Monday, March 13, 2017

Memahami Dialog Antara Agama & Mencari Realitinya di Malaysia

Azim Haikal

Komunikasi merupakan suatu kemestian untuk semua manusia. Kehidupan tanpa komunikasi akan menyebabkan manusia berbalah dan berperang sesama sendiri sedangkan dalam masyarakat haiwan, pola komunikasi yang terjalin antaranya membolehkan spesies itu hidup dalam kumpulan, masing-masing berusaha untuk kehidupan yang lebih baik dan terjamin. Hal ini semakin tidak berlaku dalam masyarakat manusia, setiap orang akan terus hidup dengan budaya individualistiknya, bahkan ada ketikanya sanggup pula merobohkan norma kumpulan kerana melihat ia sebagai halangan ataupun peraturan lapuk.

Ketika dunia heboh dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat, manusia sekali lagi melihat fungsi komunikasi antara mereka adalah sebagai satu bentuk perkongsian dalam kerangka yang terhad. Perkongsiannya hanya sekadar kebersamaan minat, kecenderungan dan matlamat, bukan suatu usaha menggukuhkan norma-norma kumpulan sebagaimana diertikan menerusi pendekatan dinamik kumpulan. Hari ini, sekali lagi rakyat Malaysia menerima kejutan kerana antara kaum, antara agama dan juga intrakaum atau intraagama berlaku suasana yang tidak harmoni, sama ada atas alasan politik dan perebutan pengaruh hinggalah ke persoalan menuding jari sepenuhnya kesalahan kerajaan apabila kos sara hidup meningkat.

Peter Nixon, yang berpengalaman dalam perundingan komunikasi antarabudaya melihat fenomena dunia sekarang benar-benar dalam keadaan berkrisis, ke mana sahaja kita pergi seantero dunia kita akan berhadapan dengan pertentangan, dari isu ekonomi, alam sekitar, sosial atau kesihatan, kerana kehidupan kita sebenarnya berada dalam situasi kelam-kabut. Biarpun teknologi komunikasi menjadi begitu canggih, yang sepatutnya dapat merapatkan jurang persefahaman dan menenggelamkan banyak ketidaktentuan, ia memang tidak berlaku kerana kecepatan itu membuatkan manusia berada dalam kebingungan. Trend ini sebenarnya sudah diramalkan oleh Alvin Toffler ketika melihat kejutan masa depan, dari segi teknologi ia telah berjaya melipatgandakan proses penyebaran maklumat, tetapi dari segi memproses maklumat bagi mendapatkan “kesamaan atau persefahanan” ia masih perlahan. (Alvin Toffler, Future Shock, 1970).

Atas sebab itulah Peter Nixon menjelaskan, komunikasi sebenarnya masih belum cukup. Kita memerlukan inovasi dan mencari jalan untuk melakukannya secara berbeza. Ia memerlukan dialog berkesan di pelbagai peringkat, di pejabat, di rumah dan dalam masyarakat. (Peter Nixon, Dialogue Gap: Why Communication Isn’t Enough and What We Can Do About it. Fast, 2012). Dialog merupakan satu-satunya kemahiran manusia yang tidak kita pelajari dengan baik dan berkesan, tetapi ramai di antara kita hanya belajar bagaimana untuk bernafas, tidur, makan, berjalan sama ada dalam kurikulum akademik ataupun korporat.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *