Nama: zanariah bt ibrahim
No.siri : 050
No. Matrik : 15021353
“Mencegah itu lebih baik dari
mengubatinya”, berpegang kepada hakikat peribahasa melayu ini, gejala mat
rempit perlu di atasi memandangkan ia telah banyak membawa permasalahan. Istilah 'mat rempit' adalah hasil
gabungan dua perkataan 'mat' dan 'rempit' dimana 'mat' adalah merujuk kepada
seseorang atau sekolompok individu, sementara 'rempit' difahami sebagai
kegiatan membonceng motosikal dengan laju dan tidak mengikut undang-undang
jalan raya. Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang
terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan moto kapcai atau
skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Kebanyakan
Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di
jalan raya.
Mengapa mereka sering merempit?
1.
Pengaruh rakan sebaya.
Pengaruh rakan sebaya banyak memainkan peranan dalam menentukan pemilihan
aktiviti yang gemar dilakukan oleh kelompok remaja ini. Remaja akan mengikuti
apa-apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Bagi mereka, rakan-rakan adalah
segala-segalanya. Ketiadaan rakan-rakan menyebabkan remaja berasakan diri
mereka tersisih. Oleh itu, remaja sanggup mengikuti rakan-rakan yang tidak
bermoral dan tidak sekepala dengan mereka asalkan mereka tidak dipulaukan.
2. Mengejar keseronokan.
Remaja merempit untuk mencari keseronokan bagi mendapatkan kepuasan,
kemasyhuran, wang dan juga perempuan. Kepuasan dan keseronokan yang mereka
kecapi adalah untuk melepaskan diri sementara dari tekanan hidup. Malah, mereka
menganggap mereka akan menjadi perhatian umum apabila mereka menunjukkan
aksi-aksi yang berbahaya di jalan raya. Mereka berasa bangga dan puas apabila
mempamerkan aksi-aksi yang berbahaya di khalayak ramai.
3. Kurang didikan agama.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak bagi menjadi
seorang manusia yang berguna dan berakhlak mulia. Apabila kurangnya didikan
agama, maka anak-anak mudah terjebak dengan perkara-perkara yang tidak
bermoral. Hal ini kerana, pegangan agama yang kurang menyebabkan mereka tidak
dapat menilai adakah sesuatu perkara yang mereka lakukan salah disisi agama
ataupun tidak.
4. Desakan naluri.
Oleh sebab desakan naluri, remaja suka mencuba dan tidak takut pada risiko yang
bakal ditempuh. Mereka berani melakukan apa-apa sahaja yang dirasakan seronok
dan menghiburkan perasaan walaupun perkara tersebut berbahaya. Remaja mudah
berasa seronok dan ingin mencuba apa-apa yang dipaparkan oleh media. Bagi
memuaskan nafsu, remaja berani mempertaruhkan nyawa untuk melakukan sesuatu
perkara yang mereka sukai dan mencabar.
5. Cara hidup.
Melalui cara hidup remaja itu sendiri juga mendorong gejala ini berlaku.
Kebanyakan remaja berpendidikan rendah lebih cenderung melibatkan diri dalam
kancah lumba haram ini. Pergaulan mereka hanya terdedah kepada kelompok yang
sama dan memiliki tahap pemikiran yang sama apatah lagi sekiranya masing-masing
sentiasa memberikan galakan dan semangat berbaur negatif antara satu sama lain.
Mereka bangga dan seronok dengan pujian serta cuba menarik perhatian orang
lain.
6. Kurang kasih sayang ibu bapa.
Ibu bapa yang sering sibuk dengan kerjaya masing-masing menyebabkan anak-anak
kurang kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Remaja akan berasa bahawa diri
mereka tidak disayangi. Oleh yang demikian, remaja mengambil jalan mudah dengan
mencari hiburan di luar rumah bersama-sama rakan sebaya yang lain seterusnya
melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti merempit.
Impak dan kesan
1.
Dari segi sosial.
Pembangunan sosial semakin terencat kerana kegiatan rempit ini mengancam
ketenteraman dan ketenangan suasana malam. Banyak rungutan yang dapat kita
dengar dari penghuni-penghuni rumah taman tentang bunyi enjin motosikal yang
kuat dan mengganggu mereka beristirehat. Malah, golongan ini juga sering
dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah ataupun digelar juga sebagai ‘mat gian’.
Kesan daripada kedua-dua gejala ini membawa kepada kes-kes lain seperti
mencuri, pecah rumah, ragut dan lain-lain. Namun, apa yang paling membimbangkan
adalah konsep pertaruhan anak-anak gadis sebagai hadiah dalam perlawanan haram
tersebut. Anak-anak gadis ini sanggup menggadaikan maruah untuk menjadi
pembonceng kepada teman lelaki mereka yang merupakan ahli kumpulan mat rempit.
Situasi ini juga akan membawa kepada masalah lain seperti pembuangan bayi, anak
luar nikah dan pelbagai penyakit membunuh seperti AIDS.
2. Dari segi ekonomi.
Mat rempit sering mensia-siakan waktu muda mereka yang sepatutnya digunakan
untuk membangunkan potensi diri masing-masing. Tetapi peluang kemakmuran dan
kemajuan negara dimanfaatkan oleh rakyat asing lantaran kerana anak negeri
sendiri tidak berminat untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membangunkan
negara. Apa yang membimbangkan adalah sekiranya perkembangan yang tidak sihat
ini semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal, keadaan akan menjadi semakin
sukar. Hal ini kerana, rata-rata mat rempit adalah mereka yang masih dalam usia
remaja. Bahkan sebahagiannya masih di bangku sekolah. Mereka masih bergantung
kepada kewangan ibu bapa masing-masing. Untuk menyertai lumba haram ini mereka
memerlukan wang yang banyak khususnya untuk pengubahsuaian dan membeli alat
ganti motosikal, kos petrol serta wang pertaruhan. Bagi sesetangah remaja yang
terlibat dengan dadah memerlukan wang yang lebih lagi. Oleh sebab itu, apabila
mereka terdesak untuk mendapatkan duit, mereka mula memeras ugut, meragut dan
mencuri yang pastinya akan merugikan ekonomi negara kita.
3. Dari segi politik.
Generasi masa muda sekarang merupakan tunggak pucuk pimpinan pada masa hadapan.
Namun, apabila berlakunya gejala seperti ini secara berleluasa masih adakah
golongan yang masih mampu memimpin negara kita yang tercinta ini pada masa
hadapan? Hal ini menjadi persoalan masyarakat kita sekarang. Kita perlukan anak
pemuda yang berani. Akan tetapi, keberanian itu perlu diletakkan pada
tempatnya. Kita tidak mahu mereka yang berani mempertaruhkan nyawa di atas
jalan raya yang akhirnya memberikan kerugian kepada bangsa, agama dan negara.
Lantas bilangan masyarakat yang berkarisma dan berkepimpinan semakin
berkurangan. Tenaga kerja dan sumber manusia juga semakin sedikit. Keadaan ini
akhirnya menyebabkan mereka menjadi kaum yang terpinggir dalam urusan kemodenan
dan kemajuan di tanah air sendiri.
Cara mengatasi
1.
Perhatian yang secukupnya.
Remaja perlu diberikan perhatian yang secukupnya oleh ibu bapa supaya mereka
berasa diri mereka dihargai. Malah ibu bapa juga perlulah meluangkan masa yang
banyak kepada anak-anak dengan berbual dengan mereka, mendengar luahan serta
rintihan hati mereka.
2. Penguatkuasaan undang-undang.
Penguatkuasaan undang-undang memang perlu dalam usaha menangani gejala ini
daripada terus berlarutan. Jangan sekali-kali membiarkan mereka berasa lali dan
tidak kisah dengan hukuman yang bakal dikenakan kepada mereka. Malah, hukuman
kepada pesalah perlulah ditambah bagi membuatkan mereka yang terlibat takut
untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
3. Motivasi dan kaunseling.
Perkara ini adalah diperlukan untuk membantu membendung masalah sosial ini.
Kita tidak seharusnya member tekanan kepada mereka kerana zaman remaja
sememangnya penuh dengan tekanan dan gelora. Mereka sentiasa inginkan perhatian
di samping pengiktirafan golongan dewasa. Masyarakat perlu berinteraksi secara
matang dengan golongan remaja sebegini agar mereka tidak berasakan diri mereka
diperlakukan seperti budak kecil.
No comments:
Post a Comment