Monday, March 13, 2017

MELESTARIKAN PERMAINAN TRADISIONAL WARISAN NEGARA

Husaini Azimin

     Permainan tradisional atau permainan rakyat merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu. Permainan tradisional ini menjadi kebanggaan masyarakat silam yang diwarisi daripada generasi kepada generasi.

     Permainan tradisonal juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam yang berkisar di serambi, laman rumah, dan tanah lapang yang tidak memerlukan belanja untuk berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam kepada kanak-kanak masa ini yang begitu terdedah kepada peralatan telekomunikasi yang amat mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor pada suatu ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat prakarsa untuk terus melestarikan, sekali gus mengembalikan nostalgia atau dikaitkan dengan simbol warisan budaya.

     Permainan tradisional kini tidak lagi menjadi pilihan khususnya kepada generasi muda setelah terdedah kepada kepesatan teknologi dengan pelbagai aplikasi permainan alam maya yang seolah-olah telah mengubah keseluruhan cara hidup masyarakat. Jika dahulu kanak-kanak menghabiskan masa petang mereka dengan pelbagai jenis permainan yang memerlukan pergerakan fizikal dan menguji minda, kini golongan itu lebih banyak menghabiskan masa di hadapan komputer untuk bermain permainan video. Zaman kanak-kanak yang dilalui oleh generasi kini juga berbeza keseluruhannya apabila gelak tawa bersama-sama rakan digantikan dengan budaya “kera sumbang” apabila mereka lebih banyak menghbiskan masa berseorangan dengan peralatan elektronik masing-masing daripada bersosial bersama-sama rakan seusia.


No comments:

Post a Comment

Pemenang anugerah "Most Entertaining Blog" di Malaysia Social Media Week 2016 (MSMW)
yang telah diadakan di GlassHouse @ Seputeh, Kuala Lumpur.

Comments

Contact Us

Name

Email *

Message *