Monday, March 13, 2017

Bekal Akhlak Muslim

DISEDIAKAN OLEH : HAELAH BINTI KORSENG 
NO.SIRI                    : 074
NO.MATRIK              : 14021245

Akhlak yang dihiasi indah dengan islam, lebih indah dari bunga yang mekar.
Apabila terlihat seorang Muslim yang baik dari segi pakaiannya, kemas, rapi dan cantik, mata kita terus tertaut padanya. Tambahan lagi apabila seorang Muslim itu baik dari segi pakaiannya, kemas, rapi dan cantik serta berakhlak dan berperibadi yang lembut, ingin sahaja rasanya mata ini tidak berganjak dari melihatnya terus.
Islam dan Akhlak tidak dapat disempadani.
Seorang Muslim hakikatnya tidak boleh digelar Muslim atau penganut Islam yang sejati andai dirinya tempang dari segi akhlak sepertimana yang telah digariskan oleh Islam. Sejauh mana manusia pergi, secantik dan sekacak mana manusia ciptaan ALLAh itu, pasti yang manusia inginkan adalah akhlak yang baik.
Dan akhlak yang baik itu tidak boleh dinilai hanya dengan pakaian sahaja.
Percaya tak, akhlak islami itu lebih harum dari bunga yang mekar? Senyum sikit
Bekalan Akhlak Islami, Memancar Kebahagiaan
Ada orang menyangka, cukup jika seorang ummat Islam itu berpakaian jubah, berserban, bertudung labuh, berkopiah dan lain-lain sangkaan, maka dia boleh dikatakan seorang yang berakhlak dan berbudi bahasa.
Saya berani katakan tidak. Peace!
Pakaian hanya pakaian, luaran. Akhlak adalah akhlak, dalaman.
Banyak sebenarnya perkara membuat seseorang itu berakhlak mulia andaikata dia konsisten dengannya. Sebagai contoh, berkata yang benar, berbaik sangka, memaniskan muka ketika bertemu dengan sesiapa sahaja.
Baik, saya minta anda bayangkan ini. Antara individu yang bermanis muka dan ceria dengan individu yang kelihatan bengis dan garang serta suka menjeling, mana satu yang anda lebih suka untuk bertemu? Sudah tentu yang berwajah ceria dan manis, bukan?

Sebab itu, Islam menggariskan bagaimana akhlak itu boleh dipraktikkan. Saya bukan hendak berkata mengenai struktur wajah. Tetapi apa yang ingin diketengahkan adalah bagaimana seseorang itu mencuba mempraktikkannya.

Untuk berwajah ceria, tidak memerlukan anda seorang yang comel dan sempurna! Cukup sekadar senyum dengan ikhlas, InshaAllah orang akan merasainya.
Menunjukkan Wajah Yang Ceria
Anda percaya tak kalau saya katakan orang yang berwajah ceria ini apa-apa sahaja darinya lebih menusuk hati? Dari segi perwatakan dan ucapan. Sikap ini sebenarnya harus diamalkan oleh muslimin dan muslimat. Bahkan ia sebenarnya memang dianjurkan oleh Baginda SAW.

Perkara ini dirakamkan dalam hadits,
“Jangan sesekali engkau meremehkan kebaikan sedikit pun, walaupun engkau hanya bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang ceria.” – HR. Muslim

Hendak mencuba berwajah ceria? Maka, senyumlah.
Berwajah ceria dan sentiasa tersenyum itu sebenarnya boleh dilatih. Mahu tidak mahu saja anda untuk melakukannya. Susah? Hai sahabat, pramugari yang sentiasa tersenyum itu juga sebenarnya berlatih, tahu.

Tawadhu, Merendah Diri
Ada orang kata, orang yang merendah diri itu hina sebenarnya. Sanggup meletakkan dirinya di bawah orang ramai. Saya senyum.
Bagi saya, merendah itu  saya istilahkan sebagai rendah hati. Rendah diri = Rendah hati. Dan anda tidak rugi melakukannya.
Apabila anda berlapang dada mendengar pendapat orang, pandangan dan cadangan orang, serta berkawan dengan semua orang, maka anda ada ciri-ciri rendah hati.
Tidak Membuang Muka Dengan Memalingkan Wajah
Membuang muka. Sesuatu yang cukup saya tidak suka. Dan sangat tidak suka.
Sikap ini sebenarnya sangat buruk dan sikap ini banyak dilupakan oleh manusia. Termasuk aktivitis dakwah itu sendiri. Apa yang membuat seseorang itu memaling muka dari manusia yang lain?

Hai sahabat, jangan sesekali ada sikap yang sebegini. Jika kamu sanggup memalingkan muka kamu daripada manusia, maka jangan menyangka bahawa ALLAh tidak akan pernah memalingkan wajah-Nya daripada kamu.

Apa lagi kita ini manusia biasa, hatta Nabi SAW yang tersilap sikit. Terus sahaja ALLAh SWT menegur Baginda SAW. Kisah ini dicatatkan dalam kalamullah, Surah ‘Abasa!
Hakikatnya, antara kegemilangan sesebuah negara itu dapat dilihat melalui akhlak para anak remaja yang berada di dalamnya. Jika runtuh dari aspek akhlak dan moral, maka runtuh jugalah sesebuah negara itu.
Dan realitinya, kebanyakan persepsi orang yang tidak tahu adalah mereka melihat akhlak sesebuah penganut agama, apabila akhlak penganutnya baik, maka mereka kata baiklah agama mereka. Apabila tidak, maka mereka akan kata, agama itu hanya pemusnah.
Anda lihat? Betapa besar fitnah yang manusia itu bawa terhadap agama!
Menjadi Pembunuh dan Pengkhianat Tanpa Sedar.
Sekali lagi ditekankan, Islam bukan hanya pada pakaian dan penampilan luar yang diperagakan oleh seseorang. Lalu, dengan mudahnya kita boleh menganggap bahawa itu adalah perwatakan seorang Muslim.
(Tapi, jangan tak berpakaian sudah! Peace!)
Sebenarnya Islam ini adalah kumpulan nilai akhlak yang diterjemahkan ke alam realiti, melalui amalan, pegangan dan perwatakan seseorang itu. Dengan cara beginilah seorang Muslim dan Muslimah hidup di tengah-tengah masyarakat untuk mengajak manusia menuju jalan yang benar, menuju jalan kehambaan.
Sebaliknya, jika orang Muslim itu tidak menghiasi diri dengan akhlak, maka ia seakan-akan menikam Islam dari belakang!
Kenapa?
Sebab dia menjadi asbab fitnah kepada Islam dan menuduh Islam lemah kerana tidak mempunya kekuatan untuk menyelamatkan penganutnya agar tidak ketinggalan dalam arus peradaban manusia yang bertamadun dan berkemajuan.
Sebenarnya sebab utama kemunduran kaum Muslim ialah kerana kelemahan Muslim itu sendiri dan tidak mempunyai komitmen dalam nilai-nilai agama. Padahal, agama sebenarnya telah menyediakan garis panduan dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke besar-besar perkara.
Nah, anda mahu menjadi fitnah kepada Islam?
Tidak? Maka saya bersama anda. Saya perlu teman yang selalu menegur saya.
Anda sudi? Saya jadi gembira.

Semoga ALLAh merahmati.

No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *