif. Huraian ini sangat bertepatan dengan peribahasa
berteman dengan tukang minyak wangi kita akan ikut wangi, berteman dengan
tukang minyak kita akan ikut bau minyak.
Di samping itu,
dalam memilih sahabat juga pilihlah sahabat yang sentiasa mengajak kita ke arah
kebaikan. Sebagai contohnya, pilihlah sahabat yang tidak meninggalkan solat dan
tahu menghormati orang yang lebih tua. Perkara ini penting kerana ciri-ciri
sahabat yang baik itu akan menjadi ikutan kita sepanjang masa. Secara tidak langsung,
masyarakat akan memandang tinggi individu-individu yang memiliki ciri-ciri yang
baik dalam diri mereka.
Seterusnya, sahabat
yang baik juga pastinya bersedia untuk berkongsi ataupun sekurang-kurangnya
mendengar masalah kita pada bila-bila masa yang diperlukan. Sahabat yang baik
mampu berfungsi sebagai pembimbing di saat kita menghadapi masalah. Namun
demikian, nasihat dan bimbingan yang diberikan mestilah mampu membawa kita ke
arah kebaikan. Tidak dapat dinafikan lagi, kita perlu bersedia mendengar
masalah rakan jika ingin menjadi sahabat yang baik.
Izharnya, ada berbagai-bagai ciri yang perlu diperhalusi dalam
menilai erti persabahatan. Oleh sebab itu, kita wajar dan harus berhati-hati
untuk menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun jua sahabat kita.
Seorang sahabat semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk diikuti dan
dicontohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di dunia
ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment