siti fatma bt mohd nor
14021154
no.siri 077
Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat
terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai
umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah
sekarang, tidak berhenti-henti bejuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan
kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai dikalangan bangsa yang masih belum
kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam
penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk
beragama dan tunduk kepada Allah Ta'ala dengan penuh ketenangan.
Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga
untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat
yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali
sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah
melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini
kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat
hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai
umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk
menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih
hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.
Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini
membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan
diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap
Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara
daripada cengkaman musuh.
Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian
dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat
kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi
Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota
Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman
Khulafa' ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.
Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti
kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah.
Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem
perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa
nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.
Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi
berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"
Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa
berazam untuk membebaskan diri daripada sifat-sifat yang boleh
meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat
dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan
nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa
memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas
daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan
batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama
kita.
No comments:
Post a Comment