Nama : Nik Muhamad Hasif Bin Nik Mohd Adib
No Matrik :14021178
No Siri : 123
Petani Baik, Tanah Pun Baik
Petani yang baik apabila bertemu dengan tanah yang subur
tentunya akan melahirkan hasil tanaman yang bermutu tinggi. Kerana benih
yang ditanam oleh petani yang baik bukan sahaja dibiarkan ia tumbuh begitu
sahaja, malah akan dijaga dan diteliti tumbesarannya dengan tekun sekali.
Dengan ketelitian dan kesungguhan si petani yang baik tadi,
tanah yang subur juga tentunya tidak mahu mengecewakan si petani dengan sedaya
upaya mengeluarkan hasil yang terbaik dari isi perut bumi untuk dituai si
petani. SubhanALLAH, akhirnya tumbuh melatalah rezeki kurniaan ALLAH di
muka bumi ini dengan rezeki yang baik-baik.
Petani Tidak Baik, Tetapi Tanah Baik
Bayangkan pula apabila petani yang tidak baik bertemu dengan
tanah yang subur. Dengan sifat kejahilan si petani, ditambah dengan sifat
kemalasan, cuai, leka dan mengabaikan tanah yang subur itu, akan mengakibatkan
tanah yang subur itu mengeluarkan hasil yang tidak bermutu tinggi. Hasil
tanaman yang dikeluarkan oleh tanah yang subur itu akan mudah rosak dan keadaan
rupa bentuk tanah yang subur itu menjadi tidak teratur dan ditumbuhi semak.
Lebih malang lagi jika si petani yang tidak baik itu bukan
sahaja tidak menjaga dan memanfaatkan tanah yang subur itu, malah merosakkan
pula tanah tersebut. Akhirnya, tentulah tanah yang pada asalnya subur itu
bertukar menjadi tanah yang rosak. Sayang sekali si tanah tidak dapat
mengeluarkan produk terbaik dek kerana perbuatan si petani yang tidak baik itu.
Petani Baik, Tetapi Tanah Tidak Baik
Bayangkan pula apabila si petaninya bagus dan baik, tetapi
tanah yang ditemuinya pula tidak subur. Dalam kes sebegini, tentulah
tidak sama seperti si petani yang baik bertemu dengan tanah yang subur.
Si petani yang baik tentunya akan berusaha segigih mungkin untuk
menjadikan tanah yang pada asalnya tidak subur menjadi lebih subur. Bukan
mudah.
Mujahadahnya lebih tinggi dan pengorbanannya juga lebih
besar. Dicuba bermacam-macam kaedah, trial & error, dirujuk
sana sini untuk mendapatkan nasihat pakar dan lain-lain lagi usaha bagi
menjayakan usaha murninya itu. Bukan calang-calang petani yang dapat
mengusahakan tanah yang tidak subur, bahkan menghasilkan hasil yang baik.
Berkat usaha yang yang tidak mengenal jemu dan kesabaran yang tinggi,
maka insyaALLAH akan berjaya juga. Jika gagal juga, beralih sahajalah ke
tanah yang lain yang lebih berprospek tinggi.
Petani Yang Tidak Baik, Tanah Juga Tidak Baik
Oh, yang ini saya rasa tidak perlulah diceritakan.
Fikirlah sendiri…
Lelaki Yang Baik Bisa Merubah Keadaan
Jika dilihat beberapa kes di atas, hampir dapat kita
simpulkan bahawa peranan dan sikap si petani menjadi faktor yang sangat penting
untuk berjayanya sesuatu usaha pertanian.
Di awal tulisan telah saya umpamakan si petani sebagai
seorang lelaki dan tanah sebagai seorang perempuan. Cuba fikirkan
perumpamaan tersebut.
Ya, lelaki memainkan peranan yang sangat penting di dalam
hubungan rumahtangga. Si lelaki atau si suami mesti mempunyai sifat
positif yang banyak untuk dia mengemudikan rumahtangganya menjadi rumahtangga
yang berjaya.
Lebih mudah jika si isteri turut sama mempunyai sifat
positif yang banyak, kerana ini akan memudahkan pelayaran rumahtangga yang
sejahtera. Malah akan menghasilkan zuriat-zuriat yang baik daripada
mereka berdua.
Sekiranya si lelaki tidak mempunyai sifat positif yang
banyak, malah ditenggelami pula dek sifat-sifat negatif, tentulah rumahtangga
akan mudah goyang. Kita lihat banyak kes-kes isteri yang setiap hari yang
makan hati dan berulamkan jantung akibat sikap lelaki yang zalim.
Kadang-kadang yang sedihnya, si isteri punyalah baik dan sabar, tetapi
terpaksa berhadapan dengan karenah si suami yang bermacam-macam itu.
Jika dilihat senario si suami yang baik tetapi si
isteri pula buat perangai, di sini memerlukan kepandaian si suami untuk
membentuk dan mendidik isteri itu menjadi baik. Bukan mudah. Tak
ramai yang sanggup. Si suami yang penyabar dan hikmah sahaja yang mampu
menempuhinya.
Jadi, ingin saya seru:
“Wahai diri ini dan lelaki semuanya, tidak kira samada
dewasa atau masih remaja, berusahalah menjadi lelaki yang baik. Bukankah
ALLAH telah mengiktiraf ‘Arrijalu qowwamuna `ala nnisa’?
Pengiktirafan ini bukan untuk diegokan atau didabikkan dada, tetapi ia
menuntut kita semua, lelaki-lelaki agar lebih bersedia dan trampil untuk
menjadi pemimpin dan menjadi pembela kepada golongan wanita. Janganlah
kita menjadi perosak mereka, malah mengambil kesempatan mereka pula”
Air, Cahaya, Keredhaan ALLAH Dan RahmatNYA
Jika petani diibaratkan lelaki atau suami. Tanah
diibaratkan perempuan atau isteri. Air dan cahaya yang menyinari
tanaman-tanaman pula boleh kita ibaratkan sebagai redha dan rahmat ALLAH.
Sebagaimana tanaman tidak boleh subur tanpa air dan cahaya,
walaupun petaninya bagus dan tanahnya subur, begitulah juga perlunya redho dan
rahmat ALLAH di dalam sebuah rumahtangga. Redho dan rahmat ALLAH
sangat-sangat dihajatkan oleh kita sebagai manusia dalam semua perkara,
termasuklah dalam hal rumahtangga.
Jadilah lelaki dan suami yang baik.Jadilah wanita dan isteri
yang baik.Dan pohonlah redho serta rahmat ALLAH.
Semoga rumahtangga yang kita bina sejahtera selama-lamanya,
amin…
No comments:
Post a Comment