NAMA:MUHAMAD AKRAM BIN AHMED
NO.MATRIK:14021170
NO.SIRI:110
Islam Liberal adalah satu fahaman sesat yang berpunca dari sifat
tidak yakin diri,merasa rendah diri (inferiority complex) dan
mengagung-agungkan gaya pemikiran Barat oleh segolongan orang Islam.
Menurut Kamus Dewan (DBP. Kuala Lumpur 1994), perkataan Liberal
didefinisikan sebagai “1. (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan
yang demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan),
(fahaman) bebas. 2. bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka
(tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya).”
Merujuk kepada definisi di atas, Islam sememangnya sebuah agama yang
liberal. Ia membebaskan manusia daripada belenggu penyembahan sesama makhluk,
bahkan juga membebaskan manusia daripada penindasan, kezaliman dan penghinaan
sesama manusia. Islam juga memiliki dasar yang terbuka terhadap peradaban
manusia selagi mana ia tidak melibatkan syirik yang menyekutukan Allah,
perbuatan yang menyalahi syari‘at-Nya dan kepercayaan kurafat yang merendahkan
kedudukan manusia sehingga ke taraf kebinatangan.
Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan Islam Liberal?Maksudnya
penambahan kata ‘Liberal’ pada Islam yang sudah sememangnya liberal adalah sesuatu
yang diada-adakan,bersifat tidak tulen dan meniru-niru pengaruh luar serta
menunjukkan unsur-unsur tidak memahami seluruh konsep dalam Islam itu sendiri.
Apakah yang dimahukan oleh fahaman ini?
Jawapannya dapat kita lihat sendiri pada penambahan perkataan
“Liberal” kepada Islam yang sememangnya sudah liberal. Ertinya fahaman ini
mengkehendaki ciri keterbukaan dan kebebasan yang lebih daripada apa yang sedia
ada dalam syari‘at Islam yang asli lagi tulen.
Sejarah dan Asal-usul Islam Liberal
Golongan ini muncul hasil dari jangkamasa penjajahan yang lama
daripada pihak Barat ke atas umat Islam.Penjajahan yang lama ini telah
mempengaruhi psikologi umat Islam amnya.Terdapat dua fenomena psikologi yang
mempengaruhi umat Islam ketika jangkamasa kemunduran dan penjajahan.
Pertama adalah fenomena ‘penjajahan’ oleh negara-negara Barat ke atas
hampir seluruh negara umat Islam. Kedua adalah fenomena ‘ketinggalan’ dari
sudut sains dan teknologi di belakang kebanyakan negara-negara Barat. Apabila
berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam boleh dibahagikan
kepada empat:
Pertama adalah mereka yang merasa putus asa secara keseluruhan dan
duduk diam menerimanya sebagai satu ketentuan yang sememangnya merendah dan
memundurkan mereka.
Kedua adalah mereka berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi
mencapai kekuatan dan kemajuan. Justeru untuk menjadi umat yang berkuasa dan
maju, Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan harian. Formula pemisahan ini
yang digelar sekularisme terbukti berkesan mengingatkan bahawa semua negara
Barat yang berkuasa lagi maju mempraktikkannya.
Ketiga adalah mereka yang juga berpendapat bahawa agama adalah faktor
penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Namun untuk menyelesaikan
faktor penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah membuka dan membebaskan
agama daripada ajaran dan tafsirannya yang sekian lama telah menjadi pegangan
umat. Kelemahan dan kemunduran umat Islam dianggap berpunca daripada belenggu
kejumudan umat dalam menafsir dan mempraktikkan agama Islam. Kumpulan ketiga
inilah yang digelar sebagai aliran Islam Liberal.
Kelompok terakhir adalah mereka yang mengakui akan hakikat kelemahan
dan kemunduran yang dialami umat. Namun hakikat ini tidak mereka persalahkan
kepada agama atau selainnya kecuali terhadap diri mereka sendiri dan umat Islam
seluruhnya yang telah leka daripada berpegang dan mempraktikkan ajaran Islam
yang sebenar. Oleh itu untuk kembali kuat dan maju, umat Islam perlu
mempelajari, memahami dan mempraktikkan semula secara sepenuhnya ajaran Islam
yang asli lagi tulen. Formula ‘Islam Sekular’ atau ‘Islam Liberal’ tidak
menjadi pilihan kelompok keempat ini kerana ia bukan cara untuk mencapai
kekuatan dan kejayaan yang sebenarnya. Kekuatan dan kejayaan yang sebenar
hendaklah diukur dengan necara wahyu Illahi yakni Islam yang berteraskan
al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan neraca peradaban Barat yang berteraskan
materialisme dan hawa nafsu. Golongan keempat inilah yang benar. Insya-Allah
dengan kesungguhan mereka, kekuatan dan kejayaan akan kembali ke tangan umat
Islam.
Yang paling menjauhi kebenaran adalah kelompok ketiga, iaitu kelompok
Islam Liberal. Secara lebih terperinci, kelompok Islam Liberal adalah aliran
yang muncul kerana kesan psikologi kekerdilan diri (inferiority complex) yang
dihadapi oleh sebahagian umat Islam hasil penjajahan dan kemunduran yang
dihadapi oleh mereka. Kesan kekerdilan ini diburukkan lagi dengan sikap tergiur
lagi menyembah kepada negara-negara Barat yang menjajah lagi maju sehingga
menyebabkan mereka sendiri terasa hina, *****, diperbudak dan hilang kejatian
serta kebanggaan diri. Semua ini menghasilkan satu rumusan bahawa untuk
mencapai kekuatan dan kemajuan, caranya adalah meniru segala formula peradaban
yang dipraktikkan oleh negara Barat. Rumusan ini tidak akan berjaya selagi mana
tidak dibuka dan dibebaskan tafsiran Islam daripada kejumudan pegangan umat
selama ini.
Kenapa golongan ini paling berbahaya? Berbanding kelompok
kedua,golongan ini bagaikan parasit yang memusnahkan Islam dari dalam.Kelompok
kedua iaitu golongan sekular tidak menyentuh ajaran agama sebaliknya cuba
memisahkan pengaruh agama ke dalam politik ataupun urusan kehidupan dunia
mereka.Apabila mereka memerlukan kehidupan ritual,spiritual mahupun pandangan
agama barulah mereka merujuk kembali kepada agama itu tanpa mengganggu
hukum-hakam apatah lagi mengubah syariat agama.Tetapi jika terdapat hukum agama
yang mengganggu kehidupan sekular mereka,mereka akan tolak. Jadi golongan
sekular akan mengambil mana-mana hukum agama yang sesuai dengan selera mereka
dan membuang mana-mana yang tidak sesuai pada pandangan mereka.
Namun golongan Islam Liberal yang rata-ratanya terdiri dari lulusan
agama, pengamal undang-undang dan cendekiawan ini cuba mengubah konsep di dalam
ajaran Islam itu sendiri. Mereka bagaikan ‘mengedit’ syariat Islam di sana-sini
sesuka hati berdasarkan hujah-hujah mereka yang terhasil dari gabungan fahaman
sekular dan Darwinisme yang berdasarkan logik akal semata. Golongan ini akan
berusaha menghapuskan unsur-unsur bersifat ritual (tawaf,solat,mencium batu
Hajar Aswad) dan mistik (ghaib-seperti syurga dan neraka,azab kubur dll) dalam
Islam malah mengatakan itu semua karut dan tahyul serta menjadi penyebab
fikiran menjadi jumud dan mundur, padahal pada masa yang sama mereka
menghormati unsur-unsur ritual agama lain seperti Hindu dan Buddha.Mereka lama
kelamaan seolah-olah bersikap ateis apabila hanya mengambil bahagian-bahagian
yang pada mereka sesuai dengan pandangan sekular Barat dan kehidupan moden hari
ini.Unsur-unsur mistik seperti Tuhan,syurga dan neraka, azab kubur, padang
mahsyar, kiamat dan lain-lain akhirnya dikatakan sekadar simbolik sahaja.
No comments:
Post a Comment